"Macam mana ni Tuk? Kita nak masuk semula ke hutan Garau?" Jali inginkan kata putus daripada Tuk Penghulu. Jika Tuk penghulu enggan turut serta mencari Hasan, dia tetap juga akan pergi ke hutan Garau. Hasan berada di bawah pimpinannya ketika mereka masuk ke hutan Garau.
Pak Hamid di sebelahnya sudah mulai resah memikirkan keselematan anak lelakinya itu.Tuk Penghulu berjalan menghadap ke arah anak buahnya yang sedang berehat di bawah rumahnya.
"Hari semakin mengijak senja, hujan pun dah semakin reda. Antara kamu semua, siapa yang mahu masuk semula ke hutan Garau untuk mencari Hasan dan Khairi?" Tanya Tok Penghulu. Dia tidak mahu memaksa, kerana hari semakin senja. Keselamatan mereka perlu diutamakan.
Namun Jali dan Hamid tetap berkeras hendak masuk juga ke hutan Garau untuk mencari Hasan. Tuk Penghulu tidak kuasa untuk melarang. Mereka ada sebab tersendiri. Oleh itu, dia mahukan beberapa orang pemuda secara sukarela untuk menyertai Hamid dan Jali.
Jamal mengangkat tangan, begitu juga dengan beberapa orang pemuda yang lain. Mereka dengan sukarela hendak membantu Hamid dan Jali mencari Hasan. Tiada paksaan daripada sesiapa.
"Esok, kita akan berkumpul semula di sini. Kamu semua boleh pulang ke rumah masing-masing. Terima kasih aku ucapkan dan berhati-hati sewaktu pulang."
Pemuda-pemuda itu mula bergerak ke arah rumah masing-masing meninggalkan Jamal dan beberapa orang saja di situ.
Tuk penghulu masuk ke dalam rumah dan keluar semula bersama beberapa unit lampu picit. Diserahkan lampu tersebut kepada Jali.
"Terima kasih ,Tuk" Ucap Jali menyambut lampu picit yang dihulur oleh Tuk Penghulu. Lampu picit itu diagihkan kepada Hamid dan pemuda yang akan turut serta bersama dia untuk masuk semula ke dalam hutan Garau.
"Hati-hati" Pesan Tuk Penghulu kepada kumpulan tersebut. Dia ternyata bimbang. Jali adalah orang kepercayaannya yang banyak membantu dia dalam mentadbir kampung Gandat. Sebab itu, timbul juga kerisauan di hatinya akan keselamatan mereka itu.
Mereka bersalaman dengan Tuk Penghulu dan mula berjalan menuju ke hutan Garau. Mereka perlu bergerak cepat kerana hari semakin gelap. Tuk Penghulu mengiringi langkah mereka dengan doa di dalam hati.
Sementara itu di dalam hutan Garau, Hasan sudah mula sedar dari pengsannya. Sejam juga dia tidak sedarkan diri. Dia cuba mengingati kembali bagaimana dia boleh berada disitu.
Seingatnya, dia bersama dengan kumpulan mencari yang diketuai oleh Jali berpatah balik untuk keluar dari hutan Garau disebabkan hujan lebat. Namun, entah bagaimana dia tergelincir jatuh ketika melalui satu tebing di bukit Garau. Tidak pula mereka yang lain sedar kerana dia berada paling belakang sekali.
Bergolek dia jatuh menuruni tebing setinggi 15 meter itu. Ketika bergolek kepalanya terhentuk pada sesuatu yang keras, mungkin batang pokok kayu. Akibatnya dia terus pengsan di situ.
Pakaiannya habis kotor bersalut lumpur. Hasan meraba-raba pinggangnya, dia berasa lega apabila parang yang disisipkan pada pinggangnya tidak tercicir sewaktu bergolek tadi.
"Jamal...., Pak Jali ! Haloooo....!
Hasan melaung memanggil kumpulannya tadi. Tiada sebarang sahutan. Hasan menyapu tanah dan kotoran yang terdapat di mukanya. Dia mendongak ke atas. Matahari sudah tidak kelihatan. Namun langit masih lagi cerah. Dia masih dapat melihat persekitaran hutan tersebut yang lebih cepat gelap kerana di payungi oleh pokok-pokok tinggi berkanopi tebal.
Hasan sedang leka membuang lumpur yang melekat pada pakaiannya. Tanpa dia sedar, ada sepasang mata yang sedang memerhatikan dirinya.
Pemilik sepasang mata itu semakin menghampiri kedudukan Hasan. Merenung penuh dendam. Menyeringai di sebalik wajahnya.
Bunyi ranting patah mengejutkan Hasan. Lantas dia menoleh. Tangannya lekas memegang hulu parang di sisi pinggangnya. Hasan menumpukan perhatian ke arah bunyi tadi. Kekuda kakinya dibuka. Lagaknya seperti seorang pendekar.
Dari sebalik pokok sebesar dua pemeluk orang dewasa, muncul satu susuk tubuh. Berjalan tenang menghampiri Hasan yang sudah pun bersiap siaga. Satu senyuman terukir di wajahnya. Bukanlah sebuah senyuman menawan,sebaliknya senyuman mengejek, sinis dan menyeringai.
Makhluk tersebut berhenti melangkah. Jaraknya dengan Hasan dipisahkan kira-kira lapan langkah sahaja.
"Sudah lama aku nantikan kepulangan kau, Hasan" Ucap mahkluk tersebut sinis dengan suara yang garau. Tangannya memegang sebilah senjata tajam berbentuk sabit.
Melihatkan keadaan itu, Hasan beristigfar di dalam hati. Memanjatkan pujian kepada Pencipta. Sesungguhnya, syaitan dan iblis itu adalah makhluk yang direjam. Dia bertawakal kepada Allah di dalam hati.
YOU ARE READING
MARGANDAT
Mystery / ThrillerKepulangannya disambut dengan malapetaka . Dia tidak menduga sama sekali dan segala hal sebenarnya juga tidak dapat di duga. Makhluk aneh itu ternyata masih dahagakan darah merahnya walaupun dia telah berkelana jauh dari kampung halamannya. Kepala...