Hasan bangun awal benar pagi itu. Sudah lama dia tidak merasai keadaan itu. Menikmati udara pagi di kampung sendiri. Segar. Sesudah menunaikan solat subuh, dia lekas bersiap memgenakan pakaian untuk ke kebun. Ayahnya sudah menanti di atas motosikal jenis Yamaha model lama di luar rumah.
Sebotol air masak di bawa bersama. Diletakkan di dalam raga motosikal.
Hasan membonceng motosikal yang ditunggang ayahnya. Lampu depan motosikal itu kelihatan malap menyuluh jalan. Pandangan menjadi terhad. Kabus pula masih lagi tebal. Tambahan pula suasana masih lagi gelap.
Pak Hamid membelok masuk ke satu jalan kebun di sebelah kiri daripada jalan besar. Mereka berhenti kira-kira 500 meter daripada simpang tersebut. Motosikal di parkir di bawah pokok getah yang kelihatan tua benar.
Hasan mengambil sebilah golok bersarung lalu diikat melingkar di pinggang menggunakan tali. Golok itu di alih ke bahagian kiri pinggangnya. Sebilah pisau menoreh dikeluarkan dari sarungnya. disentuh matanya dengan jari untuk menguji ketajamannya. Semalam dia sudah mengasah pisau menoreh tersebut.
Semak-samun setinggi pinggang itu menyukarkan mereka untuk berjalan. Dua tiga hari lagi Hasan berhasrat hendak menebas semak samun di kebun ini. Mereka mula menoreh pokok getah yang sudah semakin tua. Bekas tadahan getah yang dipenuhi air hujan segera dituang bagi menadah getah cair yang baru ditoreh.
Kesunyian di kebun getah itu terasa mencengkam jiwa. Sunyi sepi daripada suara manusia kecuali suara mereka berdua yang sesekali berbual-bual. Melodi alam terhasil daripada unsur alam seperti unggas kadang kala mengasyikkan juga. Namun, terbit juga rasa seram di hati mereka.
Ayahnya sudah tidak kelihatan lagi, walaupun persekitaran kawasan tersebut mulai cerah.
Bunyi ranting patah dipijak menangkap cuping telinga Hasan. Bulu romanya mula menegak. Dia memicing telinga. Bunyi itu semakin jelas dan mendekat. Hulu golok di pinggangnya di genggam erat. Bersedia dengan sebarang kemungkinan , pandangannya meliar ke kawasan sekeliling. Cuba mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan.
Ayahnya sudah jauh ke hujung sana. Barangkali dia tidak mendengar sebarang bunyi.
Prak!
Hasan segera menoleh ke arah tersebut. Semak samun bergoncang kasar seperti diredah oleh sesuatu. Hasan bersiap siaga. Kejadian yang menimpa sahabatnya, Ramli mula bermain difikirannya. Golok yang digengamnya sedari tadi ditarik keluar daripada sarungnya di acu ke suatu arah semak.
"Kroh! Kroh !. " Dari sebalik semak disebelah kanannya, muncul seekor babi tunggal yang meluru laju ke arahnya. Siung yang sejengkal itu bersedia untuk merodok tubuhnya. Merobek-robek daging tubuhnya.
Pacuan babi tunggal itu semakin menderas. Apabila semakin hampir dengan dengannya, Hasan melompat ke belah tepi. Babi tunggal itu terlajak terus ke depan. Sudah menjadi sifatnya dicipta sebegitu rupa. Babi itu berpusing setelah berhenti berhampiran sebatang pokok getah. Satu serangan di lancar lagi. Dan Hasan sekali lagi melompat ke tepi. Sepertinya babi itu bersungguh mahu menyondol dirinya.
Melihatkan keadaan itu, Hasan tidak menunggu lama. Dia segera memanjat sebatang pokok getah yang berhampiran dengannya. Dari atas pokok, dia memerhati babi tunggal yang sedang menunggu di bawah. Mendegus bengis kerana gagal merobek tubuhnya.
Bom!
Bunyi letupan mercun bola itu menyebabkan babi tunggal tersebut terkoncoh lari meredah semak belukar. Hilang disebalik semak samun. Suasana cemas itu kembali tenang.
"Kau okey?" Pak Hamid muncul dari sebalik semak. Dia bergegas apabila terdengar bunyi jeritan Hasan tadi.
"Okey okey" Jawab Hasan yang sudah turun dari pokok getah. Golok di tangannya disisipkan kembali kedalam sarung di pinggangnya. Ayahnya datang menghampiri.
"Ambik ni. Kalau dengar bunyi yang pelik-pelik. Bakar mercun ni" Hasan mengambil mercun yang dihulur oleh pak Hamid. Mercun bola itu dimasukkan ke dalam poket. Pak Hamid kembali meneruskan kerjanya.
"Jahanam punya babi. Rindu aku la tu" Gomel Hasan sendirian. Sudah lama dia tidak mengalami situasi seperti tadi. Sejak dia pergi meninggalkan perkampungan Gandat, pisau menoreh sudah tidak disentuhnya lagi. Mujurlah dia masih ingat cara-cara untuk menoreh. Jika tak tahu cara menoreh yang betul, boleh merosakkan pokok getah.
YOU ARE READING
MARGANDAT
Mystery / ThrillerKepulangannya disambut dengan malapetaka . Dia tidak menduga sama sekali dan segala hal sebenarnya juga tidak dapat di duga. Makhluk aneh itu ternyata masih dahagakan darah merahnya walaupun dia telah berkelana jauh dari kampung halamannya. Kepala...