Bab 3

1.4K 20 0
                                    

Fail di atas meja ditutup. Tubuh disandarkan ke kerusi. Nafas dihela untuk melepaskan lelah. Bukan senang rupa-rupanya mencari rezeki. Rezeki yang dapat itu pula hanya cukup-cukup makan sahaja setiap bulan. Walaupun sudah setahun lebih bekerja, hanya sesekali sahaja dia mampu untuk mengirimkan duit untuk keluarganya di kampung walaupun abah sering menolak pemberiannya. Makan pun terpaksa ikat perut semata-mata nak simpan duit untuk beli kereta. Biar senang sikit berulang alik ke tempat kerja dan balik kampung. Sekarang, hari-hari dia terpaksa berkejar ke stesen bas atau teksi untuk ke pejabat. Nasib baiklah dari apartmennya ke stesen bas dan teksi tidaklah jauh mana. Kadang-kadang dia ada balik menumpang kereta Jenny. Walaupun Jenny murah hati hendak menghantarnya setiap hari tetapi dia menolak. Malas menyusahkan sahabatnya itu.

"Kau kenapa? Demam ke?" tegur Jenny dan terus menghampiri ruang kerja Nur Jannah. Sambil bersandar di partition sahabat baiknya itu, dahi Nur Jannah disentuh.

Dengan wajah yang tak beriak, dia menggeleng.

"Aku okey cuma serabut. Akaun ni tak ngam dari tadi," balasnya bersama keluhan.

Jenny tergelak. Tangan dipelukan ke tubuh.

"Biasalah tu akaun tak ngam. Cuba cek betul-betul, mana tahu ada yang syarikat tu lupa nak key in," suruhnya.

"Dah dua kali aku cek Jen, entah dekat mana silapnya ni aku pun tak tahu," keluhnya. Tubuh disandarkan ke dinding kerusi semula.

"Jom, minum dulu. Otak kau dah full sangat tu sampai tak boleh fikir," ajak Jenny pula. Kasihan melihat wajah serabut rakan sekerja cum sahabat baiknya itu.

"Malas nak keluarlah. Panas," tolaknya. Tetikus dicapai semula. Fail yang ditutup tadi dibuka kembali.

"Jannah, kita keluar minum dulu. Tak payah pergi jauh-jauh, kat bawah tu pun okey. Kalau kau paksa diri pun tak guna. Takut kau yang buat mistake nanti. Jom, aku belanja," pujuk Jenny lembut sambil tayang sengih.

"Serius aku malas nak keluar, Jen. Perut pun rasa tak selesa ni. Nak period kut," ucapnya malas.

"Betul tak nak turun ni? Nanti menyesal." Jenny menduga. Kening dijongketkan.

"Dapat minum ais batu kacang dekat kedai bawah tu waktu panas-panas macam ni mesti syok," godanya pula.

Nur Jannah terdiam. Memang dia malas hendak turun tetapi dia lagi malas hendak menghadap komputer dan fail di hadapannya itu. Mendengar godaan Jenny tadi, terliur pula dia.

"Okeylah, aku ikut." Akhirnya dia mengalah dan terus bangun.

Jenny pamer sengih. Lebar. Dia tahu Nur Jannah tidak akan tahan dengan godaannya.

"Jom, kita cari pisang goreng colek sambal kicap dekat bawah," ucapnya teruja dan mula buka langkah.

Nur Jannah menggeleng. Anak cina seorang ini memang pelik. Hampir setahun lebih mengenali Jenny, dia sudah masak dengan perangai gadis tersebut. Makanan yang digemarinya semua masakan Melayu kampung bukan macam dia, sibuk telan piza, spageti dan keju macam anak orang-orang kaya. Lelaki yang disukai Jenny juga lelaki Melayu. Cakapnya tidak pelat seperti kebanyakan rakan sebangsanya yang lain, malah gadis itu lebih suka berbicara menggunakan Bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris atau bahasa ibundanya walaupun dengan rakan sebangsa. Yang menjadikan dia sangat mengagumi Jenny, gadis itu tidak pernah lupa mengingatkannya apabila tiba waktu solat.

"Cuti ni kau tak balik kampung ke?" Jenny bersuara sambil langkah diayun perlahan-lahan menuruni mata tangga.

"Tak, kut. Belum gajilah."

"Tak bosan ke duduk Kota Damansara aje? Kalau aku ada kampung, memang tiap-tiap bulan aku balik." Jenny berbicara lagi.

"Kalau ikut hati aku ni memang nak balik tiap-tiap bulan, tapi kalau nak balik kosnya bukan sikit. Itu belum campur penat dalam perjalanan. Lagipun Jen, kalau balik masa tak berduit, rasa segan pula dengan parents aku. Takkan aku nak mintak duit dari abah aku pula?" Nur Jannah memberi alasan. Tapi sungguh pun, masakan dia hendak menyusahkan abah lagi. Sudah puas abah bersusah payah semasa dia belajar dulu, jadi biarlah abah membantu adik lelakinya pula.

Dia Bukan BidadariWhere stories live. Discover now