Fareez tergelak lepas. Wajah Syed Azrai yang agak kusut itu dipandang. Kasihan, sebab perempuan boleh jadi sampai macam tu. Selalu bangga sangat dengan status playboynya itu tetapi sekarang, hendak mendekati seorang perempuan pun masih gagal.
"Please Reez, this is not funny!" Keras Syed Azrai melepaskan geram. Sangkanya dia boleh berkongsi cerita tetapi akhirnya menjadi bahan ketawa pula. Apa punya kawan!
"Opst, sorry, bro." Mulut terus dikunci. Syed Azrai betul-betul kecewa nampaknya. Tak mungkin seorang lelaki hebat seperti Syed Azrai jatuh cinta dengan seorang gadis biasa? Pelik bin ajaib ni. Mesti perempuan tersebut bukan calang-calang orangnya.
"Aku tak tahu apa nak buat. Aku tak sangka boleh jadi macam tu," luah Syed Azrai lagi. Mengingati apa yang berlaku beberapa hari lepas tidak lena dia dibuatnya. Dia tahu Nur Jannah pasti sangat-sangat marah dengan apa yang dilakukannya.
"Try harder. Takkan dah mengalah kut? Kata playboy hebat," balas Fareez bersama sindiran tajam.
Syed Azrai mendongak. Fareez dijeling. Tiba-tiba rasa terpukul dengan kata-kata sahabatnya itu.
"Aku rasa bab-bab nak mengurat ni aku tak perlu ajar sebab bagi aku kau memang dah master. Lagipun sampai hari ni aku sendiri pun belum ada pacar lagi. So, my advice is not relevant here." Fareez bersuara lagi. Faham sangat dengan maksud jelingan tajam yang ditunjukkan oleh Syed Azrai ketika itu.
"The problem is, dia nak ke jumpa aku lagi selepas apa yang aku buat tu?" soalnya. Ada nada resah disebalik kata-katanya itu.
"Ala, bukan perkara besar pun. Setakat terkehel sikit aje bukannya sampai patah kaki dia. Kau pujuk-pujuk nanti cairlah tu," balas Fareez bersahaja.
"But she is different, Reez. Entah, aku pun tak tahu apa yang tak kena tentang aku dekat mata dia. Dari mula lagi dia asyik mengelak." Keluhan dilepaskan.
Fareez tergelak lagi.
"Kau terlampau kacaklah tu sebab itulah dia takut," selorohnya.
Syed Azrai menggeleng. Menyakitkan hati betul mendengar jawapan Fareez tadi.
"Aku serius ni, Reez!" tekannya pula.
"Ray, kau pernah dengar kata-kata ni tak?" tanya Fareez bernada serius. Tubuh disandarkan ke kerusi.
"Apa?"
"Apabila kau senang mendapatkan sesuatu, pasti kau akan mudah merasa jemu. Tetapi kalau kau lelah untuk mendapatkannya pasti kau akan lebih menghargai."
Syed Azrai terdiam.
"Cukup-cukuplah bersuka ria. Dan sudah-sudahlah tu main-mainkan perasaan perempuan. Apa yang kau dapat? Kepuasan? Sampai bila kau nak mengejar kepuasan yang sia-sia macam tu?" bedil Fareez tegas. Syed Azrai yang sedang mematung ditempat duduknya dipandang tanpa perasaan.
"Fikirlah Ray, umur kau pun bukan muda lagi. Dah nak masuk tiga puluh tahun. Sampai bila kau nak menyusun perempuan dalam hidup kau? Kau tak penat? Kau tak jemu? Cuba kau fikir kalau yang dipermain-mainkan itu adalah adik perempuan kau sendiri. Apa yang kau rasa?" Semakin sinis Fareez melancarkan serangannya. Dia menasihati bukan kerana benci tetapi atas dasar persahabatan. Dia juga sudah muak melihat sikap Syed Azrai yang gemar berfoya-foya selama ini.
Syed Azrai masih membisu. Dengan perasaan yang bercampur baur, keluhan kecil dilepaskan. Rambut diraup dan pandangannya dibuang keluar.
"Aku bukan nak kata kau jahat tapi sebagai kawan aku rasa aku patut memberi teguran. Allah dah berikan kau banyak kelebihan. Berduit, berpelajaran, ada rupa jadi janganlah gunakan apa yang kau ada tu ke arah yang tidak sepatutnya. Kalau kau rasa aku memandai-mandai, aku minta maaf tapi tanggungjawab aku untuk menegur dah selesai," ucap Fareez lagi panjang lebar. Dia tahu Syed Azrai tentu tidak suka dileteri begitu. Orang yang sudah terbiasa memberi arahan mana mungkin bisa menerima teguran dari orang lain.
YOU ARE READING
Dia Bukan Bidadari
RomanceTajuk: Dia Bukan Bidadari Penulis: Myra Ameer Muka Surat: 816 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-008-3 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak)