Langkah diayun laju dengan muka yang cemberut. Gibran ditinggalkan tanpa sebarang kata. Panggilan Gibran juga dibiarkan bagai angin lalu. Lantakkan dia! getusnya.
"Dear..." panggil Gibran lagi sebaik langkah gadis itu berjaya disaingi.
Dengan riak yang masih beku seperti tadi, kaki terus diayun. Panggilan Gibran masih tidak diendahkan.
"I am sorry..." Gibran bersuara lagi cuba memujuk. Tangan didepangkan untuk menghalang langkah gadis itu.
Nur Jannah masih beriak selamba. Biar Gibran rasa!
"Dearrrr..." panggilnya lagi dan lengan Nur Jannah terus diraih.
Nur Jannah mendengus dan kaki terus berhenti melangkah. Tangannya ditarik agak kasar dari terus dipegang oleh lelaki itu.
"I am so sorry..." luah Gibran kesal. Redup matanya memandang Nur Jannah di hadapan. Lebih kepada memohon simpati.
Dengan riak beku, tangan dipelukan ke tubuh dan mata tajam membalas pandangan lelaki itu.
"I tahu I salah dan I janji tak akan buat lagi." Tangan diangkat ke atas seolah-olah orang sedang berikrar.
"I tak suka dengan apa yang you buat tadi," balas Nur Jannah tegas. Gibran ingat dia perempuan tak tahu malu sehingga dengan selamba pipinya dikucup sesuka hati di hadapan khalayak ramai? Oh, please! Prinsip dia mudah, kalau lelaki yang didampingi cuba bertindak diluar batasan, dia akan terus say goodbye! Biarpun Gibran anak seorang tokoh korporat yang kaya raya dia langsung tak hairan!
"Yes, I know dan I tak akan buat lagi," janjinya lagi. Bersungguh-sungguh.
Nur Jannah terdiam. Sengaja dia buat jual mahal. Dia mahu lelaki itu tahu, biarpun dia 'begitu' tetapi dia bukan senang untuk menggadai maruah diri. Memanglah dia mengintai anak orang kaya, tapi kalau jenis hampeh macam gitu nak buat apa? Buang karan aje.
"Dear... Please..." Gibran masih merayu dengan wajah minta belas kasihan.
Nur Jannah tersenyum tetapi senyumnya itu hanya disimpan dalam hati. Dia tahu Gibran pasti penasaran sekarang. Rasakan! desisnya. Itu baru bunga-bunga protes, belum lagi dia betul-betul memprotes.
"Dear..." Air muka Gibran semakin kalut. Bimbang dia andai Nur Jannah terus meninggalkan dia begitu sahaja.
"Janji you tak akan buat macam tu lagi, kalau tidak kita putus!" tegasnya.
Gibran angkat tangan ke atas. "Promise... I tak akan buat lagi. Tolong maafkan I?"
"Okey, I pegang kata-kata you."
"Yes, you can trust me." Gibran berjanji. Bersungguh-sungguh.
"Come, we have a drink first," ajaknya apabila Nur Jannah sudah mula berlembut. Mengenali Nur Jannah, dia tahu bukan senang memujuk gadis itu. Nampak sahaja lembut tetapi keras hatinya. Kadang-kadang dipujuk dengan wang ringgit pun gadis itu langsung tidak hairan.
Dengan wajak selamba, Nur Jannah mengangguk. Kenalah berlembut sebab barang-barang yang baru dibelinya ada di tangan Gibran! Gila nak tolak semua tu? Nur Jannah belum bodoh lagilah. Langkah Gibran diekori.
"I hantar you balik hari ni, ya?" pujuk Gibran lembut.
Nur Jannah menggeleng. Itu salah satu perkara yang akan dia tolak mentah-mentah. Setakat ini belum ada seorang pun daripada kekasih-kekasih gelapnya yang tahu di mana tempat tinggalnya. Pertemuan mereka selalunya pada waktu siang atau petang sahaja. Tidak pernah lewat sehingga ke malam. Itu syarat-syarat yang telah dia berikan. Malah mereka juga tidak perlu tahu di mana tempat tinggal dan pejabatnya. Titik!
YOU ARE READING
Dia Bukan Bidadari
RomanceTajuk: Dia Bukan Bidadari Penulis: Myra Ameer Muka Surat: 816 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-008-3 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak)