"Hari dah gelaplah. Macam nak hujan aje." Zulaika mendongakkan kepalanya ke dada langit. Awan hitam yang sedang berarak ketika itu dipandang.
"Mendung tak bererti hujanlah, Ika. Ella dan Deddy Dores pun ada nyanyi lagu tu, kan?" Nur Jannah buang tawa. Leher yang masih berpeluh dilap perlahan-lahan.
Zulaika mencemik.
"Aku cakap yang betullah. Ella dengan Deddy Dores apa tahu? Dia orang cuma tolong nyanyi aje. Yang tulis lirik pun orang lain," bidasnya pula.
Tawa Nur Jannah menjadi semakin kuat. Boleh pula itu yang dijawab oleh sahabatnya itu.
"Jomlah kita balik. Kalau tiba-tiba hujan turun, tak ke aniaya kita? Sudahlah teksi jauh." Zulaika semakin risau. Kawasan sekeliling taman Tasik Perdana itu dipandang. Ramai pengunjung dilihatnya sudah mula angkat kaki. Kepalanya ditoleh ke sebelah. Nur Jannah yang sedang santai duduk di atas rumput sambil mengeringkan peluh di tangannya dipandang lagi. Riak selamba sahabatnya itu memang menyakitkan hati.
"Relakslah, babe. Confirm tak hujan." Nur Jannah mengiakan.
"Sejak bila kau jadi ahli kaji cuaca?" Nur Jannah dijeling.
"Sejak beberapa minit yang lepas," selorohnya dan tawa meletus lagi.
"Kau ni kan, sengaja nak cari gaduh dengan aku. Eh! Cepatlah, jom kita balik." Zulaika terus berdiri. Malas hendak dilayan senget sahabatnya itu.
"Eh! Kau serius ke nak balik ni?" Melihat Zulaika sudah mula angkat kaki, Nur Jannah terpinga-pinga. Ada ke patut Zulaika meninggalkan dia keseorangan di situ?
"Ya, aku nak balik. Kau tak nak balik, kau tunggulah dekat sini sampai malam," bebel Zulaika geram. Kaki diayun semakin laju.
Melihat Zulaika sudah mula menjauh, Nur Jannah bingkas bangun. Kepalanya digelengkan.
"Weh... Tunggulah aku!" jeritnya agak lantang. Kaki mula melangkah.
"Cepat sikit!" Laungan Nur Jannah dibalas dengan laungan.
Nur Jannah mendengus. Langkah diayun sedikit laju. Terasa rintik-rintik air sudah mula jatuh membasahi mukanya, kepalanya didonggakkan memandang langit. Hujan! desisnya. Sungguh kelaut ramalan cuacanya tadi. Baru sahaja dia ingin buka langkah untuk berlari, dia terdengarkan sesuatu. Langkah terhenti dan kepala mencari arah suara yang didengarinya tadi.
"Ika!" jeritnya memanggil Zulaika yang sudah berteduh di bawah sebuah pondok kecil yang tidak jauh dari situ.
"Apa laginya, Nur? Cepatlah!" jerit Ika agak keras.
"Ada anak kucing dekat sini. Kesiannya nanti kena hujan," laungnya.
"Ya Allah, biarkan ajelah. Nanti kau yang basah," marah Zulaika pula.
Nur Jannah buang pandang ke arah lima ekor anak kucing yang sedang mengiau tidak jauh dari tempatnya berdiri. Kepala didongakkan memandang langit lagi. Air hujan sudah semakin laju menitik ke wajahnya.
"Nur... Hujan dah mula nak lebatlah," jerit Zulaika agak geram. Tangan sudah dipelukan ke tubuh kerana kesejukan.
"Kau tunggu situ aku nak letak anak kucing ni dekat tempat teduh. Kesian. Mati nanti." Pandangan dibuangkan ke sekeliling untuk mencari tempat yang sesuai diletakkan anak-anak kucing tersebut. Terpandangkan sebuah kerusi kayu yang tempat duduknya dilapis papan penuh, dua ekor anak kucing diambil dan dibawa ke kerusi tersebut. Tuala kecil yang digunakan untuk mengelap peluhnya tadi dibentangkan di atas rumput sebelum anak kucing tersebut diletakkan di situ. Dia berdiri semula dan tiga ekor anak kucing tadi diambil pula. Dahi yang sudah mulai basah dengan air hujan dikesat dengan belakang tangan.
YOU ARE READING
Dia Bukan Bidadari
RomanceTajuk: Dia Bukan Bidadari Penulis: Myra Ameer Muka Surat: 816 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-008-3 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak)