"Reez, kau buat apa sekarang? Dah mula kerja?" Mata tertala ke arah Fareez yang sedang leka mengunyah kentang goreng di mulut. Rasanya sudah hampir dua bulan mereka tidak bertemu lebih-lebih lagi sejak Fareez buat keputusan untuk menetap terus dengan neneknya di kampung. Tiba-tiba muncul di KL ni pun entah apa sebabnya. Kalau disebabkan kerja, memang tidak mungkinlah sebab setahunya sahabatnya itu sudah bertahun-tahun menjadi penganggur terhormat.
"Tak buat apa-apa. Buat bodoh aje," jawab Fareez selamba. Tawa kecil dilepaskan. Air sirap limau di atas meja dicapai dan dihirup.
"Cis!" Borhan mendengus. Kotak rokok di atas meja dicapai dan dibalingkan ke arah Fareez yang sedang tergelak di hadapannya.
"Main kasar nampak?" bedil Fareez apabila kotak rokok tersebut terkena dahinya. Perlahan-lahan dahinya digosok.
Borhan tersengih.
"Sorry..." ucapnya sebelum pandangan dibuangkan ke arah Syed Azrai yang sedang termenung di sebelahnya.
"Ha, kau dah kenapa, Ray? Dari tadi aku tengok semacam aje muka tu," tegur Borhan sambil tangan Syed Azrai disenggol.
Syed Azrai tersentak.
"Apa hal?" Kalut dia bertanya. Borhan dan Fareez dipandang silih berganti.
Fareez tergelak. Geli hati melihat riak kalut sahabatnya itu.
"Kau tu kenapa? Sejak kau duduk sampailah sekarang, asyik termenung aje. Apa yang kau nampak dalam air tu sampai tak berkelip mata kau memandang ke situ?" Gelas Syed Azrai dicapai dan dibelek-belek.
"Kau nampak apa, Bob?" Sengaja Fareez mengusik. Bibir sudah mula lebar dengan senyuman.
"Aku nampak awek tak pakai baju dalam air ni tengah berenang. Patut beria-ia kawan kita tenung air tu. Ada free show rupa-rupanya." Borhan terus ketawa.
Fareez ikut ketawa. Mengekek-ngekek. Geli hati mendegar kata-kata Borhan tadi. Bengong punya kawan.
Syed Azrai mendengus. Gelas di tangan Borhan dicapai dan diletakkan semula ke atas meja. Hampir tertumpah air jus oren tersebut dibuatnya.
"Lawak sangatlah tu?" marahnya. Borhan dijeling.
"Opsttt... Ada orang marah." Borhan terus tutup mulut. Dengan Syed Azrai jangan salah bergurau. Aniaya dia nanti.
"Kau kenapa?" Fareez terus bertanya. Dengan suara yang sudah berubah rentak. Serius tetapi dengan nada yang terkawal. Pandangannya dilabuhkan ke wajah sahabatnya itu dan tubuhnya disandarkan ke dinding kerusi.
Syed Azrai melepaskan keluhan kecil. Kotak rokok di atas meja dicapai dan sebatang rokok dikeluarkan. Sebaik rokok tersebut terletak elok di sebalik dua bibirnya, pemetik api dipetik dan ditalakan ke arah hujung rokok.
Fareez dan Borhan hanya memerhati sahaja apa yang dilakukan oleh Syed Azrai ketika itu. Kalau sudah begitulah riak sahabatnya, mereka pasti ada sesuatu yang telah berlaku.
Asap rokok dihembus dan duduknya dibetulkan.
"Ada sorang perempuan ni..." kata-katanya terhenti.
"Aku dah agak dah mesti ada kaitan dengan perempuan..." Cepat sahaja Borhan memintas. Kalau sudah namanya kaki perempuan, masalah yang datang pun semuanya sebab perempuan.
Syed Azrai mendengus. Borhan dijeling lagi. Lebih tajam dari tadi.
"Kau ni Bob, cuba dengar dulu apa yang Ray nak cerita," marah Fareez bersama gelengan.
Borhan tersengih dan tangannya diangkat. Akur dengan kesilapan diri.
"Kenapa dengan perempuan tu?" Melihat Syed Azrai yang seperti sudah tidak berminat hendak bercerita, Fareez bertanya. Dia pun hendak menyibuk juga.
YOU ARE READING
Dia Bukan Bidadari
RomanceTajuk: Dia Bukan Bidadari Penulis: Myra Ameer Muka Surat: 816 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-008-3 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak)