Telefon bimbit di tangan dipandang tak beriak. Kening berkerut semakin tajam. Kenapa tiba-tiba emak suruh dia jangan balik? Pelik. Semasa dia berbual dengan abah beberapa hari lepas, tidak pula abah beritahu tentang majlis perkahwinan sesiapa. Selalunya pantang ada kenduri di kampung pasti abah akan beria-ia bercerita. Alasan abah, biar dia tahu apa yang berlaku di kampung walaupun dia duduk jauh di bandar. Tetapi sebenarnya dia tahu abah sengaja hendak memanjangkan cerita supaya dapat berbual lama dengannya.
"Kau kenapa? Berkerut-kerut muka tu aku tengok," tegur Jenny yang baru muncul dari pantri. Mug yang dibawanya diletakkan di atas meja Nur Jannah. Tubuh disandarkan di tepi dinding ruang kerja sahabatnya itu.
"Kita tak jadi balik kampunglah minggu ni," balas Nur Jannah dengan suara yang perlahan. Pandangan masih dibuangkan ke arah telefon di atas meja.
"Laaa... Kenapa?" Suara Jenny sudah berubah kecewa. Dia bukan main teruja lagi dapat mengikut Nur Jannah pulang ke kampungnya tapi tiba-tiba terpaksa dibatalkan pula.
"Entahlah, mak aku baru telefon dia kata hujung minggu ni mereka pergi kenduri hantar pengantin," terang Nur Jannah walaupun ada rasa sangsi dalam hatinya dengan cerita emaknya tadi.
"Hurmmm... Habis tu, bila kita boleh balik kampung kau?"
Nur Jannah jongket bahu. "Minggu depan pun tak sempat balik sebab kita sibuk dengan audit, kan?" soalnya.
Jenny mengangguk mengiakan. Nafasnya dihela. Punah harapan nak makan udang galah segar di kampung sahabatnya itu.
Nur Jannah turut melepaskan keluhan. Baru sahaja rasa bersemangat bekerja minggu itu kerana tidak sabar untuk balik ke kampung tapi tiba-tiba musnah harapannya.
"It's okay, Jannah. Kita pelan lain kali pula, ya?" pujuk Jenny lembut. Walaupun dia kecewa tetapi dia tahu Nur Jannah tentu lebih kecewa lagi. Apa tidaknya, sejak beberapa minggu lepas tak lekang kata-kata rindukan orang tuanya bermain-main di bibir sahabatnya itu.
Nur Jannah mengangguk. Perlahan.
"So, apa pelan kau hujung minggu ni?"
"Entah. Duduk rumah aje kut," balasnya dengan suara yang sudah berubah rentak. Habis hilang semua rasa yang ada dalam hati dengan panggilan tadi.
"Tak dating ke?" Jenny jongketkan kening. Sengaja hendak mengusik.
Muka dicemikkan dan kepala digeleng.
"Takkan tak keluar dengan Tengku Rayqarl kut?" sengihan Jenny menjadi semakin lebar. Terbayangkan duda beranak dua itu geli pula hatinya. Apa tidaknya, terhegeh-hegeh mengurat Nur Jannah walau berkali-kali Nur Jannah menolaknya.
Nur Jannah buat muka menyampah.
"Gelilah dengan lelaki macam tu. Gatal!" kutuknya sambil menggeliatkan tubuhnya dan buat muka geli.
"Lagipun aku ingat kaya sangat tapi cikai juga. Harap aje nama Tengku dekat pangkal nama, tapi nan hado aje pun," kutuknya selamba. Dalam ramai-ramai lelaki yang 'berduit' yang dikenalinya, Tengku Rayqarllah yang paling sengkek rasanya. Ajak makan dekat tempat high class sikit mesti banyak alasan. Pakai kereta mewah tapi rupa-rupanya sekadar mengaburi mata yang memandang.
Melihat reaksi Nur Jannah, Jenny ketawa lepas.
"Aku dah beritahu kau dia tu gatal tapi kau tetap juga nak cuba kenal," ucapnya dengan tawa yang masih bersisa.
"Tak mahulah cerita pasal dia lagi. Loya tekak aku. Kau cuba bayangkan Jen, ada satu hari tu aku keluar dengan dia, aku yang kena bayar. Alasan dia tertinggal wallet. Menipu sangat, kan? Sudahlah aku pun bukan jenis berduit juga, nak kena belanja dia? Hurm... Sayonaralah!" Nur Jannah cemikan muka.
YOU ARE READING
Dia Bukan Bidadari
RomanceTajuk: Dia Bukan Bidadari Penulis: Myra Ameer Muka Surat: 816 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-008-3 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak)