"Kaki kau macam mana? Dah okey?" Mulut berbicara tetapi mata liar memandang kaki Nur Jannah yang dilindungi seluar panjang warna hitamnya. Malam tadi ketika Nur Jannah balik, kakinya nampak merah dan seperti membengkak.
"Dah okey sikit kut. Malam tadi aku sapu minyak panas." Acuh tak acuh Nur Jannah membalas.
"Dah tu nak pergi kerja juga ke?" Zulaika kerutkan kening.
"Habis tu takkan nak MC lagi? Hari tu aku dah MC berhari-hari." Nur Jannah melepaskan keluhan. Kalau ikutkan hati memang dia malas hendak bekerja hari itu tetapi apabila memikirkan itulah periuk nasinya, terpaksa juga dia kuatkan diri.
"Susahlah nak naik bas dalam keadaan macam tu," bebel Zulaika pula. Bimbang melihat keadaan Nur Jannah ketika itu.
"Aku naik teksi aje nanti. Tak larat nak berkejar dengan bas."
"Hurmmm... Kalau macam tu okeylah. Hati-hati tau," pesan Zulaika pula.
"Insya-Allah, jangan risau." Nur Jannah pamer senyum. Beruntung ada sahabat seperti Zulaika. Selalu mengambil berat akan susah senangnya. Tentang perihal yang berlaku malam tadi juga Zulaika nampaknya tidak bertanya lebih. Apabila ditanya kenapa dengan kakinya dan dijawab dia terjatuh, Zulaika terus tak bertanya lagi. Cuma mulutnya sahaja tidak henti-henti membebel supaya dia lebih berhati-hati. Dia tidak mahu Zulaika terus-terusan bimbang tentang dirinya. Mengenali Zulaika sejak mereka kecil, dia tahu bagaimana sikap sahabatnya itu.
"Mari minum dulu." Zulaika tuangkan air Milo panas ke dalam mug dan diletakkan ke atas meja sebelum punggung dilabuhkan ke atas kerusi.
Nur Jannah akur dan terus duduk.
"Nah, biskut kering aje yang ada." Zulaika tolakkan tin biskut Hup Seng di tangannya kepada Nur Jannah. Mug air Milonya dicapai dan dihirup perlahan-lahan.
Nur Jannah menggeleng. Tin biskut tersebut ditolakkan ke tengah meja. Mug dicapai dan air Milo dihirup.
"Ika, kau teman aku sampai aku naik teksi." Perlahan Nur Jannah bersuara. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa takut pula hendak menunggu teksi bersendirian. Dalam kepala masih terbayang-bayang wajah bengis Zahin malam tadi. Bimbang juga andai Zahin sudah menunggunya di mana-mana. Walaupun Zahin tidak pernah tahu di mana tempat tinggalnya tetapi dengan sikap Zahin itu, rasanya untuk mencari di mana dia tinggal bukan perkara sukar. Pejabatnya sahaja Zahin selamba terjah, inikan pula tempat tinggalnya.
Zulaika kerutkan dahi. Air muka sahabatnya itu dipandang. Lama. Lain benar riak Nur Jannah pagi itu.
"Ada apa-apa yang berlaku ke malam tadi? Yang aku tak tahu?" soalnya.
Laju Nur Jannah geleng.
"Tak... Mana ada apa-apa," balasnya teragak-agak.
"Kalau tak ada apa-apa, kenapa muka kau kalut semacam aje tu? Zahin tu ada buat apa-apa ke kepada kau?" tebak Zulaika lagi. Mata semakin bulat memandang Nur Jannah.
Nur Jannah mendengus.
"Tak ada apa-apa yang berlakulah, Ika. Kami pergi makan malam aje," tipunya. Kalaulah Zulaika tahu apa yang bakal terjadi kepada dirinya malam tadi tentu beristighfar panjang sabahatnya itu. Tapi cukuplah hanya dia yang tahu kisah yang memalukan itu.
Zulaika mengangguk. Malas hendak bertanya lagi.
Jeda.
"Aku rasa aku nak beli keretalah." Tiba-tiba Nur Jannah bersuara dengan mata tajam menekur meja.
Zulaika mendongak. "Dah cukup duit ke nak bayar down payment?" tanyanya.
"Aku ingat aku nak jual barang kemas yang ada sikit tu. Nanti aku tambah dengan saving aku yang ada sikit tu rasanya cukuplah kut nak bayar down payment."
YOU ARE READING
Dia Bukan Bidadari
RomanceTajuk: Dia Bukan Bidadari Penulis: Myra Ameer Muka Surat: 816 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-008-3 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak)