Prolog
Glendalough, County Wicklow, Ireland.
LILY menyertai program kembara bersama rakan sekuliahnya di hujung minggu ini. Sudah hampir setahun belajar di sini, barulah mereka keluar dari kepompong yang mereka ciptakan. Asyik belajar saja, tiba masanya mereka meneroka negara Ireland ini. Banyak lagi destinasi menarik yang mereka belum lawati kerana masa begitu mencemburui.
Mereka memilih untuk menikmati suasana hutan simpan di Glendalough yang penuh kehijauan dengan berjalan kaki. Siap bawa bakul yang penuh makanan ringan dan tikar lagi untuk berkelah. Angin sejuk yang dingin sesekali menyapa tubuh manja. Indahnya ketenangan ini. Jiwa yang serabut menjadi hilang.
Akhirnya mereka tiba ke destinasi yang dituju iaitu Upper Lake. Sebuah tasik yang sungguh indah nan permai. Keindahannya diperkatakan seantero dunia.
"Wah..." Perkataan yang serupa muncul dari setiap bibir. Semua terpegun tak terkata. Mata begitu asyik menyaksikannya.
Mahunya tidak, panoramanya sangat memikat jiwa. Tidak sia-sia menjejakkan kaki ke sini.
"Bestnya! Tak rugi kita datang, kan? Oh My God! Cantiknya. Menyesalnya tak datang dari dulu." Azrini melompat-lompat kecil kerana teruja sangat. Dia menikmati suasana dengan gembira.
Sebelum ini, mereka hanya mendengar cerita saja dari rakan senegara, sehingga memanggil-manggil mereka datang. Akhirnya sampai juga. Dari universiti ke sini, mengambil masa hampir kira-kira 50 minit. Mereka menaiki kereta yang disewa beramai-ramai.
Haziq membalas.
"Kan saya dah kata, tempat ni memang best gila. Tapi kau orang asyik hold aje. Kan dah rugi? Setahun dah belajar baru nak datang sini." Bahan orang pula mamat ni, tahulah dia yang sampai dulu.
Lily mencelah.
"Ala, kita orang bukan tak nak. Ikutkan hati memang nak sangat datang sini. Tapi awak tahu la, kami ni tak macam awak. Semulajadi bijak. Kalau buang masa sikit, habislah. So, dah berapa kali awak datang ke sini? Datang dengan siapa sebelum ni?" Lily memandang Haziq sekilas.
Haziq bahagia. Rasa macam Lily ambil berat.
"Dah dua kali. Pertama kali datang dengan Faroq. Yang kedua, datang dengan Angelina yang cantik tu. Awak jealous tak Lily, kalau saya dengan dia?" Amboi, minah salih yang diusungnya. Bukan main lagi. Hurm, playboy biasalah. Semua dia nak try.
Lily mencebikkan mulut.
"Eee, tolong sikit. Tak ada sebab nak jealous, okey!" Haziq mengangkat bahu. Begitulah Lily, tak ada perasaan.
"Ala, saya tahu siapalah saya ni, hanya gagak di rimba, dambakan helang di angkasa!" Mendengarnya mencetus tawa.
Azrini membahan.
"Baru berapa tahun duk negara omputih, dah suka hati buat peribahasa sendiri. Peribahasa omputih pun tak seteruk peribahasa awaklah!"
Lily menggelengkan kepala.
"Dahlah. Kau orang ni, orang tengah seronok menikmati keindahan kat sini, kau orang nak bertekak pula. Dahlah bukan selalu boleh keluar. Tu tengok, geng Jepun dah merebak merata dah. Kita masih duk kat sini aje lagi. Jom, jom!" Tanpa membuang masa, Lily, Haziq, Azrini menyertai rakan-rakan yang lain.
Hampir setahun mereka bergelar pelajar perubatan di Royal College Of Surgeons, Ireland. Tahun pertama praklinikal memang sangat mencabar mental dan spiritual mereka. Tekanan dan halangan belajar silih berganti. Kadang-kadang rasa tidak mampu nak pikul kerana stres memang makanan. Namun berkat kecekalan, perlahan-lahan mereka cuba menyesuaikan diri di bumi asing ini.
YOU ARE READING
Abang Bomba, I Love you
RomanceBacaan Bab Awal Sahaja Tajuk: Abang Bomba, I Love You (Terbitan Semula/Bakal Adaptasi) Penulis: Mia Kiff Muka Surat : 656 Terbitan : September Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-025-0 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak)