MUJURLAH atuk sporting, jemput Lily tidur di rumah dia. Bolehlah Lily bebas tanpa dikongkong. Bosan betul hampir seminggu duduk rumah. Ibu dan abah pula asyik sibuk aje kerja. Tapi kalau ada pun, macam tak wujud.
Atuk benarkan Lily ke rumah Wanie. Bolehlah lepak-lepak sambil bersembang. Lily mengayuh basikal dengan gembira bagaikan burung yang terlepas dari sangkar.
Tiba-tiba basikalnya ditahan oleh seorang pak cik yang tengah cemas.
"Tolong pak cik, nak... Tolong pak cik..." rayu pak cik tersebut. Lily panik, aduhai masalah apa pula ni?
"Ke... Kenapa, pak cik?" Pak cik itu seperti mahu menangis saja.
"Lembu pak cik. Kakinya tersangkut besi longkang. Pak cik dah tak tau nak buat apa-apa. Pak cik cuba tarik kaki lembu pak cik. Terus luka dan berdarah. Kesian lembu pak cik..." cerita pak cik itu membuatkan Lily terkejut mendengarnya.
"Apa? Jadi pak cik nak suruh saya selamatkan lembu tu? Saya mana tahu. Mana... Mana lembunya?" soal Lily yang turut sama risau.
"Tu..." Pak cik itu menunjukkan lembu yang sedang tersepit di celah hujung longkang di tepi jalan sana. Dari jauh Lily dapat mendengar lembu itu berbunyi lemah. Sakitlah agaknya tu.
"Kesiannya. Macam mana boleh jadi macam ni, pak cik? Banyak laluan lagi, kat situ dia nak lalu? Isyyy!" bebel Lily salahkan pak cik itu pula.
"Pak cik pun tak tahulah, nak. Nama pun lembu. Bukan tahu baca signboard. Pak cik bukan bela seekor aja, banyak lagi. Seekor ni yang terlepas ke sini. Puas pak cik cari mana dia menghilang, rupa-rupanya tersangkut kat sini." Sedih sungguh nampaknya.
"Yalah. Saya bukan nak salahkan pak cik pun. Nak buat macam mana, benda nak jadi. Tapi, saya manalah tau nak buat apa ni? Kejap saya fikir. Errr... Kita telefon pejabat haiwan? Pak cik ada nombor telefon?" soal Lily memberikan idea.
"Manalah pak cik ada..."
Aduhai pak cik ni. Dengan aku-aku sekali yang blur. Seolah-olah beban terletak atas aku pula. Lily berdesis dalam hati sambil tak sudah-sudah berfikir. Kepala yang bertudung digaru.
"Pak cik ni, nama aje bela haiwan. Tapi nombor telefon pejabat haiwan pun tak tau. Susahlah macam ni. Nak minta tolong siapa? Ketua kampung mana?"
"Tak ada. Pergi Kolumpo, hantar anak mengaji."
"Pula? Habis tu pak cik nak suruh saya settle masalah pak cik? Mana saya tahu!"
"Pak cik lagilah tak tau."
Hesy geramnya Lily. Mujurlah pak cik, kalau baya dia, Lily dah cekik-cekik. Bela lembu tahu, jaga lembu tak tau.
"Polis rasanya tak ambil kes lembu terlekat kaki kat longkang ni. Ini bukan kes lembu teraniaya ke, kena curi ke, kes jenayah ke... Kalau kita telefon tentera, hesy jauh benor perginya. Kalau telefon hospital, rasanya saya tak pernah nampak lagi lembu masuk wad kecemasan, pak cik. Hah, apa kata kita telefon bomba! Rasanya, kalau kecemasan macam ni, bomba aje yang boleh selesaikan." Lily memberikan cadangan yang bernas.
Pak cik itu meraup mukanya.
"Anak telefonlah sesiapa pun. Pak cik cuma nak lembu pak cik selamat. Sudahlah dia tengah bunting tu. Buatnya lembu jantan yang buntingkan dia nampak, mahu kena sondol kita nanti. Garang tau lembu jantan tu!"
Kecut perut Lily mendengarnya. Sudahlah dia memakai baju merah. Bahaya kalau masin mulut pak cik ni. Lily angguk pantas.
"Saya faham, pak cik. Saya akan hubungi pihak bomba sekarang. Roger and out!" Lily mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi pihak bomba Kuala Kangsar. Berdebar-debar pula jantung rasanya. Ini kali pertama menghubungi bomba.
YOU ARE READING
Abang Bomba, I Love you
RomanceBacaan Bab Awal Sahaja Tajuk: Abang Bomba, I Love You (Terbitan Semula/Bakal Adaptasi) Penulis: Mia Kiff Muka Surat : 656 Terbitan : September Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-025-0 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak)