LILY mengayuh basikal perlahan-lahan. Lily sengaja melewatkan masa balik sebab dia takut. Takut untuk berhadapan dengan ibu dan abah. Keputusan SPM tertayang di ruang mata. Kan bagus kalau ada ibu abah yang sporting. Ini tak, terlalu tegas dan pentingkan kesempurnaan sangat. Tak boleh nak gagal langsung. Ingat Lily nak sangat ke dapat result macam ni? Dua tahun dia berusaha tau tak?
Lily menyusuri jambatan sungai. Dia turun dari basikal dan menolak perlahan. Sehingga ke sini Lily cuba menenangkan fikirannya. Tapi gagal. Semakin dekat jarak rumahnya, semakin dia rasa berdebar di dalam dada.
Lily menongkat basikal. Dia melangkah ke pinggir jambatan lalu memandang ke bawah. Lily merenung air yang bertali arus. Jernih dan kehijauan. Lily sedih. Dia ingin melepaskan kesedihannya di situ.
Miaw... Miaw... Miaw...
Bunyi suara kucing menarik perhatian Lily. Lily tercari-cari dari mana punca bunyi kucing itu. Lily memang suka sangat dengan kucing. Tiba-tiba dia teringat pada Angeline, kucingnya yang baru saja mati sebab dilanggar lari. Kejam betul si pembunuh itu. Dilenyek Angeline dengan tayar motor. Terburai perut Angeline. Lily semadikan Angeline dengan linangan air mata.
Lily tercari-cari di mana kucing itu berada. Dia meluru ke tepi jambatan itu. Alamak, kucing tu tersangkut di celah tiang jambatanlah. Aduhai, bahaya ni. Kalau kucing terjatuh ke dalam sungai, matilah kucing ni.
Lily menunduk untuk mengamati kucing tersebut. Subhanallah, comelnya. Warna perang. Bulunya gebu dan cantik. Kecil lagi.
"Ala sayang, kenapa main kat situ? Bahayalah. Miaw... Miaw..." panggil Lily manja. Kucing itu menyahut dengan suara sayu. Aduhai, kasihan Lily mendengarnya. Tentu kucing ni takut jatuh dan gayat.
"Ala, kesiannya dia. Kejap Lily fikirkan macam mana nak selamatkan Comel, ya? Lily akan cuba selamatkan Comel." Lily menunduk perlahan-lahan mengesotkan tubuhnya ke tepi jambatan. Tangannya cuba menggapai kucing tersebut namun dia tak dapat.
"Macam mana ni? Silap hari bulan, boleh jatuh ke dalam sungai. Sudahlah airnya dalam. Deras pula tu," fikir Lily. Kalau Lily tak selamatkan kucing tu, siapa lagi? Mana ada orang kat sini? Kalau apa-apa jadi pada kucing tu, Lily akan menyesal dan rasa bersalah.
Lily mendekatkan tubuhnya hingga ke tepian jambatan. Dia bertawakal keada Allah agar niat murninya dipermudahkan.
"Assalamualaikum... Adik, adik buat apa kat tepi jambatan ni?" soal satu suara lembut dari belakang menegur Lily. Lily sedaya upaya menggunakan kudrat yang ada untuk menyelamatkan kucing itu. Dia panjangkan tangan sebaik mungkin. Tapi tak dapat.
"Adik, adik buat apa ni? Adik nak bunuh diri ke? Janganlah macam tu adik, bahayalah. Mari sini, mari pada abang. Ada masalah kan kita boleh bincang. Bunuh diri bukan penyelesai masalah," pujuk abang itu lagi.
Hesy, orang tengah buat operasi menyelamat, dia boleh pula duk berceramah pasal ni pula. Sibuk aje.
"Abang diam boleh tak? Janganlah nak sibuk. Saya tahulah apa saya nak buat. Errr... Tolong pegang ni kejap!" Lily menyeluk tangan ke dalam poketnya lalu menyerahkan sesuatu kepada abang itu. Slip SPM Lily. Bimbang jatuh ke dalam sungai nanti.
Lily menarik nafas dalam-dalam. Kali ni Lily akan pastikan dia berjaya selamatkan kucing ni. Tangannya dipanjangkan untuk mencapai kucing tersebut sampai rasa tergeliat urat pinggang. Gagal lagi?
Lelaki itu membelek keputusan peperiksaan SPM Lily. Patutlah nak bunuh diri, tak berapa cemerlang orangnya. Budak-budak zaman sekarang singkat sungguh pemikiran. Harus disekolahkan ni. Kenapa mata pelajaran penting dikutipnya C? Yang lain A pula?
"Astaghfirullahalazim adik, takkan sebab result macam ni adik nak bunuh diri? Berdosa besar, adik. Jasad tak diterima bumi, neraka jahanam selamanya. Bawa mengucap adik, ingat Allah. Abang dulu SPM lebih kurang macam ni juga, tapi abang tak bunuh diri pun. Abang bangkit dari kegagalan. Bukan jatuh dari kegagalan. Adik kenal tak Bill Gates, dia pun bukan pelajar pandai. Tapi sekarang berkat usaha dia, kawan-kawan dia yang pandai dari dia tu akhirnya jadi pekerja dia tau," terang abang tersebut. Lily berdecit. Apa pula sampai ke sana melalutnya abang ni?
YOU ARE READING
Abang Bomba, I Love you
RomanceBacaan Bab Awal Sahaja Tajuk: Abang Bomba, I Love You (Terbitan Semula/Bakal Adaptasi) Penulis: Mia Kiff Muka Surat : 656 Terbitan : September Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-025-0 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak)