Bab 11

9K 125 0
                                    

RAYQAL membersihkan sangkar tempat ular disimpan. Tak sangka pula dipenuhi kulit ular. Bersalin kulitlah ni. Patutlah licin semacam kulitnya, rupanya kulit baru.

"Oi, mandikan ular pula, tuan ular pun tak mandi-mandi lagi." Syawal mengusik lalu menghampiri Rayqal yang menguruskan ular ini.

Rayqal gelak.

"Mandikan ular salah satu cara nak jinakkan ular tau."

Syawal tahu Rayqal ada ilmu nak tundukkan ular. Semalam Rayqal selamba saja bermain dengan ular ini dan menciumnya. Kalau Syawal, tengok aje mengembang kepala macam tu, mahunya terkencing dulu.

"Kau ni berani betul. Mati hidup balik tak mau aku tuntut ilmu ular ni. Setakat tangkap ular, tak apalah. Guna alat aje." Syawal memerhati ular yang dimandikan.

"Bukan selalu ada peluang main ular. Sesekali ada kes, dapatlah. Aku ni tak berani mana pun. Yang penting, aku belajar macam mana nak faham sifat ular ni. Salah faham, memanglah kena! Ular pun ada mood juga. Ada caranya kita nak handle. Bukan sesuka hati boleh nak cium!"

Siap sudah dia mandikan ular tedung selar ni. Bagi Rayqal, ular adalah haiwan yang unik dan misteri.

"Jinak nampaknya tu. Pandai kau tundukkan dia. Aku rasa ni mesti ular betina. Yang cium dia pula tu, lelaki terkacak kat balai ni. Cairlah tu sampai sekarang."

Rayqal ketawa. Syawal ni memang kelakar orangnya. Sunyi balai kalau dia tak ada.

"Pandailah kau. Mana kau tahu ular betina? Kalau ular jantan macam mana?"

"Kalau ular jantan, sah-sahlah gay ular ni." Ketawa mereka meletus.

"Sekejap lagi kita akan bebaskan ular ni. Ada jodoh, kita jumpalah lagi. Agaknya sekarang ni musim panas, kan? Minggu ni saja dah lima kes ular."

"Yalah, dah panas mestilah ular ni keluar cari air. Sebab tu masuk toilet. Bahaya betul. Mujurlah tak ada kes kena patuk."

Ular tedung ini akan dilepaskan semula ke dalam hutan. Tempat asalnya. Membunuhnya atau menjualnya adalah salah dari segi tatatertib anggota bomba.

"Karl, lupa pula aku. Ni, ada barang untuk kau. Ada budak perempuan hantar tadi." Syawal hulur kotak tersebut. Rayqal amati barang itu.

"Hah? Apa ni?" soal Rayqal. Budak perempuan? Siapa pula?

Besar kotaknya, macam kotak kasut. Balut pun dengan kertas surat khabar. Rayqal goncang. Kedengaran bunyi dari dalam.

"Manalah aku tahu, bukalah. Takkan budak secomel tu nak kirim bom kut?" Syawal dah kerja di situ dua tahun, tapi belum pernah terima hadiah. Untung Rayqal.

Rayqal menutup paip air lalu mengelap tangannya.

"Siapa budak tu? Tak pernah aku nampak dengan kau?" tanya Syawal.

"Mana aku tahu, bukan aku nampak dia tadi."

Rayqal membuka balutan kertas surat khabar perlahan-lahan. Tudung kotak dibuka membuatkan Rayqal terkebil-kebil melihat isinya. Hah? Terkejut! Rayqal rasa mahu ketawa saja. Bagaimana si pemberi boleh terfikir nak bagi hadiah macam ni?

Kotak bukan main besar lagi tapi dalam kotak hanya ada sebiji epal hijau, sekuntum bunga Lily plastik dan sekeping kad kecil. Kening bercantum mengungkap tanda tanya.

Syawal yang awalnya terpinga-pinga akhirnya tersembur ketawa.

"Ini aje dia bagi? Kelakarlah budak ni. Kotak besar bukan main. Dahlah balut dengan kertas surat khabar, then letak sekuntum bunga plastik dan epal aje?" ujar Syawal lalu ketawa berdekah-dekah.

Rayqal menggaru kepalanya.

"First time aku dapat hadiah pelik macam ni, Syawal. Tapi okeylah dari kau yang tak dapat langsung."

Syawal tak habis-habis ketawa. Rayqal memegang epal hijau.

"Sekejap. Bak sini epal hijau tu. Hurm, kisah kau ni dah macam cerita Snow White pula. Jangan-jangan epal ni beracun tak?"

Mengekek ketawa Syawal mengusik sahabatnya ini.Epal hijau itu disambar dan dibasuh.

"Ini caranya nak tahu, epal ni beracun atau tak! Demi kau sahabat, sebelum kau diracun biar aku test dulu. Aku sanggup mati demimu!" Selamba saja Syawal menggigit dan mengunyah epal hijau tersebut. Rayqal menggelengkan kepalanya. Macam dia tak kenal Syawal yang satu ni. Sengal dan senget.

"Hurm, sedap. Bagi aku makan semualah!"

Sekali dia bedal sebiji. Apa dah. Rayqal tahan sabar saja.

"Aku dah agak. Kau ni memang otak pembelit. Sudahlah. Pergi buat kerja kau lagi baiklah. Sekejap lagi pengawai datang cek peralatan kat stor baru kalut."

"Eleh, relakslah. Mentang-mentang tahun ni kau dapat anugerah khidmat cemerlang kat balai ni, eksyen dengan aku, ya? Aku baru aje nak relaks. Kau tahu kan pagi tadi kita ada operasi api hutan. Penat belum hilang lagi tau. Eh, bukalah kad tu dulu. Baru kau tahu siapa yang bagi," gesa Syawal tidak sabar-sabar ingin tahu.

Rayqal membuka kad yang berada di dalam kotak tersebut yang tertulis...

Abang bomba,

Salam ukhuwah buat abang bomba yang satu-satunya adik kenal baik dalam dunia ni. Sebenarnya, adik tak boleh lupa saat abang selamatkan nyawa adik. Selalu teringat. Terima kasih beribu lemon. Jasa abang amat adik hargai hingga akhir hayat. Alhamdulillah, Allah kirimkan abang bomba untuk adik masa tu. Kalau abang tak ada, tak taulah apa akan jadi pada adik.

Jangan dilihat betapa besarnya hadiah tapi lihatlah hati yang memberi. Adik tak dak duit banyak nak hadiah mahal. Ini pun boleh, kan?

Teruskan bertugas. Adik tak akan lupa nasihat abang kerana itu adik jadi kuat dan bergantung semangat. Abang jaga diri baik-baik ya semasa bertugas.

Pecah kaca, pecah gelas,

Sudah baca, tak perlu balas.

Kerna sudah jelas.

Sekian,

Lily

Hati Rayqal tercuit. Lily rupanya. Memang comel orangnya, bak kata Syawal. Itu diakui. Mengenali Lily sesuatu yang Rayqal sukar tafsirkan kerana banyak sangat kebetulan. Sayangnya dia cuma budak. Jadi, tak mungkinlah.

"Wah, hebat kawan aku ni dah ada secret admirer. Macam cara mengurat zaman dulu-dulu aje, kan? Pakai surat-surat. Siapa ni, Karl?" soal Syawal ingin tahu. Bahu Rayqal ditepuk.

Rayqal tersenyum lucu mengenangkan budak hingusan yang berjaya mencuit hatinya.

"Tak adalah Syawal, budak sekolah lagi ni. Pangkat adiklah. Aku dah banyak kali selamatkan dia, itu yang dia rasa terhutang budi kut, tu yang bagi aku semua ni."

"So, dia bagi surat ni sebab terhutang budi? Bukan sebab jatuh cinta dengan kau?" Syawal meneka.

"Mengarutlah kau ni, Lily ni dia kagum sangat dengan pasukan kita. Kau ingat tak kebakaran kat Kampung Talang hari tu? Lilylah yang aku selamatkan. Bila mengingatkan peristiwa tu, aku teringatkan arwah adik aku yang terkorban dalam kebakaran. Kalau dia masih hidup, tentu umurnya sama dengan Lily," terang Rayqal, sayu.

"Ya ke? Manalah aku tahu. Aku ingatkan peminat kau. Kau kan handsome, bujang lagi, pergi mana pun ada aje awek-awek memandang kau," seloroh Syawal sambil tergelak.

"Kalau dia minat pun, aku layan macam adik aje. Tak lebihlah!"

Tiba-tiba loceng kecemasan berbunyi selama 5 saat. Pengumuman berbunyi.

"Perhatian, perhatian, perhatian. Panggilan kecemasan di alamat Nombor 45, Jalan Anggerik, Kilang Technologies, kebocoran gas." Arahan dari bilik kawalan bergentayangan di ruang udara menandakan semua anggota bomba bahagian operasi bersiap sedia menghadapi kecemasan.

Rayqal dan Syawal bergegas masuk ke dalam jentera bomba dan memakai baju operasi yang telah siap sedia di dalam jentera berkenaan. Jentera bomba membunyikan siren kecemasan dan menuju ke tempat kejadian.

Abang Bomba, I Love youWhere stories live. Discover now