KAYUHAN basikal semakin laju. Lily mengelap air matanya yang turun bagai hujan. Dia menunggang basikal tanpa haluan. Lily mahu pergi jauh, jauh dari semua orang yang membuangnya tadi. Lily rasa dirinya dah tak ada guna.
Jiwa remajanya tertekan hebat. Agak keterlaluan dia dihukum atas kesalahan yang dia tidak sengajakan. Dipukul, dicerca, dituduh dan dimaki. Pipinya yang merah kerana ditampar berdenyut-denyut sakit namun lebih menang sakit dalam hati.
Lily mengayuh dan terus mengayuh basikal. Sehinggalah dia tiba di Pusat Rekreasi dan Air Terjun Ulu Kenas. Lily menongkatkan basikalnya. Tanpa berlengah lagi dia terus berlari kencang ke arah air terjun yang mengalir lalu terjun.
Kedebushhh! Badannya tenggelam di dasar air terjun. Kemudian dia timbul di permukaan. Dalam tangisan Lily menampar-nampar permukaan air berkali-kali untuk melepaskan perasaannya.
Lily menangis teresak-esak lalu berkata.
"Arghhh! Kenapa semua orang hukum Lily? Kenapa tak nak dengar alasan Lily? Kenapa salahkan Lily? Sampai hati abah pukul Lily dan kata Lily ni anak tak guna. Sampai hati ibu kata ibu menyesal ada anak macam Lily! Sampai hati ibu dan abah buang Lily sebagai anak! Teruk sangat ke Lily ni?"
Lily meraung kesedihan. Dia tampar lagi air berulang kali melepaskan geram. Bagai seorang wirawati sedang bertempur atas air saja lagaknya. Janji dia dapat melepaskan perasaan biar apapun caranya.
"Isy! Isy! Isy!!!"
Lily mengeluarkan nada keras sambil memukul air dengan geram. Berkali-kali air dijadikan mangsa dia melepaskan perasaan. Dia menangis sedih. Pilu. Jiwanya tertekan.
Lily mula penat sangat lalu dia berhenti memukul air tapi tangisannya berterusan. Tenaganya bagai diserap pergi. Lemah, terkulai, layu. Dia memandang kosong ke hadapan. Lama. Tangisan jadi peneman.
Lily tersentak dari dunia yang terkepung tadi apabila terperasankan seorang lelaki sedang menongkat dagu memerhatikan lagaknya dari atas darat. Lelaki itu terpaku memandang lagaknya yang dia rasa memang pelik.
Rasa seperti kenal wajah ini. Bukankah ini abang yang menyelamatkan Lily dari jatuh sungai tadi? Abang bomba? Rayqal? Sejak bila dia berada di sini? Dia nampak ke apa yang Lily buat tadi?
"Dah lega?" soal Rayqal, selamba.
Lily tiba-tiba rasa malu. Tapi jiwa yang sakit dalam mengawal malu tersebut. Biarlah orang nak gelak ke, nak kata dia gila ke, dia tak peduli. Siapa pun tak akan faham apa dia alami sekarang ni. Jiwanya benar-benar tertekan.
Lily menggeleng lemah. Masakan boleh lega dengan hanya melepaskan tekanan sebegitu. Keadaan tak akan dapat diubah. Terenjut bahu Lily menahan tangis. Rayqal bangun lalu duduk di tebing. Dia sedap-sedap memancing ikan tadi, tiba-tiba dihidangkan dengan satu tayangan filem aksi bersiaran langsung di depan mata.
Seorang wirawati sedang bertempur atas air. Terpinga-pinga dibuatnya. Tapi dia tak mahu menghentikan perbuatan gadis ini. Dia membiarkan dan melihat apa gadis ini nak buat. Dia membiarkan gadis ini melepaskan perasaannya habis-habisan. Biarpun habis lari segala ikan yang mahu makan pancingnya dek terjunan gadis ini, namun dia sabar sajalah. Nak buat macam mana, tiada rezeki.
Matanya beralih ke arah pipi yang lebam dan bibir yang bengkak. Perasaan serta-merta bertukar kasihan. Tentu bukan kecil masalah yang gadis ini alami. Penerimaan keluarga pada keputusan SPM tentu tidak sebaik orang lain. Jika tak, tak mungkin seteruk ini akibatnya.
"Mari sini dekat abang." Lembut ajakan itu, membuatkan Lily yang sedang menangis tersentak.
"Lily dah sejuk tu. Nanti demam pula. Mari naik," pelawa Rayqal pada Lily yang sedang memeluk tubuh dan terketar-ketar. Biru sudah mulutnya.
YOU ARE READING
Abang Bomba, I Love you
RomanceBacaan Bab Awal Sahaja Tajuk: Abang Bomba, I Love You (Terbitan Semula/Bakal Adaptasi) Penulis: Mia Kiff Muka Surat : 656 Terbitan : September Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-025-0 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak)