"APA??!" Irish benar-benar terkejut dengan apa yang baru didengarnya sebentar tadi. Reza pula hanya berdiri berpeluk tubuh sambil merenung ke arah tasik yang terbentang di hadapan. Tidak berani bertentang mata dengan gadis di sebelahnya setelah khabar duka yang dibawa pada pertemuan kali ini.
"Awak jangan nak berguraulah, Reza. Ini bukan benda main-main. Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni?"
"Saya tak bergurau, Irish. Ini bukan masanya untuk bergurau." Reza membalas tenang. Matanya masih lagi terarah ke hadapan, melarikan wajahnya dari pandangan gadis itu. Sungguh, dia benci untuk berhadapan dengan situasi sebegini. Namun dia tidak punya pilihan.
"Tapi kenapa? Berbulan-bulan lamanya awak menghilangkan diri. Tak ada khabar berita. Saya dah macam separuh gila cari awak. Tiba-tiba sekarang muncul awak cakap yang awak nak putus? Hmm? Apa benda semua ni?" Irish sedaya upaya cuba memperlahankan nada suaranya agar tidak didengari oleh orang sekeliling yang turut berada di situ. Airmata yang sudah berada di hujung tubir cuba ditahan agar tidak merembes keluar. Mujurlah mereka berada di tempat awam, membuatkan dia masih lagi dapat mengawal tingkah laku dan rasa amarahnya.
"Sorry, Irish. Semua ni berlaku di luar kawalan. Saya dah tak boleh nak buat apa-apa lagi. Keluarga saya tak restui hubungan ni."
"Kenapa? Sebab kita tak setaraf? Sebab saya anak orang biasa dan awak anak orang berada? Sebab tu keluarga awak tak boleh nak terima saya? Macam tu?"
"No, Irish. Bukan macam tu."
"Then what?"
Pertanyaan Irish membuatkan Reza terdiam. Tidak tahu bagaimana harus dijawab. Perlahan dia menghadap Irish, memberanikan diri menentang mata gadis itu. Dari riak muka Irish, dia tahu gadis itu sedang menahan marah.
"Cakaplah. Kenapa diam? Atau dah lupa macam mana cara nak bercakap? Kenapa baru sekarang nak sebut tentang semua ni, Reza? Kenapa tak sebut dari dulu lagi? Waktu mula-mula awak nakkan saya dulu? Mentah-mentah saya tolak awak waktu tu tapi awak berkeras cakap takkan ada apa-apa masalah akan timbul. Sebab awak yakin yang keluarga awak sangat sporting, sangat open minded untuk terima semua ni. Awak janji perkara ini takkan berlaku. Jadi mana janji-janji awak dulu tu?!" tingkah Irish geram
"Manusia boleh berubah bila-bila masa je."
Spontan Irish menoleh, merenung tajam ke arah Reza di sebelah. Tidak menyangka jawapan tersebut yang akan keluar dari mulut lelaki itu.
'Tidak berperasaan lagikah lelaki ini? Apa yang sudah merasuk fikiran dia sampai jadi begini? Astaghfirullahalazim!' beristighfar Irish di dalam hati. Kepalanya didongakkan sekilas ke langit, membuang jauh prasangka yang menjalar dalam diri. Nafas ditarik sedalam mungkin, mencari sedikit ketenangan.
"Mudahnya awak bercakap. Setelah saya dapat yakinkan keluarga saya untuk terima awak, dan sekarang awak pulak yang nak mengalah? Atau mungkin awak sebenarnya yang dah tak sayangkan hubungan ni lagi. Cinta awak yang dah mati!" suara Irish sudah mulai kendur, cuba menahan sebak yang semakin menghimpit dada.
"Irish, tolonglah faham keadaan saya...,"
"Habis, siapa pulak yang nak faham keadaan saya? Lima tahun, Reza. Lima tahun saya cuba pertahankan hubungan ni. Saya turutkan segala kemahuan awak. Kemahuan awak untuk rahsiakan hal ini dari keluarga awak, dari semua orang. Dan selama tu jugaklah saya bersusah payah pujuk keluarga saya untuk restui hubungan ni. Sekarang, senang-senang awak nak suruh saya faham keadaan awak? Manusia jenis apa awak ni?!"
Kemarahan Irish sudah tidak terbendung lagi. Sabarnya juga kian menipis. Lebih-lebih lagi melihatkan tingkah Reza yang bagaikan orang tidak bersalah apa-apa walaupun setiap kata-katanya bak pisau tajam yang menghiris hati. Kalaulah hanya mereka berdua sahaja berada di sini, mahu saja tangannya singgah di pipi lelaki itu.
YOU ARE READING
🍂 BaYanGaN GuRaUaN (Published) 🍂
RomanceIRISH QIARA, zaman remajanya tercalar dek kepedihan masa silam. Reza, lelaki yang diharap akan menjaga seumur hidup, pergi meninggalkannya untuk menikahi perempuan lain. Pergi bersama janji-janji serta beban yang tersisa buat dirinya. Hinggakan Iris...