"PUKUL berapa awak cakap dengan Izzul nak datang ke rumah orang tuanya nanti?" Tengku Haiyan menyoal isterinya yang sedang menuang minuman panas ketika mereka sedang menikmati sarapan pagi. Hanya mereka berdua dan Helena di meja makan ketika ini. Anak-anaknya yang lain masih belum turun dari bilik masing-masing.
"Saya bagitahu Izzul petang. Lepas solat Zohor kita geraklah, bang."
"Dah bagitahu anak-anak semua?"
"Sudah," balas Tengku Dafina. Memang dia sudah memaklumkan perkara itu pada kesemua anak-anaknya. Hanya Tengku Hazleen sekeluarga yang tidak dapat turut serta kerana mengikut suaminya pulang ke kampung.
"Harrys?" soal Tengku Haiyan lagi.
"Dah, bang. Awal-awal saya dah bagitahu dia."
"Okay ke budak tu? Apa kata dia?"
"Nak kata setuju, tidak. Nak kata membantah pun tidak. Insya-ALLAH, dia okaylah tu."
Jawapan Tengku Dafina membuatkan satu keluhan terbit dari mulut lelaki separuh umur itu. Berfikir sejenak tentang penerimaan anak lelakinya berkenaan hasrat mereka ini. Kalau boleh dia tidak mahu memaksa anak-anaknya dalam soal memilih teman hidup. Biarlah mereka sendiri yang tentukan pilihan masing-masing. Zaman sekarang bukan seperti dulu yang mana calon pasangan ditentukan oleh orang tua.
"Morning, ma, pa!" sapa Tengku Hazreen tiba-tiba dengan nada penuh ceria. Dia baru sahaja turun dari biliknya diikuti Tengku Hafiy di belakang.
"Hmm, turun dah? Mari sarapan sini. Sejuk nanti tak sedap pulak," arah Tengku Dafina pada anak-anak dan menantunya. "Abang kamu mana, Reen?"
"Abang? Ni kan abang, ma. Mama tak nampak?" Tengku Hazreen menjawab sambil melayang-layangkan tangan di hadapan mamanya. Spontan bahunya ditepuk.
"Ishh, dia ni! Mama nampaklah. Maksud mama abang Harrys kamu. Mana dia? Tak turun sekali ke?"
"Ooo... Abang Harrys. Reen dah ketuk pintu bilik dia tadi. Senyap je," terang gadis itu seraya menyuap mee goreng ke dalam mulutnya.
"Fina. Awak pergilah jenguk Harrys kat bilik tu," pinta Tengku Haiyan.
"Tak apa. I'm here."
Suara itu membuatkan semuanya menoleh. Entah sejak bila Tengku Harrys sudah berada di ruangan makan itu. Kelihatan dia begitu santai dengan jeans dan t-shirt berserta jaket kulit yang sudah tersarung kemas di badan. Di tangannya pula sudah siap memegang topi keledar beserta sepasang glove. Lelaki itu menghampiri meja makan. Disalami satu-persatu ahli keluarganya sebelum berlalu dari situ.
"Nak ke mana, Harrys?" tanya Tengku Haiyan, membuatkan langkah lelaki itu terhenti.
"Keluar."
"Keluar? Pukul berapa nak balik? Harrys tak ingat hari ni kita nak pergi mana?" sedikit terkejut Tengku Dafina dengan jawapan anak bujangnya.
Lama Tengku Harrys terdiam, membuatkan suasana menjadi sedikit sepi. Masing-masing bagaikan menunggu jawapan darinya. "Papa dengan mama buatlah apa yang baik untuk Harrys. Harrys terima. I've got to go. Assalamualaikum."
Sebaik menghabiskan ayatnya, Tengku Harrys terus berlalu meninggalkan mereka di meja makan. Semua yang ada di situ kelihatan terpinga-pinga. Sudah lama Tengku Harrys tidak menunggang motosikalnya. Mereka sudah sedia maklum yang lelaki itu lebih gemar memandu kereta untuk ke mana-mana, termasuklah ke pejabat. Motosikal itu hanya akan dinaiki jika dia berada dalam keadaan emosi yang tidak baik. Dari riak lelaki itu tadi, memang agak tegang kelihatan wajahnya.
YOU ARE READING
🍂 BaYanGaN GuRaUaN (Published) 🍂
RomanceIRISH QIARA, zaman remajanya tercalar dek kepedihan masa silam. Reza, lelaki yang diharap akan menjaga seumur hidup, pergi meninggalkannya untuk menikahi perempuan lain. Pergi bersama janji-janji serta beban yang tersisa buat dirinya. Hinggakan Iris...