SUDAH seminggu lebih Irish bekerja di Haiyan Holdings. Banyak perkara yang telah dipelajarinya di situ. Dari pegawai atasan sehinggalah pekerja bawahan, rata-rata mereka semua tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu mengenai syarikat dengannya. Malah adakalanya dengan office boy dan makcik-makcik yang membersihkan pejabat juga Irish tidak segan silu untuk bertanya sekiranya keadaan memerlukan dia untuk berbuat demikian. Orang cakap kalau segan bertanya, jadilah seperti katak di bawah tempurung.
Tuk! Tuk! Tuk!
Ketukan di muka pintu mengejutkan Irish yang ketika itu sedang khusyuk menghadap skrin komputer di biliknya.
"Masuk."
"Cik Irish!" kelihatan Insyirah, pembantunya melangkah masuk dengan beberapa fail di tangan. "Ini dia annual report syarikat untuk lima tahun yang Cik Irish minta tadi."
"Oh! Terima kasih, Insyirah. Nampak gayanya saya kena hadap jugaklah annual report ni untuk fahamkan yang lain-lain ni semua." Irish menunjukkan mejanya yang dipenuhi dengan fail-fail syarikat. Semuanya perlu diteliti. Minggu-minggu terawal begini memang inilah yang akan ditelaahnya memandangkan banyak lagi hal-hal syarikat yang dia perlu fahami dan ketahui.
"Tebal-tebal annual report ni, Cik Irish. Larat ke? Kalau sayalah, mahu pengsan macam ni!" Insyirah yang sudah duduk di kerusi berhadapan Irish menggeleng-gelengkan kepalanya. Gerun melihat fail-fail laporan tahunan itu yang setebal hampir lima inci setiap satunya.
"Saya dah biasa, In. Masa belajar dulu dah selalu kena analisis macam-macam annual report syarikat. Kalau tak, tak dapatlah nak analyze dan tahu financial dia macam mana."
"Hmm, sebab tulah saya takat jadi pembantu je boleh. Eh! Ni nanti lunch Cik Irish turun makan dengan kitorang macam biasa ke?" Insyirah bertanya. Memang semenjak hari pertama bekerja lagi gadis itu sudah keluar makan tengahari bersamanya dan rakan-rakan pejabat yang lain. Dia sendiri yang mempelawa memandangkan ketuanya itu tidak biasa lagi dengan tempat-tempat di sini. Tambahan pula Irish jenis yang tidak kisah untuk keluar makan dan bergaul dengan pekerja-pekerja bawahannya, walaupun dia boleh dikatakan seorang yang berpangkat juga di syarikat. Disebabkan itu dia dan rakan-rakannya yang lain amat menyenangi Irish.
"Oh! Saya lupa nak bagitahu. Abang saya call tadi ajak temankan dia lunch hari ni. Tapi hari ni je. Esok saya keluar dengan awak dan yang lain-lain macam biasa. Tak apa, kan?" beritahu Irish. Memang Izzul menghubunginya tadi mengajak untuk makan tengah hari bersama
memandangkan mereka belum berkesempatan berbuat demikian sejak dia mula bekerja di sini.
"Tak ada hal lah, Cik Irish! Kitorang okay je. Kalau macam tu, saya keluar dululah."
"Okay. Pesan kat diorang saya minta maaf sebab tak dapat join hari ni, ya."
Insyirah menunjukkan isyarat ibu jari di muka pintu. "Enjoy your lunch!"
TENGKU HAFIY melangkah keluar dari lif sebaik sahaja pintu terbuka. Niat di hati ingin pulang ke villa untuk makan tengah hari memandangkan petang ini dia tiada sebarang mesyuarat atau temujanji dengan klien syarikat. Sudah lama juga dia tidak mempunyai kesempatan begini disebabkan jadual kerja yang agak padat. Setibanya di ruang legar syarikat, Tengku Hafiy terpandangkan kelibat seorang gadis di sofa yang disediakan di ruangan itu. Sepertinya sedang menunggu seseorang.
'Tunggu siapa pulak dia kat situ? Atau ada masalah?' desisnya. Tengku Hafiy tidak jadi meneruskan langkah. Sebaliknya kaki dihayun menghampiri gadis tersebut.
YOU ARE READING
🍂 BaYanGaN GuRaUaN (Published) 🍂
RomanceIRISH QIARA, zaman remajanya tercalar dek kepedihan masa silam. Reza, lelaki yang diharap akan menjaga seumur hidup, pergi meninggalkannya untuk menikahi perempuan lain. Pergi bersama janji-janji serta beban yang tersisa buat dirinya. Hinggakan Iris...