IRISH melangkah masuk ke pejabat sedikit awal hari ini berbanding biasa. Ada kerja yang perlu diselesaikannya. Pukul 10.00 nanti akan diadakan mesyuarat oleh Tengku Haiyan bersama semua jabatan syarikat. Jadi dia harus menyediakan laporan-laporan yang akan dibentangkan oleh Pengarah Kewangan, Encik Naufal di dalam mesyuarat nanti. Jam di dinding menunjukkan waktu sekarang pukul 8.00 pagi.
"Awal lagi. Hmm, lapar pulak!" Irish berbicara sendiri. Pagi tadi dia tidak sempat menjamah sarapan kerana ingin bertolak awal ke tempat kerja kononnya. Membebel jugalah Puan Qarina padanya. "Pergi buat air sekejaplah."
Gadis itu bangun semula dan melangkah keluar dari bilik. Suasana di ruangan pejabat masih lengang kerana semua pekerja masih belum sampai. Kakinya dihayun menuju ke ruangan pantry yang dikhaskan untuk pekerja-pekerja di tingkat dua belas itu. Masuk sahaja ke dalam pantry, Irish terus mencapai sebiji gelas beserta sudu. Diambilnya satu uncang teh lalu dimasukkan ke dalam gelas bersama beberapa sudu gula. Kemudian dia mengambil air panas di dalam thermo pot di situ. Sedang Irish leka mengacau airnya, kelibat seseorang masuk ke pantry. Agak lama dirinya diperhatikan namun sedikit pun tidak dia sedari.
"Boleh buatkan air untuk saya?"
Sepantas kilat Irish berpaling ke belakang. Mahu gugur jantungnya dikejutkan sebegitu rupa. Mujur tidak jatuh gelas yang dipegang. Kalut sebentar dia melihatkan tuan punya suara yang sedang elok bersandar di dinding sambil berpeluk tubuh merenung ke arahnya.
"Te... teng... tengku!"
"Sorry. Saya dah terkejutkan awak." Bersahaja Tengku Harrys menjawab. Matanya masih tidak lepas dari memandang Irish.
"Tengku nak air?"
"Hmm. Boleh buatkan untuk saya?"
Irish sekadar mengangguk, lalu dipusingkan kembali badannya. Dicapai sebiji lagi gelas yang lain untuk Tengku Harrys.
"Nak saya buatkan air apa?" Irish menyoal.
"Milo panas."
"Nak letak susu atau gula?"
"Kenapa? Biasa awak buat air milo letak apa?" Tengku Harrys menyoal hairan.
"Gula. Saya tak minum susu."
"Hmm... buatlah macam yang selalu awak buat."
Senyap. Tiada soalan lagi dari Irish. Diperhatikan sahaja tangan gadis itu yang laju membuat kerjanya tanpa menghiraukan dia di belakang. Dengan perlahan Tengku Harrys menghampiri Irish dan kemudian berdiri betul-betul di belakang gadis itu.
"Dah siap?"
"Hmm?" Irish tersentak. Terasa begitu hampir suara itu dengannya. Dari ekor mata, dia dapat melihat tubuh Tengku Harrys sudah berdiri hampir di belakangnya ketika ini. Kalau dia berpusing memang pasti mereka akan berlanggar. Irish menjarakkan dirinya agar menjauh sedikit. Gelas yang berisi milo panas juga segera dihulurkan pada Tengku Harrys sebelum dia memalingkan kembali tubuhnya. Dan tidak mahu lelaki itu perasan rasa gementar yang cuba disembunyikan, Irish cuba menyibukkan diri mengemas barang-barang yang telah digunakan.
"Thanks," ucap Tengku Harrys. Milo panas tersebut dihirup dengan perlahan. Sesaat, didekatkan semula dirinya pada Irish lantas membisikkan sesuatu ke telinga gadis itu. "Saya anggap ini sebagai denda disebabkan tiga kali awak langgar saya, tiga kali tu jugak awak minta maaf tanpa pandang muka saya."
Sebaik menghabiskan kata-katanya, lelaki itu terus beredar meninggalkan pantry bersama satu senyuman nakal di wajah.
Membulat mata Irish. Sekali lagi jantungnya hampir gugur. Dan kali ini memang benar-benar pasti akan terkeluar. Pantas dia menoleh ke arah Tengku Harrys, namun kelibat lelaki itu sudah pun menghilang di sebalik dinding.
YOU ARE READING
🍂 BaYanGaN GuRaUaN (Published) 🍂
רומנטיקהIRISH QIARA, zaman remajanya tercalar dek kepedihan masa silam. Reza, lelaki yang diharap akan menjaga seumur hidup, pergi meninggalkannya untuk menikahi perempuan lain. Pergi bersama janji-janji serta beban yang tersisa buat dirinya. Hinggakan Iris...