"Hihihi...kelakarlah awak ni!" ketawa seorang budak perempuan sambil mewarna sesuatu di atas kertas dengan warna krayonnya yang sama panjang dengan jari kelingkingnya.
"Alia! Tengah buat apa tu?" kedengaran suara seorang perempuan dari dapur.
"Ni ha...tengah colour gambar yang Alia lukis ni dengan kawan Alia..."
Ibu Alia, Sofia yang tengah memasak rasa seperti hendak pitam mendengar kata-kata anak tunggalnya itu. Setahunya, hanya mereka berdua saja yang ada di rumah ketika itu.
"Kawan? Kawan Alia yang mana satu?" teriak Sofia dari dapur.
"Ni. Tengah duduk sebelah Alia ni. Dia kata nama dia Mary..." jawab Alia.
"Tapi Alia peliklah ma, Mary ni tak banyak cakap. Muka dia pun pucat. Alia kesian tengok dia," kata Alia lagi.
Terasa hendak luruh jantung Sofia mendengar kata-kata anaknya yang petah bercakap itu walaupun baru berumur 8 tahun. Dia pun menjenguk anaknya yang berada di ruang tamu dari dapur. Kelihatan anaknya ketawa sendirian seolah-olah sedang bermain dengan orang lain. Sesekali kelihatan Alia bercakap sendirian sambil menunjuk-nunjuk gambar yang diwarnanya pada 'kawan'nya itu sedangkan di mata Sofia hanya Alia seorang saja yang berada di ruang tamu ketika itu.
Pada malam itu, Sofia duduk di sofa ruang tamu sambil menonton berita bersama suaminya, Azman. Sofia teringat akan kejadian siang tadi. Dengan nada risau, dia pun menceritakan pada suaminya itu.
"Bang, saya risaulah dengan Alia tu. Hari-hari dia asyik cakap pasal kawan khayalan dia. Tadi pagi Alia cakap pasal kawan dia tu. Dia cakap nama kawan dia Mary. Seram sejuk saya dibuatnya, bang..." Sofia memulakan perbualan.
"Alah...biasalah tu. Dulu masa abang kecil pun abang ada teman khayalan. Lama-lama, benda tu hilanglah. Jangan risaulah, kalau dia dah besar nanti, takda dah benda tu..." kata Azman dengan tenang. Matanya masih tertumpu pada kaca televisyen yang menayangkan laporan berita sukan Olimpik Rio yang bakal bermula 6 Ogos nanti.
Mendengar kenyataan suaminya itu, Sofia pun berfikir seketika. Ada benar juga apa yang dikatakan suaminya itu. Mengikut kepercayaan masyarakat tradisional, setiap anak yang baru lahir mempunyai teman khayalan yang hanya mampu dilihat oleh mereka sahaja. Dalam masyarakat Sabah, benda ini digelar sebagai tembuni. Sebab itulah, kita kadang-kadang dapat melihat bayi yang baru lahir tersenyum dan kadang-kadang seperti menangis semasa mereka tidur.
Pada keesokan hari, Sofia terbangun kira-kira pukul 8 pagi. Dia cemas seketika kerana Alia sudah lambat ke sekolah.
"Eh, hari ni kan hari minggu? Nyanyuk betullah aku ni..." gumam Sofia sendirian setelah sedar dari mamai.
Sofia pun ke tandas untuk membersihkan diri. Sepanjang dia mandi, otaknya tidak henti-henti memikirkan tentang Alia. Setelah berfikir masak-masak, Sofia nekad hendak membawa anak tunggalnya itu berjumpa bomoh petang itu juga. Kebetulan, dia juga mengenali Pawang Budianto, seorang bomoh yang handal dalam menangani kes-kes sebegini.
Petang itu, kelihatan kereta Proton Preve meluncur masuk ke halaman rumah kayu berbumbung nipah yang kelihatan uzur. Struktur rumah itu agak senget kerana ada tiangnya yang sudah dimakan anai-anai. Kedudukan rumah itu yang jauh terperuk ke dalam hutan boleh menaikkan bulu roma sesiapa pun yang berkunjung ke sana. Sesekali kedengaran bunyi ungka bersahutan seolah-olah memberi petanda supaya segera pergi dari tempat ini.
Sofia muncul dari dalam kereta. Sofia membuka pintu belakang dan menyuruh Alia keluar. Dia memimpin Alia ke arah rumah yang kelihatan seperti rumah yang sering muncul dalam rancangan Misteri Nusantara itu. Ideanya membawa Alia berjumpa bomoh ini tidak diberitahu kepada Azman kerana dia tahu suaminya itu pasti tidak akan bersetuju. Lebih-lebih lagi, suaminya itu seorang yang kuat agama dan tidak mempercayai perkara tahyul sebegini.
YOU ARE READING
WELCOME TO YOUR NIGHTMARE
HorrorBrave enough to read this ? Come, read some story. I promise it would be fun.