"Mama! Laura nak anak patung ni, cantikk!"
Ina menoleh ke arah anaknya sambil tangannya sibuk membelek novel-novel lama di kedai barangan terpakai.
"Dekat rumah kan dah banyak Laura, patung zirafah hari tu mama beli tak habis main lagi kan.."
Ina cuba menafikan permintaan anaknya. Ini yang payah bawak anak kecil ke kedai barang-barangan terpakai. Di samping banyak barang-barangan rumah, di sini juga ada dijual permainan terpakai juga. Semuanya lengkap dan masih kelihatan cantik. Laura mula membuat muka sedih, jarinya menguis-nguis hujung rambut anak patung yang kelihatan seperti budak lelaki itu. Ina pula mudah lembut hati.
"Dah, pergi ambil cepat, kita nak balik dah ni."
Ina akhirnya mengalah. Kasihan pula melihat anak perempuanya bersedih termenung melihat anak patung tersebut. Di rumah nanti mesti dia terkilan jika tak dapat apa yang dimahukannya. Laura dengan gembiranya terus menggendong anak patung yang berskala kurang separuh daripada dirinya. Ina hanya tersenyum. Lagipun barangan terpakai di kedai ini tidaklah mahal mana. Ina tidak mahu berkira dengan anak kesayangannya.
Semasa beratur di kaunter, Ina mengambil anak patung tersebut untuk memeriksa kondisinya bagi memastikan fizikalnya sempurna dan tidak rosak. Anak patung yang diperbuat daripada kayu ini kelihatan kemas, halus dan teliti buatannya. Matanya besar, mulutnya boleh dibuka boleh dikatup, setiap sendinya juga boleh bergerak.
Di beberapa bahagian tubuhnya ada juntaian-juntaian tali tangsi halus. Ia kelihatan seperti telah dipotong. Pada pengamatan Ina, anak patung ini merupakan boneka boleh gerak seperti yang pemain boneka biasa mainkan di pentas persembahan.
"Puan?"
Penjaga kaunter memanggil. Ina begitu asyik memeriksa patung tersebut sehingga tidak sedar gilirannya untuk membayar sudah tiba. Cepat-cepat dia meletakkan barang-barang yang ingin dibeli di kaunter. Pekerja kaunter membelek-belek anak patung yang ingin dibeli oleh Ina. Mukanya berkerut-kerut.
"Kenapa dik, ada apa-apa yang tak kena ke dengan patung ni?" Tanya Ina.
"Tak puan. Rasanya patung ni masih dalam bilik stor lagi tadi." Jawab si penjaga kaunter. Sambil itu dia menoleh ke tempat rak bahagian permainan kanak-kanak. Kelihatan seorang pekerja lelaki sedang berada di situ dengan kotak berisi stok di tepinya.
"Oh, mungkin kawan saya tu yang dah letak dekat rak tadi."
Penjaga kaunter terus mengira dan memasukkan kesemua barangan yang dibeli oleh Ina ke dalam plastik besar. Ina membayar kemudian terus keluar untuk pulang. Semasa di dalam kereta, Laura membelek dan bermain-main dengan anak patung barunya. Gembira bukan kepalang rasanya kerana memperoleh mainan baru. Digerak-gerakkan sendinya yang hampir keseluruhan boleh bergerak. Anak-anak patungnya sebelum ini tidak seseronok sebegini di mana sendinya kaku tidak boleh bergerak banyak.
Ina tersenyum melihat keletah anak kesayangannya. Moga Laura puas bermain dan tak minta mainan baru lagi. Sempat juga dia mengambil gambar Laura bersama anak patung barunya menggunakan kamera telefon.
Sesampainya sahaja di rumah, Ina terus ke dapur bersiap sedia untuk masak. Manakala Laura pula menyambung bermain dengan anak patung barunya di ruang tamu. Dikumpulnya semua anak-anak patung yang lain untuk turut sama 'menyertai' dan 'berkenalan' dengan patung baru ini. Ada zirafah, harimau, beruang, dan juga beberapa barbie doll.
"Laura, mama masak sekejap ya. Laura main dulu, nanti mama datang."
Pesan Ina kepada anaknya dari ruang dapur sementara tangannya laju memasak. Dari situ dia mendengar anaknya bercakap-cakap dengan anak patung. Walaupun tidak bernyawa tetapi itu lah yang kebiasaan anak-anak kecil akan lakukan. Dalam usia 5 tahun, apa lah yang mereka tahu sangat. Semua mainan itu ibarat teman rapatnya.
YOU ARE READING
WELCOME TO YOUR NIGHTMARE
HororBrave enough to read this ? Come, read some story. I promise it would be fun.