“Ala... sweetnya. Yani, kau tengok hero tu. Sweetnya. Cerita ni kan fasal kahwin paksa. Mula-mula diorang benci pas tu jatuh cinta. Bestnya kalau jadi kat aku.”
Nora beria-ia bercerita pada Yani. Kami berempat menyewa di rumah teres tiga bilik ni. Aku, Yani, Nora dan Liza.
Yani mencebik.“Nilah perempuan. Sikit-sikit terpengaruh dengan drama. Tolonglah, kau ingat hidup kita ni terlalu mudah. Kahwin lepas tu bahagia till Jannah? Sekurang-kurangnya kau kena la tahu macam mana bakal suami kau nanti. Kaki perempuan ke, kaki mabuk ke... Belum dapat memang la sorok, dah dapat habis semua perangai yang buruk keluar.”
Yani sudah membebel. Aku hanya mendiamkan diri. Aku tahu bebelan itu dia tujukan pada aku.Dia menjeling aku. Aku hanya tersenyum nipis. Telefon pintarku yang berbunyi tanda ada panggilan masuk kucapai.
Tertera nama Hakim. Aku mula gelabah. Hakim call aku? Cepat -cepat aku membawa diri ke bilik. Tidak mahu kawan-kawan mendengar perbualanku.“Assalamualaikum.” Aku memberi salam sebaik panggilan diangkat.
“Waalaikumussalam. Hai Yana... Yana buat apa tu?” Suara garau Hakim yang menyapa menggetarkan hati aku.
“Tak... tak buat apa...” Gugup aku dibuatnya.
“Erm... Yana, hujung minggu ni ada buat apa-apa? Kita jumpa boleh? Bincang hal kita... saya pun teringin nak tengok Yana dekat-dekat. Sekarang dapat tengok gambar je.”
Hakim ajak aku jumpa? Macam mana ni? Aku mula gelabah apabila memikirkan akan pertemuan pertama kami nanti.“Ermm... boleh. Tapi Yana bawa kawan, boleh?” Tanyaku. Tidak berani pula aku nak berjumpa Hakim secara bersendirian.
“Boleh. Saya pun bawa kawan nanti. So, nak jumpa di mana? Tak pun Yana WhatsApp address Yana. Nanti saya pick up.”
Aku memikir seketika.“Tak payahlah. Kita jumpa di restoran Fareeda saja. Dekat dengan Taman Anggerik. Dekat 7E tu. Itupun kalau awak tak kisahlah”
Akhirnya aku membuat keputusan. Harap Hakim setujulah. Restoran itu sahaja yang berdekatan dengan rumah sewa aku.“Okeylah kalau macam tu. Betul ni tak nak saya ambil?”
“Betul... Yana pergi sendiri nanti dengan kawan. Dekat je dengan rumah Yana.”
Handphoneku bergetar pula. Emak membuat panggilan masuk.“Awak, Yana letak dulu ya. Emak call la. Assalamualaikum...”
“Hah! Angkat pun. Hang bergayut dengan sapa?” Suara emak menyergah dari peti suara handphoneku.
“Assalamualaikum mak. Kenapa mak call alang ni?” Aku memintas emak. Malas mahu mendengar bebelan emak.
“Ha, waalaikumussalam. Hakim dah telefon hang?”
“Dah. Baru tadi. Ahad nanti kami jumpa.” Emak ni macam tahu-tahu pula bakal menantu dia tu telefon tadi. Eh! Macam jadi je kan kau Yana. Perasan!
“Ha baguslah. Buat perangai elok-elok sikit. Dah la, aku nak tanya tu ja. Habis kredit aku. Nak harap hang telefon, mimpilah.” Emak terus mematikan panggilan. Aku terkebil-kebil melihat handphone di tangan.
AKU pandang Yani yang berskirt pendek dan baju tanpa lengan. Yani memang seksi dari dahulu. Dia seorang yang berbuat sesuka hatinya. Seorang yang lantang dan berani. Tidak seperti aku. Tapi sungguh pun perwatakan Yani yang agak sosial, aku tahu Yani pandai jaga diri.
Aku pula hanya mengenakan T-shirt baggy bersama jean. Rambutku yang lurus separas bahu kubiarkan lepas.
Puas juga kupujuk Yani barulah dia bersetuju menemani aku untuk bertemu Hakim.Aku dan Yani memilih meja yang agak tersembunyi. Menghindari bunyi bising orang ramai di restoran itu. Hatiku mula berdebar-debar menanti Hakim.
Terlihat kelibat Hakim dan juga temannya. Aku melambai ke arah mereka. Dia menapak ke arah kami.
Kacaknya... Dia mengenakan T-shirt hitam dan juga jaket kulit. Di tangannya pula terapit topi keledar seperti topi keledar orang lumba motor itu. Memang sangat bergaya badboy.Dia menyelak rambutnya yang sedikit berjuntaian ke belakang. Lalu menyalami aku dan Yani. Begitu juga temannya yang tak kurang kacaknya.
“Yana nampak lagi cantik dari dalam gambar,” pujinya. Aku menunduk malu dipuji oleh lelaki pujaanku. Pipiku terasa membahang dan panas.
“Dah order dah?”
“Belum.” Aku menggeleng.
Dia memanggil pelayan. Lalu memesan makanan. Aku memilih nasi goreng paprik. Yani pula hanya mi goreng. Manakala Hakim dan temannya, Danial memilih makanan barat.
“Yana setuju kahwin dengan abang?” Dia mengajukan soalan tepat kepadaku usai kami selesai menjamu selera.
Yani dan Danial membawa diri ke luar restoran. Berbual di sana. Entah apa yang mereka bualkan. Yani yang cemberut mulanya tadi sudah ceria.
“Awak?” Soalku kembali tanpa menjawab persoalannya.
“Panggil abang sajalah. Mak tak cerita ke dulu masa kita masih kecil. Abang yang selalu buaikan Yana.” Dia tersenyum. Dan senyuman itu semanis gula.
“Ya?” Aku terkejut. Tidak pula emak bercerita tentang itu pada aku.
“Yalah. Dulu kan kita berjiran. Abang masa tu lima tahun. Yana selalu menangis. Abang saja yang dapat pujuk Yana. Tak sangka pulak budak kecik yang abang pujuk tu bakal isteri abang.” Dia mencuit hidungku.
Tergamam aku dibuatnya. Entah mengapa auranya terlalu kuat. Dia membuat aku terbuai dengan tingkahnya.“Abang... sudi ambil Yana jadi isteri?” Tanyaku ragu-ragu.
“Yana terima?” Ah sudah. Main teka-teki pula dia...
Aku menunduk malu. Bermain-main dengan jariku.
Tiba-tiba dia meraih jemariku. Menggigil aku dibuatnya.“Kita cuba. Yana pun mesti tak mahu hampakan harapan mak ayah kan? Macam tu juga dengan abang.”
Aku mengangkat muka. Mencari keikhlasan dari matanya.
Renungannya tajam menangkap mataku…Akhirnya aku menunduk langsung mengangguk kecil. Pipiku kini mungkin sudah bertukar rona akibat malu hingga aku terlupa terus siapa diriku ini.
Ya. Hakim nampak begitu ikhlas menuturkan kata-katanya.
Dia mencium belakang tanganku. Tergamam aku dengan tindakannya itu. Aku renung wajahnya yang tersenyum penuh makna itu. Renungan matanya yang redup membawa aku ke satu dimensi yang bernama cinta.“Thanks sayang... I’ll make you the happiest woman in this world.” Bisik dia penuh romantis.
Sangat sweet talker gayanya. Entahlah... Yang pasti aku bahagia lelaki pujaan aku menerima aku sebagai suri hatinya.
Aryana... kau pun layak bahagia kan?
YOU ARE READING
Akulah.. ARYANA ( Sudah Terbit )
RomanceSinopsis : TERBIT APRIL 2017 (under TROP publication.) Rm24sm/Rm27ss PERKAHWINAN aturan keluarga antara aku dan Hakim bukanlah seindah yang kuimpi walaupun dialah yang kupuja dalam mimpi indahku. Siapa sangka kisah silam waktu kecilku menghantuiku h...