Bab 8

5.8K 196 3
                                    

Diam tak diam, lagi seminggu majlis pernikahan aku dan Hakim akan berlangsung. Semuanya aku uruskan sendiri. Hakim sentiasa sibuk. Aku faham dengan tugasnya apatah lagi dia akan mengambil cuti panjang selepas majlis kami. Tentu banyak kerja yang perlu dia selesaikan.

Emak berkeras ingin mengadakan majlis besar-besaran kerana aku anaknya yang pertama akan berkahwin. Duit hantaran yang Hakim beri kepada aku sebanyak RM20,000 itu pun emak yang pegang. Langsung aku tidak merasa. Katanya untuk menampung perbelanjaan majlis perkahwinan aku nanti. Sedangkan baju pengantin, pelamin, bilik pengantin semuanya Kak Elly ingin taja. Hadiah untuk aku katanya. Entahlah. Kalau itu menyenangkan emak, terpulanglah.
Aku sudah pun berhenti kerja. Hakim ingin aku menjadi suri rumah sahaja nanti. Menjaga makan pakainya sahaja. Dia mampu sara aku. Begitulah katanya. Aku hanya menurut kemahuannya itu. Bukankah tugas isteri mendengar kata suami.

“Alang, buat apa tu?”
Aku yang sedang mengupas buah mempelam di pangkin di hadapan rumah terkejut dengan kehadiran adik yang tiba-tiba. Langsung khayalanku termati.

“Kopek pelam ni. Pergi ambil kicap sepiring, cili dengan belacan sikit. Sedap ni buat colek.” Kecur liurku melihat buah mempelam yang kukait dari pokok di hadapan rumah tadi.

Adik berlalu ke dapur. Tak lama kemudian dia muncul dengan sepiring kicap dan cili bersama belacan.

“Alang, adik ada nak cakap sikit la.”
“Apa?” Aku mencolek buah mempelam itu langsung kubawa ke dalam mulut.

Ermm... sedapnya. Puas hati kalau mencolek buah mempelam tanaman sendiri. Rangup dan rapuh.

“Alang tahu tak Abang Am ambil dadah?”
Uhuk! Pertanyaan adik itu buat aku tersedak. Terasa perit tekakku.

“Apa adik cakap ni? Alang tak faham. Amri? Am ambil dadah? Mak tahu tak?” Bertubi-tubi aku bertanya kepada adik. Piring mempelam sudah kutolak tepi. Mati selera aku mendengar perkara yang adik sampaikan.

“Mak tahu. Tapi mak suruh rahsiakan daripada semua. Tapi alang pun tahu kan, adik mana pandai simpan rahsia daripada alang.”
Aku dan adik memang agak rapat. Mungkin aku yang banyak menjaganya sedari kecil. Bukan emak.

“Lepas alang kahwin ni, adik ingat nak cari kerja. Nak pergi duduk dengan along je. Along pun tak kisah. Mak beria-ia suruh adik kerja. Result SPM adik langsung mak tak tengok. Tapi apa nak hairan. Lima tahun adik kat asrama tak pernah sekali pun mak jenguk. Ayah apatah lagi. Adik sedih la, alang. Nak apply mana-mana universiti pun adik malas dah bila mak cakap macam tu. Yang Abang Am tu, langsung mak tak tegur. Tak suruh kerja. Sekolah pun tak nak. Tau la anak jantan sorang.”
Adik meluah rasa padaku. Aku terkaget sebenarnya. Sampai hati mak. Kesian adik. Aku nak menolong pun aku tak mampu.

“Along tak cakap apa-apa ke?” Tanyaku. Yalah adikku, Amri tu takut sedikit dengan along.

“Along tak tau lagi fasal Abang Am. Fasal adik, along tak nak tolong adik sambung belajar. Dia marah. Semua nak minta duit dekat dia. Adik tak nak susahkan angah. Selama ni, adik sekolah pun semua angah yang tanggung. Adik kesian kat angah. Biarlah adik kerja.”
Adik lirih sahaja meluah lagi. Aku pula yang berasa sebak. Kesian adik bongsuku itu.

Aku tak faham emak. Kenapalah masih wujud seorang emak macam emak? Terlalu taksub pada anak lelaki. Si Amri langsung tidak boleh dijentik. Nyamuk pun tidak boleh hinggap. Masa kami kecil-kecil dulu, kalau Amri terjatuh, tersadung...siaplah kami kakak-kakaknya terasa perit dirotan emak. Natijahnya, tengoklah apa yang jadi pada Amri tu. Rosak kerana dadah.

Siapa kata anak perempuan susah dijaga berbanding lelaki? Zaman sekarang ni sama sahaja, baik perempuan mahupun lelaki. Baik didikannya, baiklah dia. Kalau buruk didikannya, buruklah dia. Kalau sekarang pun pelbagai masalah sosial yang kita hadap, entah apa nasib anak-anak 15 tahun akan datang agaknya yang kehidupan mereka lebih mencabar dari sekarang.

“Alang nak tolong. Tapi adik tahu la kan, alang pun baru berhenti kerja. Nak minta tolong Abang Hakim, segan pulak. Kahwin pun belum dengan dia.” Terasa serba-salahnya aku pada adik yang aku sayang itu.

“Ala lang, tak apa... adik fahamlah. Tak belajar tinggi pun tak apa janji dapat buat mak puas hati, sudah.”
Aku berikan senyuman nipis kepada adik. Pipinya kuelus lembut.

Emak...tengoklah, anak-anak perempuan emak semuanya sanggup berkorban untuk emak. Tak nampak lagikah kasih sayang kami pada emak? Kenapa anak kesayangan emak itu juga yang emak sanjung dan bela?

“Alang, adik risaulah... Abang Am makin melampau tau. Kalau tak dapat duit nak beli dadah, dia mengamuk-ngamuk. Emak sampai menangis-nangis. Pernah sekali dia tolak emak sebab emak bagi sepuluh ringgit je dekat dia. Ya Allah, menggigil adik tengok. Tapi mak tetap bela. Mak kata nak bawa abang berubat tapi sampai ke sudah macam tu.”
Adik sudah menghentam penumbuk di telapak tangannya. Geram sangat barangkali. Aku terlopong mendengarnya. Sampai begitu sekali Amri buat emak? Sikit pun emak tak pernah bercerita dekat aku mahupun along. Sakitnya hati aku. Patut aku tak nampak kelibat Amri. Entah ke mana dia merayau aku tak tahu. Jangan-jangan sedang jadi doktor menyuntik diri sendiri di mana-mana pot gengnya.

Aku usap bahu adik.
“Sama-samalah kita doa dia berubah. Mak pun kita doakan supaya berubah ke arah yang lebih baik.”
Adik mengangguk.
Emak, tengoklah hasil didikan emak. Emak asyik mengata anak orang hingga emak terlupa menjaga anak sendiri.






Akulah.. ARYANA ( Sudah Terbit ) Where stories live. Discover now