Bab 5

7.4K 255 19
                                    


“Yana, posing la sikit. Aduii... janganlah tegak macam patung cendana,” arah Abang Saleh.

“Mana Yana tau.” Hish. Mana aku tahu nak bergaya ala model ni. Pinggang pun keras.

“Buat macam dalam majalah tu...” Arah Abang Saleh lagi. Eii... menyampah. Cerewet macam kakak sepupu dia juga!

“Hurm... Yana cuba.” Aku melentokkan badan di kerusi Cleopatra yang disediakan untuk sesi fotografi hari ini.
Terasa kekok sekali aku menggayakan gaun pengantin itu.

“Gaya dah okey. Muka pulak. Senyum sikit, Yana. Senyum.”
Ya ampun... sabar sajalah. Banyak songeh betullah Abang Saleh ni.

Aku menarik senyum pura-pura. Abang Saleh mula menjalankan tugasnya. Satu-satu kelipan dari lensa kameranya diajukan padaku.

Aku semakin selesa menggayakan gaun itu. Lepas satu, satu gaya lain kuberikan. Bagaikan model profesional pula.

“Bagus Yana. Macam tulah. Haa... buat macam ni pulak.”
Abang Saleh menunjukkan gaya. Aku menurutinya. Kelakar pula aku lihat Abang Saleh yang jantan itu berposing dengan gaya gemalai.

Kelibat Kak Elly dan juga lelaki model bidan terjun tadi mematikan gayaku.
Panahan mata lelaki itu kepadaku meresahkan aku. Lelaki yang persis model dari Korea itu tak sudah-sudah memerhatikan aku.

Tall, fair and handsome. Jauh dari lelaki pujaanku Hakim yang sememangnya menepati seleraku.

Tall, dark and handsome seperti kata Khairy Jamaluddin itu. Hakim ibarat lelaki Melayu terakhir bagiku.

“Hurm. Nak posing macam mana ni?” Tanya lelaki itu. Nampaknya dia juga seperti aku, tidak pernah melakukan tugas ini.

Dia menapak dekat padaku. Aku mengundur. Gugup. Jantungku berdegup kencang. Aku kira kalau jantungku ini boleh melompat keluar. Tentu saja dia melompat keluar memecut laju.
Dada kupegang menahan debar.

Lelaki itu memandang aku dengan senyuman nipis.

Abang Saleh mengarahkan aku supaya duduk di kerusi tadi. Manakala lelaki itu berdiri di sebelahku. Aku yang sedang berdebar menarik senyum kek okey menghala ke arah kamera. Terasa bibirku bergetar kerana berdebar berdekatan dengan lelaki itu. Sudah lama aku tidak serapat ini dengan mana-mana lelaki. Sejak ayah sudah tidak berani menyentuhku lagi selepas kejadian di bilik air itu.

Abang Saleh mengarahkan aku berdiri pula. Berhadapan dengan lelaki itu. Perlahan lelaki itu meraih pinggangku. Serta-merta aku menolak dirinya. Tubuhku menggigil. Sentuhan lelaki itu mengingatkan aku pada sentuhan dan perbuatan ayah. Aku terduduk di kerusi sambil menutup telinga sambil menggelengkan kepala.

Tidak! Tidak... ayah jangan ganggu Yana. Yana tak mahu...
Air mataku hampir menitis. Hanya gelengan namun tiada suara meletus dari bibirku.

Lelaki itu tergamam. Dia kaku berdiri di depanku.

“Yana... Yana okey?” Kak Elly meluru mendapatkan aku. 
Suara Kak Elly mengembalikan aku ke alam nyata.

“Huh?” Aku memanggung kepala. Bayang ayah menghilang. Aku memerhati sekeliling. Aku berada di butik Kak Elly...

“Yana okey ke tak ni?” Kak Elly menyoal lagi.

“O...okey. Yana okey. Yana terkejut saja tadi. Nervous kut...” Aku tersenyum kelat. Aku tak mahu Kak Elly bertanya lebih. Sejarah silamku biar dipendam sendiri. Tidak sesekali diceritakan pada sesiapa pun. Biarlah aib ini aku bawa sampai mati.

“Sorrylah you. Dia ni sama macam you. Model bidan terjun. First time buat photoshoot ni.” Kak Elly meminta maaf kepada lelaki itu.
Lelaki itu mencangkung di hadapanku. Dia melemparkan senyuman manis kepadaku.

“Nama siapa?” Tanya dia. Aku tersentak. Langsung memandang ke wajahnya.

“Aryana,” balasku perlahan. Dia kulihat masih lagi tersenyum.

“Arya gementar ya? Mari sini saya ajarkan cara supaya hilang gemuruh.” Dia sudah pun bangun berdiri. Tangannya dihulurkan padaku...

Arya? Dia panggil aku Arya? Peliknya.
Aku teragak-agak. Namun, akhirnya kusambut jua huluran tangannya.
Kami sama-sama berdiri.

“Okey, sekarang close your eyes. Tarik nafas and lepaskan perlahan.”
Dia menunjukkan cara bernafas. Aku memejamkan mata. Menarik nafas dan melepaskannya perlahan.

“Sekarang, bayangkan Arya berada di satu tempat yang Arya suka. Yang boleh membahagiakan Arya...”
Aku terdengar suaranya yang lembut menyuruh aku membayangkan sesuatu yang indah. Langsung aku terbayangkan padang bunga lavender seperti dalam wayang hindustan. Aku berlari-lari di situ. Bahagia... bahagia kalau aku dapat berbuat begitu. Bahagia bila aku dapat lari derita yang kulalui. Serta-merta senyumanku tertarik sendiri.

“Sekarang buka mata.”
Suaranya yang lembut menyapa kembali.
Aku membukakan mata perlahan-lahan. Terpamer wajah kacaknya yang sedang tersenyum di hadapanku.

“Lega? Tak gementar dah kan?”
Aku mengangguk kemudian aku gelengkan pula. Aih? Dia tertawa kecil melihat gelagatku. Aku terpana melihat senyumannya yang menawan.

“Okey... Kalau dah okey, kita sambung. Boleh saya pegang sikit? Saya tak pegang lebih-lebih. Jangan risau.”
Aku menunduk. Mengangguk perlahan. Dia meraih bahuku, dipalingkan ke arah kamera.
Sedar tak sedar pelbagai gaya kami gayakan. Abang Saleh dan Kak Elly tersenyum ceria.

“Terima kasih Aydan. Berapa I kena bayar you ni?” Soal Kak Elly usai selesai semuanya.

“It’s okay. Tak payahlah. I ikhlas tolong you.” Aydan menolak. Hakikatnya dia menerima cadangan Elly itu kerana terpaut pada model perempuan itu. Cantik... tetapi bagai ada satu misteri pada gadis itu.

“You ni... segan I. Sudahlah I main cekup je you jadi model I, tak nak upah pulak. Betul ni tak nak?”
Aydan mengangguk kecil. Matanya diarahkan kepada Aryana.
Aku mengalihkan pandangan. Berpura-pura membelek pakaian pengantin yang tersangkut di situ.
Tiba-tiba nada dering dari telefon pintar lelaki itu berbunyi.

“Ya... ya... I datang la ni. You tunggu situ.”
Dia menjawab panggilan.

“Okey, I minta diri dulu.” Itu saja alasannya. Dia berjabat tangan dengan Kak Elly dan juga Abang Saleh.

“Arya... kalau nervous, ingat apa saya ajar ya. Bye.”

“Huh!” Aku tersentak. Tak menyangka dia menegur. Laju aku mengangguk. Dia tersenyum sebelum berlalu pergi.















Akulah.. ARYANA ( Sudah Terbit ) Where stories live. Discover now