Kisah Lagenda Castreiland yang dahulunya selalu diceritakan pada anakandanya sebelum tidur diungkit kembali. Sangkanya Puteri Fleurisella akan melupakan kisah lagenda yang menjadi kegemarannya sewaktu kecil apabila meningkat dewasa tetapi tanggapannya silap. Kisah itu masih segar di dalam kotak ingatan anakanda kesayangannya itu.
"Kenapa anakanda membangkitkan semula kisah lagenda itu?"
"Ia bukan lagenda kan, ayahanda?"
"Anakanda percaya ia bukan satu lagenda?" Soalan dibalas soalan.
"Ayahanda... Anakanda mengajukan soalan, ayahanda perlu jawab soalan anakanda," kata Fleur yang sudah bosan dengan cara ayahandanya yang selalu mengelak menjawab soalannya apabila berkaitkan dengan kisah Castreiland pada 5000 tahun dahulu.
"Ayahanda juga masih mencari jawapannya. Adakah ia benar-benar terjadi atau hanya mitos yang menjadi satu lagenda yang diceritakan dari satu generasi ke satu generasi. Ia bergantung pada kepercayaan seseorang. Jika lagenda itu benar, benarlah. Jika hanya rekaan, rekaanlah..."
"Ayahanda buat anakanda pening..." rungut Fleur.
Raja Fernand ketawa dengan telatah puteri bongsunya. "Jadi, anakanda percaya?"
Fleur diam. Dia masih memikirkan kesahihan lagenda itu. Tapi mimpi yang selalu menghantui selalu menggangu lena dan tidur... Mimpi itu bagai realiti. Realiti yang sakit untuk dihadapi sehingga dia dapat rasa kesakitan itu. Kerap kali dia terjaga ditengah malam apabila terasa sakit berhadapan dengan mimpi itu.
"Mungkin hanya mitos tetapi ditokok tambah oleh manusia..."
"Anakanda, letakkan kepercayaanmu pada seseorang yang engkau benar-benar percaya," pesan Raja Fernand.
"Baik, ayahanda. Anakanda akan sentiasa ingat segala pesanan ayahanda."
"Maaf mengganggu, Tuanku..." kata seorang lelaki dewasa yang sebaya dengan Raja Fernand. Misainya yang hitam dan melentik ke bawah dilurut perlahan.
"Menteri Yondes... Kamu tidak mengganggu. Ada sesuatu yang kamu ingin katakan?" tanya Raja Fernand dengan mesra apabila melihat Menteri Besar Wyndollyne merangkap kepada penasihatnya.
"Putera Drian dan rombongan akan tiba, Tuanku," kata Menteri Yondes.
"Jika begitu, siapkan persediaan untuk menyambut Putera Drian," arah Raja Fernand.
"Baik, Tuanku..." kata Menteri Yondes. Dia menundukkan kepala sedikit sebelum melangkah keluar.
Raja Fernand mengukir senyuman apabila melihat wajah anakanda kesayangannya yang ketat. Senyuman manis di wajah Fleur hilang.
"Kenapa dengan wajah anakanda?"
"Anakanda tidak suka dengan Menteri Yondes..."
"Kenapa anakanda berbicara sebegitu? Menteri Yondes sudah lama berkhidmat dengan Wyndollyne sejak pemerintahan Raja Freindyn."
"Anakanda tidak percayakan dirinya. Menteri Yondes seperti ada agenda..."
"Kenapa anakanda berkata sedemikian?"
"Anakanda tidak percayakannya. Beberapa purnama lepas, ada seorang penduduk kampung beritahu anakanda bahawa dia terlihat Menteri Yondes berkelakuan curiga."
"Mungkin Menteri Yondes ada perkara penting untuk dilakukan."
"Bukan itu sahaja... Ada juga yang ternampak Menteri Yondes ke Hutan Larangan."
Raja Fernand membelai janggutnya yang sudah berwarna kelabu sambil memikirkan khabar yang baru sahaja didengarinya.
"Kita tidak boleh menuduh melulu. Bukti perlu ada..."
"Ayahanda sudah dibutakan dengan kesetiannya. Hutan Larangan bukan sekadar hutan. Ia hutan yang didiami oleh Penanggal Maut, pengguna ilmu sihir hitam yang kejam."
"Ayahanda faham... Tapi ayahanda yakin Menteri Yondes tidak akan berpaling tadah terhadap negara kita."
"Kesetiaan yang diberi boleh berubah menjadi dendam yang telah lama dipendam..." hujah Fleur menegakkan pendiriannya.
"Anakanda sangat petah berkata-kata." Raja Fernand ketawa.
"Ayahanda, ini bukan masa untuk bergurau..."
"Ayahanda faham... Sudahlah... Mari kita menyambut kedatangan Putera Drian."
Wajah Fleur makin memasam apabila mendengar sebaris nama tersebut.
YOU ARE READING
Book 2: Lagenda Castreiland: Fleurisella (✓)
FantasiaFudinguFamiliaChallenge Tema: Cinta Kecantikkannya digilai oleh sang jejaka, Kecantikkannya dicemburui oleh sang perawan, Namun, rupa tidak menggambarkan tingkah lakunya... Dia... Sang puteri lincah bermain pedang, Sang puteri pandai menari digelan...