Bidasari melangkah malu-malu dari bilik belakang. Paman dan abang sepupunya, Siantan siap sedia menanti di luar rumah. Meleret senyuman Siantan melihat pakaian Pak Rasul di tubuh Bidasari.
"Aduh! Alangkah sedihnya rasa hati. Hilang sudah kejelitaan adindaku ini."
Siantan gemar mengusik Bidasari. Di hadapan mahupun di belakang ayahnya, sikap Siantan sama sahaja. Bidasari mencebik dan membalas usikan Siantan.
"Biar hilang kejelitaan di mata, asalkan kebijaksanaan masih kekal di sana."
Telunjuk Bidasari mengetuk kepala Siantan."Hamba sukakan kedua-duanya. Kejelitaan dan kebijaksanaan di dalam satu tubuh. Pasti menarik, bukan?" Kata-kata Siantan berlapis. Sebahagiannya membenarkan isi hatinya.
"Pasti jelek jika kedua-duanya digabungkan dengan kehodohan, bukan?" Lidah Bidasari terjulur mengejek Siantan.
Melihat tangan kekar Siantan panjang merentang ayahnya di atas cubaan merentap tanjak, Bidasari cepat-cepat menyembunyikan diri di sisi Paman.
"Eh! Sudah! Sudah! Macam balam dengan ketitir pula kamu berdua. Bermain-main, bertikam lidah sedangkan kita bakal berhadapan dengan perkara penting sebentar nanti."
Pendekar Hasan memegang bahu anak arwah adiknya itu. Wajahnya penuh kebimbangan.
"Paman masih lagi berkira-kira mahu kamu ikut serta. Jikalau perkara ini adalah di dalam pengetahuan Paman, sudah pasti Paman tidak akan beri izin."
Bidasari tahu kasih Paman kepadanya bagaikan lautan tidak bertepi. Akan tetapi, buat malam ini Bidasari hanya memerlukan keyakinan pamannya sahaja.
"Paman masih ragu-ragu dengan segala ilmu persilatan yang Paman turunkan kepada Sari?"
Keraguan Pamannya harus dilenyapkan. Untuk kebaikan Paman malah dirinya jua. Bidasari perlukan bekalan keyakinan yang mantap untuk berjuang sendirian nanti.
"Semua ilmu itu gunanya untuk mempertahankan diri, Sari. Sedang kini medan tempur yang menanti. Kamu pula tiada langsung sebarang pengalaman untuk menghadapinya. Masakan aku tidak susah hati? Kamu satu-satunya peninggalan berharga adik aku. Seandainya terjadi... "
Sepantas kilat Bidasari memintas kata-kata Pendekar Hasan.
"Paman bilang akan ada yang datang membantu Sari nanti, bukan? Jangan bilang sama Sari, Paman akan menghantar budak mentah ini?"
Bidasari melirik ke arah Siantan. Terhenjut-henjut bahu Siantan menghambur ketawa. Siantan tahu Bidasari hanya berseloka. Selaku pembantu utama ayahnya di gelanggang silat, tiada yang berani mempertikaikan kemahiran seni bela dirinya.
"Janji dengan Paman kau akan berhati-hati. Jangan terlalu berani. Utamakan keselamatan diri terlebih dahulu."
Jari-jemari pamannya digenggam erat sedangkan mata cuba memahat keyakinan di hati pendekar terkemuka di daerahnya itu. "Iya, Paman. Sari berjanji."
Pendekar Hasan beredar terlebih dahulu. Bidasari mahu melangkah ketiks lengannya disambar Siantan. Erat sungguh pautan tangan abang sepupunya.
"Senantiasa berwaspada Bidasari. Gunakan sepenuhnya kebijaksanaan yang ada di kepalamu itu."
Bidasari mengecilkan mata. geram juga bila mana semua orang-orang yang rapat dengannya meragui keupayaan dirinya malam itu. "Ya, iya. Itu sudah pasti kanda Atan."
Bidasari cuba melepaskan pegangan sedangkan cengkaman Siantan semakin erat.
"Aku juga keberatan melepaskan kamu, Bidasari." Renungan Siantan bagaikan menorobos jauh ke dalam jiwa Bidasari. Bidasari memutuskan tautan mata mereka dengan memandang ke hadapan.
"Kanda sudah lupa, ya. Baru sahaja dua hari yang lepas Sari berjaya mengalahkan kekanda di gelanggang."
Sudah pasti Siantan ingat benar akan kekalahan yang disengajakan itu. Dia gemar melihat senyuman yang berhari-hari bertandang di wajah Bidasari seandainya berjaya bergelar juara. Siantan juga suka mendengar celoteh Bidasari yang tahan berjam-jam lamanya menceritakan semula detik-detik kemenangan Bidasari di gelanggang silat. Dan kini, kebimbangannya kemuncak tatkala mengenangkan wajah yang sering membahagiakan hatinya itu mungkin tidak akan menjelma lagi esok hari. Hatinya amat gusar. Perasaan Siantan tertekan.
"Hanya doa yang mampu kanda iringkan. Semoga Tuhan melindungi kamu, Bidasari."
Siantan melepaskan Bidasari dengan hati yang berat.
Teratak usang di tengah hutan Bukit Bertam dapat dilihat dengan jelas dari celahan pohon rimba. Pasukan peninjau berpatah balik ke tempat berkumpul. Datuk Lelawangsa serta Datuk Berahim telah tersedia menanti di situ bersama-sama Pendekar Hasan, Siantan dan Bidasari. Satu lagi pasukan sokongan lengkap bersenjata, juga telah berada di dalam kedudukan siaga.
"Laluan ke sana telah pun kami persiapkan Datuk. Segala-galanya terkawal. Kita boleh bertindak sekarang."
Panglima Daim, selaku ketua barisan peninjau memberi penjelasan kepada Datuk Lelawangsa, ketua gerak gempur pada malam itu.
"Baiklah. Terima kasih Panglima."
Sejurus, Datuk Lelawangsa merapati Bidasari bagi menyampaikan arahannya yang terakhir."Tujuan kita memohon pertolongan cik pada malam ini hanyalah untuk mengenal pasti barang itu. Adakah ia tulin dan asli? Atau sekadar salinan daripada helaian asal. Atau ia adalah barang yang tiada kaitan langsung dengan tujuan kita pada malam ini. Sekiranya telahan kita benar, maka yang dicari bukanlah mereka yang berada di sana, akan tetapi dalang di sebalik semua rencana jahat ini. Encik mengerti?"
Bidasari mengangguk laju. Datuk Lelawangsa berpuas hati. "Semoga berjaya, anak."
Pendekar Hasan dan Siantan menghantar Bidasari sehingga ke tempat persembunyian yang terakhir. Dada Pendekar Hasan sungguh gemuruh. Kepada Bidasari diulang kembali pesanan penting.
"Elakkan dari tertangkap. Mereka tidak ramai di dalam teratak itu, akan tetapi kita mahu menjauhi sebarang curiga. Mereka hanya pesuruh-pesuruh dan kuncu-kuncu bawahan. Ini akan memudahkan langkah kita seterusnya bagi mengekori jejak rencana jahat mereka sehingga bertemu si durjana pemunya angkara."
Bidasari memeluk pamannya erat. Siantan yang berdiam diri dari tadi bersuara perlahan kepada ayahnya. "Biar anakanda memberi tunjuk jalan kepada Bidasari."
Pendekar Hasan mengangguk tanda izin. Siantan membuka arah jalan. Tangan Bidasari dipegangnya erat. Terbongkok-bongkok mereka menyusuri denai sehingga merapati pondok usang. Dikeluarkan golok kecil yang disisip di pinggang. Pintu kayu dapur diumpil perlahan sehingga terbuka. Sebelum berpatah balik dan meninggalkan Bidasari bersendirian, Siantan mengeluarkan sesuatu dari dalam bajunya dan disarungkan ke tengkuk Bidasari.
"Jangan sesekali kamu cicirkan serunai buluh ini. Sekiranya berlaku kejadian cemas, tiup serunai ini. Bantuan pasti akan datang. Jaga diri adinda baik-baik, Sari."
Melihat susuk Bidasari hilang di sebalik pintu kayu, terasa ringan kaki Siantan ingin mengekori Bidasari dari belakang. Sudah pasti hajatnya itu mustahil kerana dia terpaksa akur dengan kehendak ayahnya.
![](https://img.wattpad.com/cover/89651341-288-k846243.jpg)
YOU ARE READING
DUA PEWARIS TAKHTA
أدب تاريخيBaginda salah seorang pewaris takhta kerajaan Melaka. Sebagai ulat kitab, ketamakan terhadap kuasa, harta dan pengaruh tak pernah ada. Namun, satu persatu pewaris kehilangan mahkota mereka sehinggalah tiba gilirannya. Apakah semua itu adalah kebetul...