Sudah puas Raja Husin membelek wajah-wajah mereka satu persatu. Lima belas orang dalam satu barisan. Tiga belas baris kesemuanya. Satupun tidak menyamai imej yang melekat di kepalanya. Mana mungkin Raja Husin dapat melupakan wajah yang hanya sejengkal dengan mukanya.
"Di mana kamu cari benda ini Malim? Langsung tidak berguna!"
Bebola mata Raja Husin rapat di kanta cermin. Tangannya bergerak-gerak ke kanan dan kiri perlahan-lahan berulang alik."Bukankah tuanku bilang mahukan yang terbaik? Oleh yang sedemikian itu, habis hamba selongkar bangsal serta tempat menjaja semua saudagar di Kota Melaka daripada Si Benggali Putih, Si Hitam Gujerat, Si putih kuning Siam, Si celak Parsi sampailah Si sepet Ming. Hasilnya, nah! Ini empat terbaik yang patik perolehi."
Raja Husin tegakkan badan. Sekilas pandangan dilarikan ke dalam dulang perak di sisi. Teropong paling besar dan panjang masih erat di genggaman Raja Husin. "Empat? Satu di tangan beta, dua lagi di sini, mana satu lagi?"
Berubah sebentar wajah Malim. Pantas sahaja dia melindungi kebohongan di sebalik ketawa besar. "Aduh! Hamba ini sememangnya lebih tua daripada Tuanku. Cepat benar kena penyakit lupa. Bukan empat Tuanku, tetapi tiga."
Tiga anak jari diangkat tinggi manakala sebelah tangan lagi menjalar ke belakang baju, menepuk-nepuk sesuatu perlahan.
"Yang sebetulnya, tuanku cari apa?"Raja Husin mempamerkan senyuman senget sebelum menyambung semula kerjanya tadi.
"Beta mencari... hurm... Musang. Ya, musang berbulu mata lebat dan suka tendang orang."
"Eh! Tuanku nak buat apa dengan musang? Mahu bela? ish, isk, habis lesap satu ladang ayam ternakan istana nanti." Luas terbeliak biji mata Malim, tak percaya dengan apa yang baru didengari.
Raja Husin ketawa kuat. "Beta mahu tangkap musang itu dan ikat di batang pokok. Selepas itu, lumurkan kerengga di seluruh badannya. Biar dia tahu tempatnya di mana."
"Buat apa tangkap musang, lebih baik petik bunga. Aduhai! Indah sungguh kuntum bunga yang terselit di celah sanggul." Tersengih-sengih Malim menutur kata sambil meneropong. Barangkali dia tak sedar ayat yang baru sahaja terkeluar daripada mulutnya. Akibatnya, laju sahaja teropong di tangan Raja Husin hinggap di kepala Malim.
"Aduh! Sakit!." Terlepas teropong yang sederhana besar dari tangan Malim. Dibawanya tangan ke kepala, menggosok-gosok kuat.
"Kamu dah lama hidup Malim? Kelak akan beta adukan kepada kekanda Raja Mahadewi, biar dia korek-korek biji mata kamu."
Malim gelengkan kepala laju-laju.
"Tidak mahu tuanku. Ampunkan hamba, tuanku.""Bunga yang kamu intai itu, kesemuanya bunga larangan. Bahkan mata yang mahu memandangnya sahaja, sudah pasti bukan sembarangan mata."
Kini teropong di tangan Raja Husin di hala ke arah timur. Meskipun jauh, imej Raja Mahadewi bersama-sama dua lagi sahabatnya di taman larangan nampak sungguh jelas. Bunga mawar merah yang dipetik, tersemat erat di bawah lipatan sanggul mereka.
Corong telinga Raja Husin menangkap gema siulan dari perkarangan istana. Raja Muhammad mendongak ke anjung kamar Raja Husin di tingkat empat istana besar. Tangan dilambai-lambai ke udara seketika sebelum menghadang keseluruhan matanya. Silauan bak manikam yang terpancar dari kemuncak kubah istana telah memanah mata Raja Muhammad. Setelah itu dia berpaling semula menghadap kumpulan pasukan keselamatan yang sedang rancak berlatih.
"Mari, Malim. Kita turun ke bawah."
Malim menurut sahaja kemahuan putera rajanya. Raja Husin segera menghampiri Raja Muhammad yang berdiri keseorangan.
"Ini semua orang-orang Datuk Lelawangsa?"
Jika tadi, Raja Husin hanya mengintai dari jauh, kini wajah-wajah hulubalang istana diteliti semula satu persatu. Dia juga dapat melihat dengan jelas Datuk Lelawangsa yang sedang mengawasi anak buahnya dari belakang.
YOU ARE READING
DUA PEWARIS TAKHTA
Ficción históricaBaginda salah seorang pewaris takhta kerajaan Melaka. Sebagai ulat kitab, ketamakan terhadap kuasa, harta dan pengaruh tak pernah ada. Namun, satu persatu pewaris kehilangan mahkota mereka sehinggalah tiba gilirannya. Apakah semua itu adalah kebetul...