BAB 1 Naskhah

1K 54 10
                                        


"Sudah bersedia adinda?" Pertanyaan diaju penuh sinis. Malah hujungnya diakhiri dengan gelak tawa Raja Muhamad.

Tidak menoleh, Raja Husin sekadar menggangguk. Tubuhnya di posisi bersiaga. Segala tumpuan dan tenaga telah dipusatkan. Dengan sedikit membongkok ke hadapan, Raja Husin memasang tekad. Dia pasti kemenangan akan berpihak kepadanya kali ini. Sekilas, ingatannya berlari mengingati kesalahan pada pusingan pertama tadi. Hilang imbangan tubuh sewaktu meniti batang balak telah melambatkan kelajuan sekaligus menjauhkan kedudukan dari pesaingnya sehingga menemui kekalahan.

Sejurus Raja Muhamad memberi isyarat, kawasan dusun Diraja bergema dengan teriakan pengawal. "Mula!"

Segala tenaga dikerah agar larian bertambah pantas. Dalam jarak kurang dari 200 kaki, Raja Husin menangkap kelibat kain perca merah pada hujung batang anak panah di dalam bergetar. Lima kain merah menandakan lima sasaran sedang menanti. Sasaran yang pasti ditembusi anak panahnya tanpa satupun tersasar!

Tatkala busur dan bergetar dicapai, Raja Husin sempat melirik ke sisi. Raja Muhamad juga telah selesai melalui cabaran pertama beberapa langkah di belakangnya. Bergetar disangkut ke bahunya. Halangan Raja Husin cuma pada sebatang balak di hadapan. Dia mulai memecut agar tatkala kaki diinjak pada bongkah melengkung tersebut, daya tolakan membantu badannya memecut atas kayu.

'Berjaya!' Hati Raja Husin keriangan sehingga terkeluar ketawa kuat dari ulas bibirnya. Para kayu di sisi kuda hanya dijejaki dengan hujung kaki. Dia bagaikan terbang ke atas pelana sebelum mengerah binatang sasa itu berlari kencang. Raja Husin arif benar akan lawannya yang handal mengendali kuda. Tetapi dia juga kenal kekuatan diri sendiri. Tak satupun sasaran pernah terlepas sia-sia dari bidikan busurnya.

Derap kaki kuda yang dipacu Raja Muhammad semakin kencang. Kini, sebelah menyebelah mereka bersaing menghampiri barisan pokok belimbing yang ditanam berderetan. Sasaran terlebih dahulu disembunyikan di situ. Di celah-celah dahan dan daun-daun hijau yang merimbun, kain merah diikat kemas pada tangkai buah belimbing yang ranum. Hanya lima belas biji sahaja yang bertanda.

Mata kedua-dua anak raja itu galak mengimbas semua pohon di kiri dan kanan laluan. Raja Husin dan Raja Muhammad tekad memburu sasaran.

Supp! Bedebuk!
Bidikan dilepaskan dari tangan Raja Husin. Sebiji belimbing dengan ikatan kain merah terpotong dari tangkainya.

Bedebuk!
Bidikan kedua Raja Husin juga mengena.

Raja Muhammad juga telah mendapat peluang. Sasaran pertama dan kedua tepat menembusi isinya. Kini, masing-masing berkejaran ke sasaran ketiga.

Tuah menanti buat Raja Husin. Dia telah menjumpai sasaran ketiga. Pantas busur diregang sebelum anak panah dilepaskan.

Tersasar!
Silau cahaya dari celah belukar mengganggu tumpuan. Pandangan segera dialih ke tepi. Kelihatan dua tangan digapai tinggi. Tatkala muncul kepala yang sedang menjenguk keluar dari situ, Raja Husin sudah mengenal pasti si pembuat angkara.
Sial!

Raja Muhammad ketawa. Anak panahnya menjumpai sasaran ketiga dan keempat. Dia semakin menghampiri garis penamat sedangkan Raja Husin berterusan dihujani silauan sehingga kesemua anak panahnya tersasan. Bidikan terakhirnya laju menerjah ke tubuh Panglima Hitam yang berdiri memerhati dari jauh. Mudah sahaja dia mematahkan tujahan dengan hentaman tombak yang diambil dari pengawal di sisinya.

Deraian ketawa dari mulut Raja Muhammad masih tak berhenti tatkala kakinya memijak tanah. Terbahak-bahak dia ketawa. Perilaku adindanya sebentar tadi amat bertentangan dengan omongan besarnya sebelum pertarungan bermula.

Raja Husin menyerahkan tali kekang kuda kepada pengawal sebelum turun menyertai kekandanya. Apa yang berlaku memang menjengkelkan akan tetapi dia tetap sedia menerima apa sahaja akibat kekalahan. Pertarungan tetap pertarungan. Dia tidak gentar menerima cabaran apatah lagi kekalahan. Menang atau kalah tidak banyak bezanya. Paling teruk dia akan didenda atau diperlakukan sesuka hati laksana budak suruhan.

DUA PEWARIS TAKHTACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang