BAB 4 Tinta emas istana

333 28 2
                                        

Di celah rimbunan daun, Malim bersuara perlahan. Tangannya sudah menggeletar cuba menampung berat. Pinggang Raja Husin lama tertahan di tangannya.

"Tuanku, bagaimana? Lekas tuanku! Patik sudah tidak mampu bertahan."

"Haish! Macam tak makan sebulan kamu ini Malim." Raja Husin meregang tangan sehabis-habisan cuba menolak kayu kecil yang mengunci tingkap dari dalam dengan hujung keris. 

Terbuka! 

Raja Husin lepaskan kelegaan. Senjata ditarik semula dari celah renggang kedua daun tingkap.

"Lepaskan beta, Malim. Jangan pergi jauh. Tunggu sahaja di situ. Sekiranya beta tertangkap, segera mohon bantuan," arah Raja Husin sebaik sahaja sebelah tangannya berpaut kuat di birai jendela manakala sebelah lagi menguak lebih luas daun tingkap.

Kuat sungguh detakan jantung Raja Husin ketika melihat beberapa kujur tubuh terbaring dalam kamar. Mujur  dia telah biasa dengan suasana cemas. Sebagai salah seorang pewaris kerajaan Melaka, latihan fizikal yang diterima Raja Husin sama dengan kekanda-kekandanya. Dia juga terpaksa berhempas-pulas memerah tenaga menguasai pencak silat dan memanah. Ilmu pertahanan diri dari bangsa Ming juga terpaksa dia pelajari. Bergasak dan bertetak senjata bersama-sama panglima dan pendekar istana sudah menjadi mainannya sejak kecil. Malah, dari masa ke semasa, adakalanya saban minggu dia terpaksa menyahut cabaran Raja Muhamad beradu kekuatan.

Perlahan-lahan Raja Husin mendarat atas lantai. Tubuh yang terbaring kesemuanya sedang lena. Raja Husin menarik nafas lega. Kepala dihulur ke luar memerhati keadaan dalaman teratak tinggal itu. Seluruh pancainderanya dibuka luas. Suara orang bersembang kedengaran jelas di ruang hujung sekali. Terdapat sebuah lagi bilik di ruang tengah. Tiada pengawal di situ.

"Bismillah."
Dengan langkah penuh waspada, Raja Husin cuba menyelinap ke bilik lain. Sedikit demi sedikit ditolaknya daun pintu sebelum kembali ditutup perlahan-lahan setelah berjaya melangkah masuk.

Alangkah terperanjat Raja Husin melihat susuk tubuh yang bersandar rapat ke dinding betul-betul di sebelah daun pintu yang sedang ditutupnya. Bulat mata asing itu memandang Raja Husin sebelum sebuah jeritan halus terlepas. Deras kedengaran bunyi tapak-tapak kaki mulai menghampiri mereka. Tanpa berlengah, Raja Husin segera menempelkan diri bersama-sama tubuh asing itu. Dia menghenyak tubuh mereka agar rapat ke dinding di belakang daun pintu. Manakala tangannya menutup mulut yang menjerit tadi. Pintu bilik dibuka luas. Mereka semakin terhimpit di sebalik pintu.

Seekor kucing tiba-tiba  melompat dari atas para.
"Miaw! Miaw!"

"Huh! Aku ingatkan manusia tadi. Kamu rupanya Si Comot. Mari sini. Kamu lapar?"

Seorang pemuda berbadan  gempal mencapai kucing hitam berbelang putih. Rakan yang mengekorinya memeriksa ruang.

Peluh memercik di dahi Bidasari bertentangan dengan tubuhnya yang dicengkam seram sejuk. Bidasari menggenggam erat kedua-dua tangan yang sedang menggeletar. Sedikit kerana ketakutan, selebihnya kerana terlalu terkejut. Dia tidak pernah berada di posisi sebegini rapat dengan lelaki termasuklah ayahnya. Anak mata Bidasari besar memerhati pemuda yang kini bersatu tubuh dengannya. Mujur tangan pemuda itu menekap kuat kedua bibir Bidasari. Jika tidak, sudah pasti jeritannya akan kedengaran lagi buat kali kedua.

Pemuda itu tidak memandang Bidasari. Sebaliknya anak matanya serong ke tepi seolah-olah nampak apa yang sedang berlaku di sebalik papan kayu. Siapa pemuda yang berpakaian serba hitam ini? Bantuan daripada pamannya? Seingat Bidasari, dia masih belum menyentuh serunai. Barangkali Siantan yang menghantar pemuda ini lantaran terlalu bimbang akan keselamatan dirinya. Kemarahan mula menerpa Bidasari. Merah sungguh wajahnya lantaran malu dan marah. Kurang ajar! Berani benar pemuda ini melanggar batas adat dan kesopanan orang-orang Melayu.

Setelah kedua penjahat menutup pintu dan beredar jauh, Raja Husin menjatuhkan tangannya dari mulut Bidasari. Mata mereka bersetentangan. Di luar sangka Raja Husin, Bidasari mengangkat kakinya tinggi  lalu menendang lelaki itu.

Nah! Ini pengajaran buat kau, lelaki tak tahu malu!

Pasti kuat penangan kaki Bidasari sehingga Raja Husin jatuh tersungkur. Belakang tubuhnya melanggar peti kayu. Bunyi dentuman kuat mengakibatkan derapan tapak-tapak kaki menuju ke arah mereka semula. Tanpa berfikir panjang, Raja Husin menarik tangan Bidasari memasuki peti kayu di belakangnya. Syukurlah peti kayu itu muat menampung tubuh mereka berdua. Kini, Raja Husin pula yang bermandi peluh. Dada terasa sesak menampung berat pemuda yang berkasar dengannya. Jika tidak mengenangkan mereka di pihak yang sama, sudah lama dia tusukkan bilah keris ke tubuh asing itu.

DUA PEWARIS TAKHTACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang