Pintu bilik terkuak semula. Kedua pemuda tadi masuk memeriksa bilik dengan lebih teliti.
"Bunyi apa ya tadi? Kuat juga."
Si badan gempal menggaru-garu kepalanya manakala rakannya cepat-cepat membuka bungkusan atas para.
"Masih ada di situ?" Si gempal bertanya lagi.
"Ya." Rakannya hanya menjawab pendek. Si gempal berundur kebelakang lalu menghenyak punggungnya ke atas peti tempat persembunyian Bidasari dan Raja Husin. Tersentak dengan bunyi berkeriuk kayu papan yang melendut ke bawah, kedua tangan Raja Husin serta merta melingkari tubuh Bidasari dengan lebih kemas menghalang sebarang pergerakan.
Wajah mereka hampir bertaut. Mata bertemu mata. Bukaan mata Raja Husin mengecil cuba menelah si penendang. Sedangkan kelopak mata Bidasari semakin membesar, tidak menyangka kali kedua dia perlu berhadapan keadaan yang amat memalukan sebegini. Dan dua pasang bebuli mata itu melirik ke sisi peti tatkala mendengar maklumat penting daripada lelaki-lelaki dari luar.
"Tadi kau bilang apa?" tanya si gempal.
"Kelak kita akan bertemu dengan ketua pemburu. Masa itu barulah kita serahkan keseluruhan kitab sebagai tukaran emas yang dijanjikan," jawab rakan sekutunya.
"Bila? Di mana?" Si gempal bertanya lagi. Lagaknya bagai sang penurut.
"Dua hari lagi. Di Rabung Gangsa, berhampiran lurah dua balung ayam."
"Aku... takut. Ketua Pemburu itu... "
Suara si gempal bagai tersekat di tenggorokan."Kau hanya perlu fikir keuntungan yang bakal kita perolehi. Tak habis makan tiga keturunan tahu! Ketakutan itu kau tolak ke tepi dahulu. Lagi pula, Rokan, Salang dan Duku akan ada membantu."
Kedengaran seperti lelaki itulah yang mengatur rancangan bagi rakan-rakannya.
"Bolehkah jika aku ingin menarik diri? Aku tak sedap hati lah." Keresahan yang membelenggu dada Si gempal diluahkan.
"Ikut suka hati kau. Kelak, bukan aku yang rugi, kamu! Marilah kita keluar."
Perlahan-lahan bunyi tapak kaki menghilang. Kali ini Raja Husin menunggu lama sedikit sebelum melepaskan pelukan. Biar bahaya benar-benar jauh daripada mereka. Sedangkan Bidasari yang terbaring di atas tubuh Raja Husin pula benar-benar sudah hilang sabar. Mata tak berkerdip mengacu pandangan tajam. Mulutnya juga sudah terbuka menunggu masa untuk menghambur api kemarahan. Ternyata semua perasaan yang menyelubungi Bidasari bagaikan bayang-bayang di tengah rembang panas. Langsung tiada kelihatan pada Raja Husin.
Dengan sebelah tangan menolak penutup peti kayu manakala sebelah tapak tangan lagi memenuhi keseluruhan wajah Bidasari, Raja Husin tegakkan badan sambil menolak Bidasari ke belakang. Berang sungguh Bidasari apabila Raja Husin dengan bersahaja melangkah keluar dari peti. Sedikitpun lelaki itu tidak memandangnya. Diri bagaikan tidak wujud di situ!
Amarah yang bertandang ternyata berupaya mengaburkan tujuan utama Bidasari ke situ. Di saat Raja Husin tunduk merenung sesuatu di atas para, Bidasari menghitung langkah bagi melayangkan buah pukul. Biar lelaki itu sedar akan adat yang dijulang di tanah orang-orang Melayu ini dalam menghormati martabat wanita.
Namun semua kemarahan yang terkumpul di ruang dada Bidasari lenyap apabila matanya menangkap kilauan keemasan pada lembaran yang dijulang Raja Husin. Terbuntang biji mata Bidasari meneliti setiap huruf jawi yang tercatat pada lembaran kertas kayu itu. Diaturnya hela nafas yang mula tercungap-cungap. Kedua tangan Bidasari mencekup batang hidung dan mulut. Dia cuba menahan gelojak jeritan yang meronta ingin keluar dari peti suara. Mujur terbit suaranya berjaya diperlahankan.
"Tinta emas dari istana..."
Hela nafas laju Bidasari membuatkan Raja Husin mencuri pandang. Sekali imbas, Raja Husin telah berupaya mengecam apa yang dia cari. Tiada apa istimewa pun.
"Tinta emas yang terhasil daripada tiga putik bunga ungu sakti dari Parsi." Kenyataan itu membuatkan jari Bidasari turut memegang lembaran di tangan Raja Husin. Di luar sedar, kertas itu ditarik sehingga terlepas dari pegangan Raja Husin.
"Seandainya semua khazanah ilmu dari istana ditulis menggunakan tinta emas ini, bayangkan betapa banyak kekayaan Melaka yang terpaksa dilebur hanya untuk menukil sebuah kitab."
Raja Husin ketawa kecil sebelum bersuara. "Tidak sebanyak yang disangka berbanding kekayaan perbendaharaan Melaka. Keuntungan pelabuhan mewah. Hasil galian tanah negeri jajahan Melaka banyak. Berapalah sangat tukaran wang dengan barang-barang berharga dari Timur Tengah mahupun Barat."
Kata-kata Raja Husin tidak diiyakan mahupun ditentang Bidasari. Tatkala matanya diangkat ke wajah nan asing, barulah Raja Husin menyedari bahawa dirinya sedang ditenung oleh pemilik bulu mata tebal. Lama juga mereka berbalas renungan. Masing-masing bagaikan cuba membaca niat dan isi hati, menelah gerangan hadapan mata sama ada kawan atau lawan.
"Siapa tuan?" soal Bidasari dengan tegas.
Raja Husin tidak menjawab. Muka yang berkalih arah belakang tiba-tiba berubah. Bidasari menuruti arah pandang Raja Husin. Dia juga nampak asap berkepul-kepul masuk dari celah ruang kosong di bawah pintu bilik. Setelah pandangan mereka kembali bertemu, teriakan kuat kedengaran di luar.
"Api! Api! Lekas padamkan. Jangan biar api merebak ke dalam pondok kita."
Raja Husin membuka pintu dan menjenguk ke luar. Asap menerjah masuk sehingga memenuhi keseluruhan ruang sempit di situ.
"Mereka semua keluar ke belakang rumah. Ayuh kita keluar dari sini sekarang."
Itu kata-kata terakhir dari Raja Husin sebelum dia menghilangkan diri di sebalik pintu. Bidasari bergegas keluar menerusi pintu hadapan. Siantan segera menerpa dan mencapai tangan Bidasari lalu menuntunnya ke tempat persembunyian mereka.
Malim pula terhendap-hendap dari sebalik belukar. Lebar sungguh senyumannya melihat putera rajanya selamat keluar dari tempat bahaya. Dipeluknya Raja Husin erat.
"Syukur Alhamdulillah. Syukur Alhamdulillah, Ya Allah. Aduh! Bagai terbelit tali pusat patik menanti tuanku di sini."
Raja Husin menggaris senyuman tawar. "Malim, kamu mahu terus berpelukan sebegini sehingga matahari naik atau kamu mahu pulang ke istana?"
Malim segera meleraikan pelukan.
"Kamukah yang hidupkan api di belakang teratak itu?" Raja Husin menduga.
"Benar tuanku. Patik sudah habis ikhtiar. Kencang pula angin bertiup malam ini sehingga api marak. Bimbang sungguh patik kalau-kalau tuanku tidak sempat keluar tadi. Jikalau tidak patik pula yang kena bakar dek baginda Sultan."
Malim menggeleng-gelengkan kepala menghentikan bayangan ngeri. Kedua bibirnya diketap erat.
"Molek sangatlah jika kamu beringat sedemikian." Raja Husin ketawa kecil.
"Ayuh kita ke tempat simpanan kuda. Beta tidak boleh lama-lama di sini."
Ada kebimbangan di hati Raja Husin seandai ketiadaannya di istana diheboh-hebohkan. Puas pula dia mencari alasan berhadapan ayahanda dan kekandanya kelak.
"Tuanku ada nampak orang-orang Datuk Lelawangsa dan Datuk Berahim tadi ?"
"Ya." Pendek sahaja Raja Husin menyahut meskipun akalnya sudah memikir jauh. Sudah tentu Malim juga perasan akan kehadiran kedua pembantu Datuk Temenggung tadi ketika mereka bersembunyi di atas pokok. Dan kerana itu jugalah dia berusaha menolong lelaki yang dijumpai dalam bilik tadi. Mungkinkah lelaki itu orang-orang Datuk Lelawangsa dan Datuk Berahim? Raja Husin tersenyum lebar kerana dia telah tahu cara untuk membalas tendangan keras di perutnya tadi.

YOU ARE READING
DUA PEWARIS TAKHTA
Fiksi SejarahBaginda salah seorang pewaris takhta kerajaan Melaka. Sebagai ulat kitab, ketamakan terhadap kuasa, harta dan pengaruh tak pernah ada. Namun, satu persatu pewaris kehilangan mahkota mereka sehinggalah tiba gilirannya. Apakah semua itu adalah kebetul...