Bab 7 Parut yang membahagiakan

296 27 9
                                        

Tangan-tangan yang cuba membantu Raja Muhamad kesemuanya ditepis. Kemarahan mengundang di hati. Bukan sebab murka terhadap pengawal kota yang kini sedang tunduk merayu memohon keampunan, akan tetapi kerana mereka telah menjauhkan keindahan yang baru berbunga di jiwanya. Raja Muhamad tunduk semula membantu Tun Senaja.

"Cik... luka... di mana-mana?"

Sambil bertanya Raja Muhamad menghulur tangan. Dari kejutan, ketakutan dan kini malu, Tun Senaja tidak mampu menjawab. Kepala digeleng-geleng sedangkan pipinya mula merona merah. Huluran tangan Raja Muhamad disambut.

Raja Muhamad ketawa kecil. Suka benar dia melihat wajah yang sedang dirundung malu. Dia seakan terlupa seketika banyak mata kehairanan sedang memerhati mereka.

Raja Mahadewi menarik tangan Tun Senaja ke tepi. Diperhatinya segenap wajah polos gadis itu sebelum mengusul cadangan.

"Kita mohon berbanyak maaf. Kecelakaan ini sungguh di luar duga. Mari pulang terus ke istana, jika adinda mahu."

"Janganlah paduka khuatir. Patik baik-baik sahaja. Boleh kita terus berjalan-jalan lagi?" Tun Senaja menjamin kata-katanya dengan senyuman sebelum mencuri pandang Raja Muhamad.

Raja Mahadewi menarik nafas lega. Kali ini pengawal kota Melaka turut mengiringi mereka, mengosongkan laluan dan semua tempat persinggahan.

Raja Muhamad tidak turut serta dalam urusan jual beli. Dibiarkan Raja Husin serta Tun Besar membantu Raja Mahadewi dan Puteri Bongsu menawar harga barangan. Dia perasan sejak dari tadi Tun Senaja tidak membeli apa-apa. Mula-mula kain ambal dari Goa dipegang, dibelek-belek kemudian dilepaskan. Setelah itu, wajah gadis itu mekar menatap debu merah jambu di dalam bekas tembikar kecil di tangan saudagar Ming. Juga dibiarkan berlalu tanpa minta dibungkus. Dan kini, tangan kecilnya mengusap-ngusap kain sutera biru laut dan meletakkannya semula ke atas para. Meskipun begitu, raut wajahnya sama girang dengan Raja Mahadewi dan Puteri Bongsu.

Raja Muhamad sedang berbisik sesuatu kepada Panglima Hitam ketika Tun Senaja melangkah mendekatinya.

"Ehem!"

Sengaja Tun Senaja menguatkan suara supaya kehadirannya mendapat perhatian Raja Muhamad. Panglima Hitam meminta izin untuk beredar, meninggalkan mereka berdua di situ.

Apabila mata bersetentangan, hilang semua perkara yang ingin diujar. Dalam gugup, Tun Senaja masih berusaha mengukir senyum. Dia mengalih pandangan yang mengganggu akal fikir. Mata menjauhi raut kacak lalu menekur tanah.

"Patik... hurm... "
Haish! Keyakinannya menghilang pantas bagaikan gelembong buih. Tun Senaja cuba tenangkan diri.

"Jika ingin mencari keikhlasan dalam berbicara, hadapkanlah wajah dan pandangan kepada lawan bicaramu."

Tenang dan lembut nasihat yang ditutur Raja Muhamad.

Tun Senaja segera mengangkat mata, mencari baris ayat di wajah manis Raja Muhamad.

"Patik... Patik amat terhutang budi atas kebaikan tuanku tadi."

Mudah perkara yang hendak dimaklumkan. Entah kenapa, hatinya membuatkan kata-kata semudah itu bercampur baur hingga hilang hujung pangkal ayat. Tun Senaja menarik nafas lega.

Raja Muhamad mengusap-ngusap dagu. Mata dipasak tepat menembusi anak mata jernih milik gadis berkulit cerah itu.

"Dengan apa cik mahu membayarnya?"

"Bayar? Bayar apa?" Terpinga-pinga Tun Senaja mendengar soalan Raja Muhamad.

Tak dapat ditahan lagi geli di hati Raja Muhamad melihat wajah cemas Tun Senaja. Dihamburnya ketawa dengan kuat.

"Baru sebentar tadi cik bilang terhutang dengan kita."

"Oh!"

Kini Tun Senaja sudah mengerti mainan kata-kata Raja Muhamad. Dia mengetap bibir bawah. Geram! Tangannya menyeluk dalam kocek baju lalu sehelai kain putih dikeluarkan. Melihat wajah penuh kehairanan Raja Muhamad, Tun Senaja tersenyum lebar. Raja Muhamad telah masuk ke dalam perangkapnya sendiri.

Sehelai kain kecil bersulam bunga merah dihulur kepada Raja Muhamad.

"Hajat hati ingin melunaskan hutang tuanku dengan timbunan emas dan permata. Sayangnya, hanya ini yang patik bawa hari ini."

Berkerutkan pangkal hidung Tun Senaja semasa dia menahan malu mengujar penjelasan. "Tergesa-gesa keluar dari rumah tadi, tidak satupun kepingan emas mahupun perak yang patik bawa."

Kini ketawa mereka bersatu. Hati Raja Muhamad dihambat bahagia. Tersentak tubuhnya tatkala tangan kanannya ditarik Tun Senaja. Gadis itu membelek-belek luka yang masih berdarah di situ, sebelum diikat kemas dengan kain putih yang dihulurnya tadi.

"Patik pasti, emas dan permata dalam peti simpanan harta tuanku sudah melimpah ruah. Harapnya, tuanku sudi terima kain kecil ini sebagai ganti. Ampunkanlah patik kerana meninggalkan parut di tangan tuanku."

Raja Muhamad merenung lama wajah suram Tun Senaja. Ada desakan dalaman ingin mengusap lembut tangan yang merawat lukanya. Agar dukacita di hati Tun Senaja segera hilang. Agar wajah mendung itu kembali bersinar.

"Parut istimewa mungkin berbeza. Ia tinggalan kenangan indah yang membahagiakan."

Wajah Tun Senaja ditatap puas. Senyuman Raja Muhamad menguntum mekar.

Mereka kembali ke istana setelah matahari mulai rapat di kaki langit. Usai bermohon mengundur diri, Raja Mahadewi dan tetamu-tetamunya menuju ke serambi kanan, tempat beristirehat bagi kaum wanita di istana besar.

"Kekanda," laung Raja Muhamad dari jauh sambil menggamit jari. Raja Mahadewi berpatah balik menghampiri Raja Muhamad dan Panglima Hitam.

"Masih ada hal yang berbangkit, adinda?" Tangan Raja Muhamad disentuh lembut. Raja Mahadewi amat menyayangi kesemua adinda-adindanya tanpa mengira keturunan dan bangsa. Dia yang paling kehadapan dalam membela nasib adinda-adindanya seandainya ada tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka. Malahan, belakang tubuhnya juga sering menjadi tempat persembunyian adindanya ketika melakukan kesalahan semasa mereka masih kecil.

Raja Muhamad menghulurkan tiga bungkusan yang diambil dari tangan Panglima Hitam.

"Balutan kain hijau untuk kekanda, merah untuk Tun Senaja dan biru buat Puteri Bongsu. Sudah agak lama kita tidak menghabiskan masa bersama-sama. Ini tanda kasih adinda untuk hari yang sungguh membahagiakan."

"Kekanda gembira adinda berbahagia. Kekanda tahu urusan istana dan negeri telah merantai masa adinda bersama-sama keluarga dan diri adinda sendiri. Ikhlaskan hati adinda. Ayahanda itu dari luar nampak gagah tetapi di dalam, amanah nusa ini bagaikan memakan dirinya perlahan-lahan. Mudah benar geringnya kini. Ringan-ringankanlah bebanan ayahanda sekadar yang adinda mampu."

Raja Muhamad mengangguk-angguk. Tangan Raja Mahadewi dipegang kejap sebelum beredar.

Di ruang rehat, Raja Mahadewi membahagi-bahagikan hadiah daripada Raja Muhamad.

"Mari kita lihat apa isinya. Apa kata jika adinda Tun Senaja mulakan dahulu? Ayuh, lekas dibuka ikatannya," gesa Raja Mahadewi. Tak sabar-sabar mahu mengetahui gerangan hadiah daripada adindanya tadi.

Tergamam Tun Senaja melihat sehelai ambal hijau, kain sutera biru serta bekas tembikar kecil berbentuk bulat berisi debu merah di dalam ikatan kain merah itu. Bulat matanya memandang Raja Mahadewi. Gerangan siapakah yang memberikan hadiah yang sungguh tidak disangka-sangkanya. Raja Muhamad? Tanpa disedari, hatinya sudah berbunga bahagia.

"Hadiah dari.... "
Raja Mahadewi sengaja mahu bermain teka-teki dengan para tetamunya. Lebar sungguh senyuman yang terpamer. Kecil matanya ketika menyudahkan kata-kata. Raja Mahadewi mensasarkan sesuatu. Pasti menarik!

"Raja Husin."

Garis bibir yang semakin melebar terus mati. Tun Senaja memejamkan mata. Kenapalah hatinya terasa bagai ditumbuk lumat.

DUA PEWARIS TAKHTACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang