Alam berkabut. Di hadapan Norlia, terbayang-bayang daun-daun pokok getah yang satu ketika menjadi saksi berbisik sebelum luruh dan kering berderai.
Terbau-bau lagi harum daun pandan yang dihiris, kelopak mawar, bersama melur, kenanga dan cempaka yang diracik dan dirampai. Ternampak-nampak lagi inai di tangan yang merah menyala.
Subuh pertama bergelar isteri, hatinya berdebar-debar. Dia bangkit perlahan-lahan awal pagi itu. Membersihkan diri, mandi, berwuduk dan solat. Hati bergetar untuk menyiapkan sarapan. Bukankah kenangan membuatkan sarapan pertama untuk suami, harus dikenang seumur hidup?
Waktu itu, biar serba sederhana, segala menu sudah bersusun di dalam kepalanya. Hari ini mahu tanak pulut. Makan dengan sambal dan ikan masin. Esok mungkin buat lempeng pisang dengan cucur udang. Bahagianya hidup berbahagi hati, berkongsi cinta!
"Abang! Abang..."
Sewaktu siap hidangan, dia menuju ke bilik, mahu mengejutkan Ghafar. Pintu bilik dikunci dari dalam.
Mula-mula suaranya lembut memanggil. Diketuk pintu perlahan. Tapi tetap tiada balasan daripada Ghafar. Norlia cemas, diketuk kuat pintu.
"Abang! Abang! Nor ni... Buka pintu!"
"Abang! Nor ni... Cepatlah buka!"
Cemas. Tadi keluar bilik, pintu tak berkunci pun. Ghafar masih lena berselimut. Alih-alih tak sampai sejam, pintu berkunci.
"Abang, awat ni?" Suara itu sedikit merayu dan menggeletar.
Fikiran Norlia sudah memikirkan yang bukan-bukan. Ya Allah! Sakit ke Ghafar sampai dipanggil tak dengar? Kunci pintu bilik pula tu.
Pintu terkuak. Ghafar terjengul di balik pintu. Cahaya lampu di dalam bilik samar-samar sahaja. Namun masih jelas di mata Norlia, Ghafar berjalan ke katil dengan langkah yang terhuyung-hayang.
"Abang, awat ni?"
"Tak ada apalah! Jom tidur, sayang."
"Eh, awat bau semacam ni?"
Berkerut Norlia. Ada bau busuk yang tajam menyengat singgah di hidungnya.
"Bau apa ni?"
"Nor, jom tidur."
Lelaki itu seperti mamai. Memaut dan merangkul pinggang Norlia.
"Abang, awat abang ni?" Norlia bingung dan cemas. Lain benar keadaan Ghafar. Bibir lelaki itu cuba mengucup dahinya. Namun Norlia menepis kerana bau mulut Ghafar hampir membuat dia termuntah.
"Jomlah, sayang. Isteri jangan derhaka dengan suami." Ghafar tiba-tiba tergelak biarpun matanya pejam.
"Abang ni mengigau ka? Abang, bangun solat subuh dulu."
"Hah? Esok pun boleh solat."
"Abang! Abang..." Lelaki itu tiba-tiba berdengkur dalam keadaan meniarap di atas katil yang semakin hilang bau wangi bunga rampai pengantin.
Norlia tergamam melihat sekujur tubuh yang tiba-tiba terlena itu.
Matanya memandang sekeliling. Dalam cahaya mentol yang malap, dia masih dapat memerhati sekelilingnya. Lama dia merenung satu sudut di bilik kecil itu. Ada sudu, ada lilin. Eh, apa tu? Norlia meraba lilin dan sudu itu. Auch! Masih panas! Norlia menghidunya. Busuk!
Jantung berdetak kencang. Norlia memandang betul-betul. Bulat matanya mengamati. Dia menjeling ke arah Ghafar. Lelaki itu tampak lena tidur.
Tergerak hati Norlia menyelongkar beg pakaian Ghafar. Diraba setiap kocek beg itu. Bahagian yang berzip, dibukanya perlahan-lahan.
YOU ARE READING
KALBU PUN BERZIKIR
Roman d'amourTajuk: KALBU PUN BERZIKIR Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-030-4 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Dis...