BAB 11

337 8 0
                                    

Tiada saat yang tidak menggembirakan bagi Fatin apabila di sekolah. Biarpun terpaksa menapak. Sakit betis berjalan kaki untuk ke sekolah, tidak sedikit pun dia berkeluh. Ceria saja Fatin kalau sudah bertemu kawan-kawan.

"Fatin! Hangpa boleh tolong kami sat dak?" tanya Anis sambil tersengih. Dia berjalan laju sambil menjinjing buku latihan miliknya.

"Awat, Anis? Pasai apa?"

Anis menarik kerusi di meja sebelah dan meletakkan buku di tepi meja Fatin.

"Ni... Kami tak retilah nak buat soalan matematik ni. Susah!"

Fatin tersengih sendiri. Mek seorang ni. Macam-macam! Dia kemudian mengambil buku latihan itu dan meneliti soalan yang ditulis kemas oleh Anis.

"Lah... Yang ni bukan Cikgu Azmi dok terangkan kat depan tadi ka?"

"Dia memang dok terang. Kami saja dok rasa gelap!" ujar Anis sambil ketawa besar. Memang bab matematik ini dia sudah lama mengangkat bendera putih. Tak kiralah diulang banyak mana, semuanya gagal masuk ke dalam benak fikirannya. Hijab tertutup barangkali untuk matematik.

"Macam-macamlah hangpa ni. Awat tak tanya terus saja kat dia?"

"Eee, tak mahulah! Cikgu Azmi tu garang! Kami takut."

"Mana ada garang. Dia tak marah kita pun?"

"Dekat hangpa memanglah dia tak marah. Hangpa pandai! Tapi kalau dekat kami, sat lagi dia menjerit satu sekolah," ujar Anis sambil menggayakan tingkah cikgu disiplin tersebut. Cukup dengan mengurut misai lentiknya sudah membuatkan para pelajar tidak berani untuk bernafas sekalipun jika ada membuat silap.

Fatin ketawa melihat keletah Anis. Sahabatnya yang seorang itu memang manja. Namun, ada-ada sahaja akalnya untuk membuatkan mereka tertawa.

"Hangpa saja melawak. Hehehe. Mana? Mai kat kami. Tapi kami pun tak pandai sangat."

"Alah, sapa cakap tak pandai. Hangpa selalu dapat nomboq satu."

"Mengada sajalah hangpa. Okey, kita buat pelan-pelan, na?"

Anis tersengih girang. Terangguk-angguk kepalanya mendengar penjelasan Fatin. Mereka ralit menyelesaikan masalah matematik sehingga tidak sedar ada mata yang memerhatikan mereka. Penuh rasa meluat dan bongkak.

"Ni Fatin, toksah dok buat baguslah! Hang ingat hang pandai sangat ka?" Ajib tiba-tiba muncul sambil bercekak pinggang.

"Hang ni pasai apa pula, Ajib? Toksah dok kacau kami la!" jerkah Anis. Bengang pelajarannya terganggu.

"Alah, hang tak payah menyibuklah, Anis. Benda senang tu pun kalut dok tanya orang," perli Ajib sambil ketawa. Rakan-rakan di sebelahnya ikut ketawa, senang melihat Ajib membuli dua budak perempuan itu.

"Kira baguslah aku nak buat kerja sekolah ni. Daripada hang, apa pun tak buat. Sembang saja lebih."

"Eleh, aku kesah apa? Ayah aku kaya, suka hati akulah nak buat ke tak mau buat," balas Ajib sambil memeluk tubuh.

"Wei, kalau hangpa dua nak bergaduh macam budak-budak, duduk kat tepi. Jangan buat bising kat tempat aku." Fatin mula mencelah. Rimas.

Bulat mata Ajib bila melihat Fatin turut menjawab.

"Hei Fatin, hang toksah dok buat bagus sangatlah! Malulah tu, hang miskin. Tak macam aku."

Kata-kata Ajib membuatkan kemarahan Fatin mula memuncak.

"Ajib! Hang ni pasai apa? Aku tak kacau hang pun. Yang hang dok kalut kesah aku ni miskin ke apa, awat? Hang sakit tang mana kalau aku miskin pun?" jerkah Fatin. Geram bila status dirinya disebut-sebut.

KALBU PUN BERZIKIRWhere stories live. Discover now