Usia perkahwinan itu tidaklah lama mana, tidaklah juga baru mana. Anak-anak sudah tiga orang. Namun waktu yang berlalu amat menjerihkan. Diredah dengan seadanya.
Waktu-waktu yang sangat memeritkan diharungi semampunya. Tiga kali hamil, tiga kali melahirkan. Lelaki yang bernama Ghafar tetap begitu.
Entah berapa kali hilang dari rumah. Entah di mana tidurnya tidak juga diberitahu kepada Norlia. Lahirnya Fatin, Riya dan Maarof bukan Ghafar yang megiqamat dan mengazankan. Harapkan ihsan Pak Ali, suami Mak Bedah.
Dan pagi itu, sekali lagi menjadi detik titik tolak segala yang pahit.
Ghafar bangun awal. Mandi-mandi, bersiap-siap. Bukan main berbedak dan berwangi-wangi. Bedak debu yang masih berbaki milik Norlia disapu berulang kali ke tengkuk dan leher. Norlia memandang dengan penuh hairan. Selalunya sampai dia pulang menoreh, lelaki itu masih tergedang di atas tilam. Kemudian tiba-tiba hilang. Kadang-kadang hilang sejam dua, ada masa lewat dinihari baru pulang. Muka berminyak, rambut kusut dan bau yang amat memualkan cukup untuk membuat Norlia ulang-alik berlari ke bilik mandi dan muntah.
"Sayang, abang kena ke Kuala Lumpur, ya?" bisikan Ghafar malam itu menyentak jantung Norlia. Fikirannya melayang jauh terkenang cerita Jali.
"Kuala Lumpur?" tanyanya sepatah.
"Kuala Lumpur. Alah, bukan pergi London ke, Paris ke? Kalau jauh-jauh tu abang bawa Nor nanti."
"Buat apa?" Lirih suaranya. Mahu bertanya panjang-panjang. Mahu selidik dalam-dalam tapi jiwanya seperti mati.
"Eh, ada kerjalah! Takkan berfoya-foya pula?"
Huh! Dah agak itulah jawapan kau, Ghafar. Dah bertahun kahwin, kau tidur melingkar aje di rumah. Perut aku makin besar. Kau tak pernah kesah. Makan apa yang ada kalau tak sedap lauk di rumah, kau keluar. Agaknya melepaskan tekak sendiri dengan ihsan kawan-kawan di kedai kopi. Atau sebenarnya kau pulang ke rumah emak kau? Ibu mentua yang tak pernah aku kenali, yang tak pernah kau aturkan pertemuan.
Merintih batin Norlia. Tubuhnya semakin susut.
"Berapa lama?"
"Tak tahu lagi. Kalau banyak kerja mungkin lambat abang pulang."
"Sungguh ka abang ada kerja di Kuala Lumpur tu? Kat Kedah ni pun banyak kerja. Di Pulau Pinang tu pun ada aja rezeki untuk abang kalau abang cari kerja di kilang." Tak mampu untuk menahan mulut. Lancar Norlia berleter.
"Jangan marah-marah. Nanti perangai tak baik tu menurun pada anak dalam perut tu. Nor ni patut bagi sokongan pada abang."
Ghafar mencuit pipinya. Kemudian tangan lelaki itu menggosok-gosok perut Norlia. Demi Tuhan, kalau tidak disabarkan hati, mahu saja dia bertempik, pergilah kau! Pergilah kau! Jangan pulang. Kau di rumah pun aku yang tanggung.
"Abang tak kasihan ka pada Nor? Sampai bila Nor aja kena cari duit? Sampai bila Nor aja kena menoreh sorang-sorang?" Perutnya terasa tegang. Norlia tahu anak di dalam kandungan juga tumpang rasa beban jiwanya. Sabar ya, sayang? Kau tak berdosa, nak!
"Ini cara abang nak tolong, Nor. Bukan abang tak nak sama-sama menoreh. Kalau Nor menoreh, abang pun menoreh, sampai bila kita nak hidup macam ni aja? Abang kenalah cari peluang lain. Siapa kata abang tak sayang Nor?"
"Kalau sayang kenapa abang ambil benda tu lagi? Kenapa abang nak tinggalkan Nor?" Suara itu bergetar. Mata Norlia yang bundar tampak letih dan layu. Lebam bawah mata memberi tanda dia tidak pernah cukup rehat.
"Nor, soal abang ambil atau tak benda tu... Itu hal abang. Nor tak ada hak nak campur. Nor kahwin dengan abang, jadi bini abang, bukan ke tu maknanya Nor kena terima abang seadanya?"
YOU ARE READING
KALBU PUN BERZIKIR
RomanceTajuk: KALBU PUN BERZIKIR Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-030-4 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Dis...