Langit indah menghamparkan warna biru. Awan putih mengembang cantik bagai gula-gula kapas. Seluruh sekolah bagaikan berpesta sempena temasya sukan. Kanopi dengan warna hijau, kuning, merah dan biru cantik mengelilingi padang sekolah. Bendera-bendera dan panji-panji rumah sukan beralun-alun berkibaran ditiup angin.
Bunyi loceng aiskrim bertingkah dengan dengung suara tetamu yang hadir. Anak-anak sekolah di tepi padang bergembira dan bercanda menyaksikan sukan tahunan itu.
Fatin sedang memanaskan badan dengan membuat senaman regangan.
"Itulah Fatin, Encik Halim. Kaki dia, ada roket!" Cikgu Ros yang sama-sama berada di tepi padang mengawasi para pelajarnya berbisik pada Encik Halim, pegawai khas pejabat pendidikan yang datang untuk acara itu.
"Mudah-mudahan dia boleh pergi lebih jauh. Wakil peringkat kebangsaan," balas Encik Halim sambil tersenyum dan mengangguk.
"Insya-Allah, bakal sprinter negara tu!" sambut Cikgu Ros yang tak sabar untuk melihat anak didiknya memecah rekod baru.
Fatin mencari-cari kelibat ibunya. Sebaik ternampak Norlia yang berada di kanopi berhampiran, dia berlari mendapatkan ibunya.
"Buat yang terbaik ya, nak?" ujar Norlia sambil mencium dahi anaknya.
Fatin mengangguk dan memeluk erat ibunya sebelum kembali ke padang untuk bersiap sedia.
"Selawat banyak-banyak kali. Jangan lupa pesan ibu." Sebelum pergi sempat Norlia berpesan.
"Adik yang berdebar-debarlah, ibu."
"Nanti kakak lumba, adik dengan abang sorak kuat-kuat."
"Jangan risau, ibu. Mesti kakak menang punya. Cikgu semua asyik sebut, kakak nanti jadi juara," ujar Maarof yang selalu pasang telinga di tepi padang sambil menunggu kakaknya berlatih.
"Kawan-kawan kakak pun selalu kata kalau kakak masuk berlumba, semua yang lain kalah." Riya mengeyakan kata-kata Maarof.
Senyum bahagia Norlia mendengarnya.
"Mudah-mudahan," balasnya lembut sambil mata tidak lepas mengekori kelibat Fatin yang sudah bersiap-sedia di padang.
Fatin sendiri antara debar dan semangat, menanti giliran di padang. Sekejap dia berlari setempat. Sekejap membongkok, sekejap kemudian melompat-lompat.
"Kejap-kejap lagi giliran kita, Fatin!" Waniza mencuit Fatin.
Rakan yang sama-sama bertanding mengingatkan Fatin.
"Lagi lima belas minit, kita berkumpul di sana." Gadis kecil yang murah dengan senyum itu mengerling jam tangannya. Fatin mengangguk.
Doa Norlia mengiringi Fatin dari jauh. Selamat berlari menyeberangi kabut, menemukan matahari bersembunyi di pucuk lalang, terjaga dalam mimpi-mimpi indahmu, Fatin.
Segenap doa terhimpun di dalam dada. Impian berdetak memacu jantung. Kau boleh, Fatin! Kau mesti boleh! Segenap jiwa bergemuruh menahan saat Fatin menggegarkan balapan.
Hari untuk sang juara! Insya-Allah, Fatin boleh sayang.
Anak perempuan yang bertubuh kecil dan halus, yang membesar dan berlari-larian di lereng-lereng kebun getah sejak pandai bertatih. Yang sesekali terjerlus ke dalam tanah lembik sawah yang menghijau. Ibu bangga, Fatin!
Berulang kali ungkapan itu bergema dalam ruang hati Norlia. Fatin boleh sayang, doa ibu tiada hijab, nak!
Wajah mulus itu sudah lencun dengan peluh. Matanya tajam memandang penghujung padang balapan. Padang sekolah bagaikan satu pesta. Belon, bendera, panji-panji rumah sukan berkibaran memberi warna pelangi buat jelapang padang sekolah itu. Ibu bapa dan tetamu-tetamu yang lain semuanya sudah memenuhi kawasan padang yang sederhana besar itu.
Fatin menyeka peluhnya. Di kiri dan kanan, rakan-rakan yang bakal bertanding sama juga sudah bersedia.
"Para peserta 100 meter perempuan. Sila ke garis permulaan." Bergema pengumuman dari arah kanopi urus setia. Fatin pantas bergerak ke titik mula garisan. Demikian juga peserta yang lain.
Mata Fatin sempat mengerling ke arah mereka. Gadis berusia 10 tahun itu terpesona seketika melihat kasut sukan yang tersarung pada kaki comel rakan peserta lain.
"Cantiknya!" Ada getar di dada Fatin.
Mata Fatin tiba-tiba jatuh pada hujung kaki sendiri. Kaki ayam! Kasut pun tak mampu nak beli!
Hati berbisik mengejek diri sendiri.
Suara ibu tiba-tiba seakan menyergah.
"Tak pakai kasut lagi senang. Lagi kuat mencengkam tanah."
Bukan tak pernah dia merengek minta ibu belikan. Sekali dua pernah minta. Tapi lama-lama Fatin macam faham sendiri. Tak apalah. Ibu bukan berduit sangat pun nak beli kasut mahal macam itu. Lagipun ibu pernah pesan. Nak jadi juara bukan pada kasut yang kita pakai! Nak jadi johan bukan pada pakaian sukan yang kita sarung.
Peluh Fatin merecik di dahi. Bunyi dentuman pistol tanda perlumbaan bermula bergema di udara. Kaki memecut, tenaga dikerah deras, Fatin memacu langkah tangkas. Tubuh kecilnya seperti terbang di balapan. Deras dan deras. Fatin menyaingi semua rakan yang lain.
"Ibu! kakak paling depan!" Riya terlompat-lompat bangga.
"Kakak! Kakak!"
"Kakak! Kakak!"
"Kakak! Kakak!"
Suara Maarof, Riya disertai Norlia serta beberapa barisan penyokong Fatin di luar padang bergaung-gaung kedengaran.
Maarof sendiri hampir hilang suara melaungkan nama kakaknya.
Di tengah padang, Fatin terus memacu larian. Berdesup pantas. Sorakan demi sorokan yang diterima bagaikan api yang membakar tenaganya. Matanya tajam menetap sasaran. Garis penamat. Aku kena yang pertama.
Tidak semena-mena otot kakinya terasa tersentak. Dada terasa berat. Perut rasa berkisar. Seluruh sendi menangkap rasa bisa. Sakitnya bukan kepalang. Langkah menjadi longlai. Fatin cuba mengayun langkah. Kaki terasa dipaku. Fatin cuba menyeret tubuhnya. Badan menggelepar. Dia tersedak sebelum terbatuk-batuk. Fatin menekup mulut. Allah! Darah!
Matanya sayup memandang garis penamat. Segala-galanya menjadi berbalam-balam. Kemudian semakin kabur. Sebelum semuanya gelap-gelita. Bunyi sorakan sekelip mata menjadi senyap. Sesenyap-senyapnya.
Norlia yang berada di tepi padang bersama-sama Riya dan Maarof, segera menerkam Fatin yang sudah rebah. Norlia dengan tangkas mencempung tubuh kecil itu.
"Fatin!"
"Fatin!"
Tubuh Fatin terasa lembik dalam dakapan Norlia. Tangan dan kepalanya bagai terkulai. Norlia hilang arah, hilang rasa. Segala-galanya tertumpu pada Fatin. Ya Allah! Kenapa dengan anak aku? Apa sebenarnya yang berlaku?
Norlia tahu semua yang menyaksikan kejadian itu berdiri dan terkejut. Padang yang tadi gegak-gempita dengan sorakan semangat, menjadi sunyi. Norlia terus memangku anaknya.
"Bawa dia ke hospital. Terus masuk kereta. Cepat!"
"Beri laluan! Beri laluan!"
Kesedihan yang entah datang dari mana mengepung jiwanya. Ya Allah, itulah saat sengsara dan seribu hiba! Bukankah hari ini patutnya hari gemilang untuk Fatin?
Suara guru-guru menambahkan keadaan yang sedia ribut. Norlia longlai mengikut segala yang disuruh. Asalkan Fatin dalam pangkuannya. Asalkan Fatin yang pejam ini kembali buka mata!
YOU ARE READING
KALBU PUN BERZIKIR
RomanceTajuk: KALBU PUN BERZIKIR Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-030-4 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Dis...