BAB 9

360 7 0
                                    

Bau serai wangi bersama lemak santan yang dimasak di atas api perlahan, mengapung di segenap ruang rumah kayu itu. Angin malam yang basah membawa bau itu ke serata tempat. Fatin di dalam bilik menerpa ke dapur.

"Ibu, buat apa tu?"

"Tanak minyak kelapa sama serai."

"Untuk apa?"

"Untuk Fatinlah!"

Wajah anak kecil itu berkerut.

Norlia terus mengacau perlahan minyak yang sudah lebih sejam di atas api.

"Buat urut kaki Fatin. Kata nak berlumba lari. Biaq tak cepat lenguh, tak kejang otot."

"Wah! Kalau sapu minyak ni, boleh lari lagi laju ka, ibu?"

"Ni nak elakkan Fatin cepat kejang kaki."

"Lari tentu boleh tambah laju, kan?"

"Laju tak laju bukan pada kaki. Pada hati Fatin. Pada semangat Fatin."

"Fatin naklah kalau ibu ada ubat bagi kaki Fatin lagi laju."

"Hesy, budak ni... Dah, jangan nak mengada-ada. Kejap lagi siaplah minyak ni. Sudah... Fatin pergi tolong ibu layuqkan daun pisang tu."

Fatin menjengah isi periuk yang sedang dikacau ibunya.

Matanya mengerling sekeliling.

"Ibu bubuh apa tu? Macam nak masak lauk aja."

"Memanglah ada ramuannya. Kena bubuh bawang putih sikit, letak lada hitam sikit. Kemudian tambah halba."

"Eee... Mesti busuk bau bawang putih."

"Nama pun minyak untuk urut kaki. Memanglah bau tak sedap. Lada hitam dengan bawang putih buat pecah angin. Nak elakkan Fatin cepat rasa tegang kaki."

Fatin tersengih-sengih mendengar leteran ibunya. Pantas dia mencapai pelepah-pelepah daun pisang di atas meja.

"Mana ibu belajaq semua ni?" tanya anak manis itu sambil memotong daun pisang untuk mudah dilayurkan.

Norlia tergamam sesaat. Tangan yang tadinya memegang sudip kayu, terhenti mengacau minyak yang dimasak.

"Sapa ajaq ibu buat minyak ni? Pandainya ibu! Orang lain semua beli minyak dekat Pekan Rabu."

Wajah Norlia menjadi kelat tidak semena-mena. Tangannya pantas mengacau kembali minyak yang sudah hampir siap dimasak.

"Sapa ajaq ibu? Arwah Tok Wan ka?"

"Bukan."

"Sapa, ibu? Nanti ibu buat banyak-banyak boleh buat jual ni!" Polos sungguh kata-kata Fatin pada pendengaran Norlia.

"Ayah."

"Ayah ajaq ibu? Bila?"

Fatin sendiri bagai tidak percaya. Ayah ajar ibu? Eh, bukan ayah jarang ada kat rumah ke? Lagipun bila pula ayah turunkan ilmu tu sebab ayah dengan ibu selalunya bergaduh aje?

"Masa dulu-dulu. Masa Fatin belum lahir."

"Pandainya ayah..."

Suara itu menggumam perlahan. Jauh dalam sudut hati dia mahu bertanya lagi. Kenapa ayah jarang balik ya, ibu? Kenapa ayah macam tak sayang kita? Tapi soalan itu tersekat di rengkung. Dia hanya mampu bertanya melalui kerdip mata yang sebenarnya menahan tangis.

"Dah... Pergi tolong ibu lipat baju tu. Suruh adik-adik simpan baju yang dah lipat." Norlia mengarah Fatin. Anak perempuan itu diam tidak menjawab tapi masih lagi duduk menghadap Norlia.

KALBU PUN BERZIKIRWhere stories live. Discover now