BAB 7

360 11 0
                                    

Matahari semakin menegak. Bahangnya kian terasa. Norlia tersandar seketika selepas menoreh tujuh baris pokok getah. Dia berhenti makan bekal nasi lemak yang dibawa. Fikirannya jauh melayang ke rumah. Dah bangun ke tidak Maarof? Pergi sekolah ke tidak budak-budak ni? Hati yang bimbang tak mampu dibuang jauh-jauh. Segala perkara di rumah terletak di atas pundaknya.

"Nor! Sambung kerja cepat. Banyak lagi pokok nak ditoreh ni!" Jeritan mandur membuatkan dia tergamam.

Kelam-kabut Norlia meneguk air. Bekalannya tadi ditolak ke tepi. Dia bingkas bangun. Hati masih teringatkan anak-anak tapi tangannya pantas menyudahkan kerja.

Norlia yang kepenatan, membuka but hitamnya. Perlahan-lahan dia mengurut kaki yang bengkak dan lenguh. Mak Bedah muncul dengan semangkuk lauk dan senyuman lebar.

"Eh, awal lagi dah datang bawa mangkuk?" Sapa Norlia sebaik ternampak kelibat Mak Bedah.

"Ni hah... Kari ikan sepat. Pak Ali hang semalam pergi menjala kat sungai. Dekat sebaldi dapatnya. Tu yang pakat bagi-bagi kat jiran," ujar Mak Bedah sambil tersenyum. Dia menarik kerusi di meja makan dan melabuhkan punggung.

"Terima kasih, Mak Bedah. Buat susah-susah aja," ujar Norlia. Dia menuang teh panas ke dalam cawan. Disuanya kepada Mak Bedah sebelum menuang secawan untuknya.

"Benda bukan beli, Nor... Dapat banyak sama-sama kita merasa."

Norlia hanya tersenyum mengangguk. Dia menyisip sedikit teh panas itu sebelum mengesat peluh di dahi. Wajahnya nampak sangat keletihan.

Mak Bedah memandang sayu wanita di hadapannya itu. Lain benar wajahnya sekarang. Kalau dulu sewaktu masih anak dara, wajah Norlia tidak kurang cantiknya. Ramai juga anak muda memendam rasa.

Namun seiring waktu menginjak usia, dengan beban masalah keluarga membuatkan wajah itu tampak semakin berusia. Namun manisnya masih tetap sama seperti dulu. Bodoh Ghafar kerana mempersiakan wanita sebaik Norlia!

"Nor, kesian Mak Bedah tengok hang sorang-sorang bela anak. Ghafar langsung tak balik-balik. Dah bertahun Mak Bedah rasa." Mak Bedah menggeleng menzahirkan rasa terkilan. Kesabaran Norlia memang luar biasa baginya.

"Dahlah, Mak Bedah. Saya tak nak cakap apa-apa lagi pasal dia. Benda dah lepas. Malas saya pikiaq." Ayat-ayat itu kedengaran mudah meluncur daripada bibir Norlia namun hatinya yang kecewa tidak dapat disorokkan. Jelas terlihat pada air mukanya.

"Tapi, Nor... Dari tergantung tak bertali macam ni, baik putuskan aja. Bukan ada ustaz nak tolong hang pi mahkamah ka? Tak payah bayaq apa-apa pula tu." Mak Bedah cuba memberi nasihat. Sebenarnya, jauh dalam sudut hati dia mahu melihat Norlia bahagia.

"Nor tak mau la terhutang budi dengan orang, Mak Bedah."

"Mak bedah kurang setuju dengan pendirian hang ni. Tapi Mak Bedah tabik jugalah pada hang. Hang ni nampak aja pendiam. Tak banyak cakap. Tapi kuat semangat. Kalau Mak Bedah dok di tempat hang... Huh, tak taulah lagu mana."

Norlia sekadar mengeluh dan tidak menyahut apa-apa. Fikirannya seperti melayang ke masa silam. Satu demi satu kenangan berumah tangga yang sudah berkecai dalam hati, menyerbu ingatannya.

Mak Bedah bagai boleh membaca perasaan Norlia, terus minta diri untuk pulang.

"Errr... Mak Bedah balik dululah, ya?"

Norlia sekadar mengangguk. Matanya merenung jauh. Mak Bedah beredar. Norlia tersedar sesuatu lalu memanggil semula.

"Mak Bedah..."

"Ya, Nor?

"Terima kasih, ya?" Kalau tidak di bahu Mak Bedah tempat dia menangis, Norlia tahu dia terpaksa mamah segala penderitaan itu sendirian.

Mak Bedah tersenyum manis, mengangguk sebelum beredar.

Kata-kata Mak Bedah tadi terus mengocak kalbunya. Memang benar ada ustaz yang mahu membantunya. Tapi... Entah. Dalam hatinya terasa cukuplah episodnya dengan lelaki. Ghafar sudah cukup memberi dia pengalaman tentang lelaki. Kerana baginya lelaki semua sama sahaja!

Norlia tenggelam di dalam pusaran hidup lalu. Hidup yang penuh getir bersama-sama Ghafar. Kejadian yang tak mungkin mampu dia singkirkan daripada perasaan.

Imbas kembali...

Hari itu Norlia yang baru pulang dari menoreh, terpaku melihat ke arah rumahnya. Dia cukup kenal motor yang satu itu. Motor yang tak tahu siapa tuannya sesekali dipakai oleh Ghafar. Dada bergemuruh, hati berkocak. Dia terus bergegas masuk. Sampai di dalam rumah, Norlia semakin menyirap darahnya. Ghafar sedang menyelongkar pakaiannya di dalam almari. Habis semua berterabur. Semua dikirai-kiraikannya. Bersepah satu bilik.

Norlia menggeletar dan membatu. Air mata deras mengalir. Tidak termampu untuk dia melawan. Terpaku dia di muka pintu. Ghafar tersedar Norlia di situ dan menoleh dengan wajah gian.

"Mana hang sembunyikan duit, hah? Mana?" Mata Ghafar merah bersaga. Kulitnya melekit seperti sudah berhari-hari tidak mandi.

Norlia membisu seribu bahasa. Tidak menjawab sepatah pun. Hanya menggeleng dan air mata terus pecah di empangannya.

Ghafar tak puas hati. Bisikan syaitan menguasai diri. Dengan tangkas, dia mendekati Norlia dan merentap rambut ikal mayang Norlia. Terjerit Norlia menahan kesakitan. Digegarkan badan Norlia yang sememangnya tiada tenaga untuk menepis. Norlia terus teresak.

"Mana? Cakap!!! Kalau tak, aku hentak kepala hang sampai pecah!" jerkah Ghafar. Tangannya sudah mahu mencekik leher Norlia. Wanita yang tidak berdaya itu mengerang kesakitan namun masih enggan memberitahu.

"Jangan nak tipu! Aku tau semua orang dah dapat gaji. Cepat bagi!" Suara Ghafar memetir.

Tubuh Norlia sekali lagi digegar dan lehernya dicengkam. Suara bengis dan parau itu cukup untuk membuat anak kecil yang berada di dalam buaian terjaga dan menangis ketakutan. Buaian yang tergantung bergerak-gerak. Semakin luluh hati Norlia mendengar suara anak yang masih kecil ketakutan di dalam buaian.

Mata Ghafar membulat apabila mendengar tangisan anaknya itu. Dengan senyuman syaitan dia memberi isyarat mata kepada Norlia. Tangannya masih tidak lepas daripada merentap rambut Norlia.

"Ka hang dah tak mau dengaq lagi suara tu untuk selamanya?"

Ghafar mengacah seperti mahu ke buaian anak mereka. Norlia semakin meraung. Anak itu jantung hatinya. Pada anak itu nyawanya tersangkut. Norlia cemas.

"Nanti, bang!"

Norlia terpaku. Duit yang terkumpul di dalam tin bekas biskut itu semuanya sudah licin. Sikit pun tiada tinggal berbaki.

Tidak mampu dia membayangkan apa yang akan terjadi kalau dia berkeras dengan Ghafar tadi. Dia sudah terjelepok jatuh. Ghafar semakin mengganas. Lelaki itu bagai sesat dalam meredah lorong-lorong nafsu yang bersimpang-siur.

Prang!!! Bunyi mangkuk ayan jatuh di dapur. Kucing yang setia menumpang rezeki di luar rumah, mencari lauk agaknya. Norlia tersentak. Kenangan pahit itu bagai hilang disapu angin lalu.

Air mata Nolia bergenang seketika. Bibirnya terus mengucapkan istighfar beberapa kali.

Astaghfirullahalazim waatubuilaih..." Sebak menguasai diri. Zikir itu tersangkut di rengkungnya. Hanya bergema di dasar kalbu.

KALBU PUN BERZIKIRWhere stories live. Discover now