Ilalang di luar berdesir disapa angin pagi. Harum bau rumput yang tertinggal di halaman rumah terasa amat dirindui. Wangi bendang bagai sama-sama menyambut kepulangannya ke rumah. Sekian lama terperap di hospital menghidu bau ubat, menatap tembok putih yang menjemukan amat mendera perasaan. Norlia lega apabila dapat kembali ke rumah bersama-sama Fatin. Anak itu masih lemah dan dalam rawatan tetapi alhamdulillah sudah dibenarkan pulang.
Norlia menjengah Fatin di dalam bilik. Anak itu tampak lena sungguh tidurnya. Kelihatan buku Apa Itu Kanser? di sisi Fatin. Norlia kemudian menjengah Riya dan Maarof.
"Adik! Abang! Bangun! Nanti lambat pi sekolah!" kejut Norlia apabila melihat anak-anaknya itu masih tidak bangun.
"Adik! Abang! Jangan buat ibu menjerit pagi-pagi ni."
Suara Norlia menyebabkan Fatin tersedar dari tidur. Dari jauh dia memerhati sahaja ibunya. Kemudian menoleh ke arah Riya dan Maarof yang masih bergulung di dalam selimut. Seronoknya adik-adik boleh ke sekolah! Hatinya berdetik rindu.
Norlia di dapur tidak menang tangan. Kelam-kabut dia menyudahkan kerja membungkus nasi lemak seorang diri. Biasanya dahulu Fatin yang membantu. Sambil membungkus nasi lemaknya, Norlia memanjangkan leher. Mengintai Riya dan Maarof. Ya Allah! Tak bangun lagi! gerutunya geram.
"Adik! Abang! Bangunlah cepat! Ibu nak bungkus nasi lemak ni. Kakak dah sakit. Sapa nak kejutkan hangpa kalau bukan ibu?" Suara Norlia semakin meninggi.
Maarof menggeliat malas. Riya masih lagi tidak boleh membuka mata.
"Cepatlah bangun!" Norlia semakin hilang sabar. Mendengar suara si ibu semakin nyaring, Fatin menarik nafas panjang. Menggeleng dia melihat Riya yang masih tidak bangun tidur.
Mata layu Fatin mencuri-curi pandang kelibat ibunya di dapur. Perlahan-lahan Fatin cuba untuk bangun dari tempat tidurnya. Terasa sangat berat dan sukar sebenarnya. Apabila berdiri terasa pening bukan kepalang. Tulang-temulang terasa bisa. Fatin gagahkan diri. Berpaut pada almari untuk berjalan. Dia seperti kembali bertatih. Perlahan-lahan dia mendapatkan Riya.
"Adik! Bangun, dik!"
Riya menggeliat sambil bangun dan duduk lemah.
"Hmmm... Malasnya nak pergi sekolah."
"Adik, bangunlah pi sekolah! Kasihan ibu tu, lebih lima kali kejut adik."
"Mengantuklah!"
"Adik, pi sekolah. Nanti dah sakit macam kakak rugi tak dapat pi sekolah," pujuk Fatin menyebabkan Riya tersentak. Mata yang kuyu terus terbuka besar. Malu tiba-tiba ditegur begitu oleh kakak yang tidak sihat.
Perlahan-lahan Fatin cuba mengejutkan Maarof pula. Tiba-tiba ibunya muncul.
"Fatin, ibu nak Fatin rehat. Jangan bergerak sangat. Fatin belum sihat betul. Biar ibu yang kejutkan adik-adik. Fatin tiduq semula, ya? Rehat betul-betul." Terkejut Norlia apabila melihat Fatin sudah bangun.
Fatin diam tidak menjawab. Memang betul kata ibu, dia masih terasa pening-pening lagi. Pandangannya seperti berkunang-kunang. Sekejap tampak kuning, sekejap kehijau-hijauan. Namun terbaring saja menyebabkan dia bertambah bosan.
Norlia terus berleter mengejutkan Maarof pula.
"Abang! Abang! Bangun!"
Alang-alang sudah terjaga, Fatin terus menuju ke dapur. Jalannya masih mengengsot. Amat perlahan.
"Dah berapa kali ibu pesan. Tiduq awal! Tiduq awal! Tak nak dengaq! Tiap-tiap hari macam ni. Liat sangat nak bangun!" Leteran Norlia bergema satu rumah. Sudah menghambat Riya dan Maarof, Norlia ke dapur semula.
YOU ARE READING
KALBU PUN BERZIKIR
RomanceTajuk: KALBU PUN BERZIKIR Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-030-4 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Dis...