Sudah hampir tiga minggu Dania tidak berjumpa dengan Ariel. Kalau dulu, walaupun mereka jarang lepak bersama, kadang-kadang dia jumpa juga dengan Ariel. Tetapi sekarang, jangankan berjumpa... telefon dia pun tak dapat.
Dania mengeluh. Dia rasa macam rindu dengan Ariel. Yelah, dulu semasa lelaki itu ada di depan mata... dia benci. Tapi, bila dah lama tidak bersua muka, barulah dia tahu bahawa Ariel adalah pelengkap hidupnya. Dia dan Ariel membesar bersama. Suka duka mereka tempuhi bersama namun, baru kini dia menyedari Ariel penting dalam hidupnya.
"Dania!" jerit Lily.
Dania memandang rakan baiknya itu.
"Hmmm... ada apa?" tanyanya dengan nada yang tidak bermaya.
Lily menarik kerusi lantas duduk di hadapan Dania.
"Tengok la ni!" Lily melambai-lambaikan sekeping kertas kepada Dania.
"Yasmin dah belikan tiket untuk aku. Tiket VIP, seh! Bahagian depan sekali!" katanya dengan bangga.
Dania menjeling sekilas ke arah Lily. Itu pun nak tunjuk ke? Bisik Dania dalam hati.
Semalam, Dania nekad untuk tidak mengikut Yasmin dan Lily menyaksikan konsert Arziril. Tiba-tiba dia rasa dia perlukan duit itu untuk membeli buku rujukan. Dia tidak mahu menyusahkan ibunya. Wanita itu telah banyak berkorban demi dia dan adik-adiknya. Bila difikirkan, apalah sangat konsert Arziril kalau nak dibandingkan kesusahan yang dialami oleh mereka sekeluarga. Dia bukan anak orang berada seperti Yasmin.
"Kau betul-betul tak nak pergi ke?" tanya Lily.
Dania mengeluh. Tangannya yang dari tadi sibuk menulis berhenti tiba-tiba.
"Kalau aku betul-betul nak pergi, aku dah suruh dah Yasmin tu belikan tiket untuk aku..." ujar Dania dengan selamba.
"Ala... tak best la kalau kau tak pergi. Bukan senang nak join konsert macam ni. Kau nikan peminat fanatik Arziril Ryan. Takkan kau nak lepaskan peluang ni..." pujuk Lily.
"Habis tu, kau nak aku buat apa? Kau nak sponsor aku ke tiket konsert tu?" duga Dania.
Lily tersengih, menayangkan giginya. "Kalau aku ada duit, aku akan support kau. Tapi... tiket mahal la, Dania. Aku ni pun pinjam sikit duit dari Yasmin."
Dania menyambung semula penulisannya yang tergendala tadi.
"Kau lama lagi ke nak lepak kat taman ni?" tanya Lily setelah lama mereka berdiam diri.
"Kenapa?" Dania masih sibuk menyiapkan tesisnya.
"Ingat nak ajak kau pergi makan... laparlah," jawab Lily lantas menggosok perutnya.
Dania mengeluh.
"Yasmin mana?" Mata Dania melilau-lilau mencari kelibat Yasmin. Dari tadi dia tak nampak batang hidung gadis itu.
"Yasmin dah balik. Katanya ada hal," jawab Lily.
Dania mengangguk.
"Jomlah Dania..." ajak Lily berharap.
"Yelah... yelah. Tapi bagi aku siapkan ayat terakhir aku ni dulu." Dania bersetuju. Nak tak nak dia kena juga temankan 'minah buntal' ni. Kalau bab makan, memang dia nombor satu.
Lily tersengih. Berjaya jugak dia memujuk sahabat baiknya itu.
"Ni yang buat aku sayang sangat dengan kau ni." Gurau Lily lantas mencuit hidung Dania.
Dania mencebik. Geli!
===========================================
Ariel, kau kat mana? Aku cari kau kat rumah, kau takde. Aku call, kenapa tak jawab?Dania menekan butang send. Masuk kali ini dah lima kali mesej dia hantar, namun langsung tiada balasan. Bila dia telefon, lelaki itu seolah-olah tak mahu melayan panggilannya. Adakah Ariel sudah jatuh hati? Tapi, hari itu dia okey aje. Entah-entah pasal berita hari tu tak? Dania mengeluh. Sampai sahaja dia di hadapan rumah, Dania membuka pagar. Tiba-tiba...
"Akak! Ni ada surat untuk akak!" jerit adik bongsunta, Daniel.
Daniel menghulurkan surat itu kepada Dania.
"Surat apa ni dik?" tanya Dania lembut. Dicapai surat itu lantas mengoyakkan sampulnya. Kertas di dalam sampul itu dikeluarkan sedikit.
"Entah?" jawab Daniel lantas berlari masuk ke dalam rumah.
Dania segera mengekori langkah Daniel. Sampai sahaja di ruang tamu, Dania meletakkan begnya di atas sofa. Isi di dalam sampul surat tersebut dikeluarkan. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat isi di dalam sampul surat itu.
"Tiket konsert Arziril?" Dania menutup mulutnya. Dia terkejut.
Terdapat empat keping tiket semuanya. Dah la tu, tiket VIP lagi. Dania betul-betul tak sangka. Siapakah yang baik hati menghadiahkan tiket ini kepadanya? Nak kata dia menang kuiz Era FM takde la pulak, kan? Dia tak pernah menyertai apa-apa kuiz dari mana-mana pun sebelum ini.
"Surat apa, Dania?" tanya Puan Faizah tiba-tiba.
Dania menunjukkan tiket itu kepada ibunya.
"Tak tahu siapa yang bagi tiket konsert Arziril Ryan ni, bu. Baik sungguh orang tu!" ujar Dania semasa ibunya sibuk membelek tiket tersebut.
Kemudian Puan Faizah tersenyum.
Dania mengerutkan dahinya. "Kenapa ibu senyum?"
"Jangan-jangan ada secret admirer Dania yang bagi kut?" gurau Puan Faizah.
Dania menggeleng tidak percaya.
"Tak mungkin. Dania mana ada secret admirer... lagipun tiket ni tiket VIP, tau. Kos untuk empat keping ni lebih kurang seribu lebih harganya. Baiknya orang itu habiskan duitnya hanya untuk Dania. Mesti silap rumah ni," sangkal Dania.
"La, kenapa pulak? Manalah tahu ada anak Dato' yang minat kat anak ibu yang comel ni ke? Apalah sangat kalau setakat seribu ringgit dia habiskan untuk Dania? Tu menunjukkan orang itu ikhlas..." tambah Puan Faizah lagi, mengusik Dania.
Dania rasa nak tergelak bila diusik oleh ibunya sebegitu. Mengarut betul ibu ni! Orang gila aje yang buat macam tu untuk dia. Siapalah yang nak dekat perempuan yang panas baran macam dia ni? Dah la panas baran, kasar pulak tu. Memang malang la nasib lelaki tu kalau suka dekat dia.
Dia membelek lagi sampul surat tersebut. Kosong! Kiranya orang itu hanya menghantar tiket ini kepadanya tanpa apa-apa mesej? Siapa? Dania pening memikirkannya.
"Berapa banyak dia kasi?" tanya Puan Faizah sekadar ingin tahu.
Dia tahu gerangan yang baik hati tu yang menghantar tiket konsert kepada Dania. Confirm la Ariel. Dia yakin Ariel memang sukakan Dania. Kalau tak, takde la lelaki itu berkorban selama ni.
Dania sangat beruntung. Tapi sayang, dia masih belum sedar kebaikan yang Ariel taburkan untuknya selama ini. Bukan belum sedar malah, tak nak sedar diri. Hatinya selama ini hanya dipenuhi dengan dendam dan benci. Macam mana nak terbit rasa sayang dalam hati tu? Puan Faizah berdoa agar satu hari nanti Dania akan sedar siapa yang dia sayang sebenarnya.
"Ada empat tiket, bu! Cukuplah untuk kita anak beranak." Jawab Dania.
"Alhamdulillah, dapatlah kita pergi tengok nanti... kan?"
Dania sekadar mengangguk. Namun, kepalanya berputar ligat memikirkan siapakah yang sudi menghadiahkan tiket konsert itu kepadanya? Takkan la Arziril Ryan kut? Ha ha... lagilah tak masuk akal! Kenal pun tidak, macam mana mamat tu nak kasi hadiah ni kepada dia.
Adeh, bila terlampau banyak berfikir membuatkan kepalanya pening. Anggap ajelah rezeki Allah jatuh dari langit. Dia antara hamba Allah yang teristimewa yang dapat hadiah yang cukup berharga tu.
Ni kalau tunjuk dekat Yasmin dan Lily ni confirm diorang jealous. Diorang kena bayar harga tiket, dia dapat free aje! What a miracle....
YOU ARE READING
Alamak! Arziril Ke Ariel?
RomansPenulis: Waniey Zakaria. Penerbit: KakiNovel. Dania dan Ariel membesar bersama dan menjalani hidup susah senang bersama. Ariel yang memendam perasaan cintanya kepada Dania sejak sekian lama tidak pernah mengungkap kata sayang kepada gadis itu. Break...