Pagi indah di pantai Cenderawasih. Angin sepoi-sepoi bahasa, bunga seri pagi kembang menambahkan kecantikan alam semula jadi. Namun pada pagi yang indah itu, seorang ibu sedang memegang gambar anaknya dengan hati yang sedih pilu.
Saleha merenung anak mata Lili yang sedang tersengih bersama Daniel dan Sarah. Hatinya menangis syahdu mengharap dapat memutarkan masa yang tidak akan kembali.Namun dia tahu meski menangis air mata darah sekalipun anaknya itu tidak akan hidup semula. Kini hanya kekesalan dan kesepian hidup menemani dirinya. Dia berdoa pada Allah yang maha pengampun, mengampunkan dosa-dosa lampaunya dan menempatkan anaknya bersama orang-orang yang beriman.
"Makcik Lehaaaa!" Jerit Danish adik Daniel yang berjalan bersama ibunya, Manisah. Saleha menyeka air matanya lalu tersenyum kepada mereka berdua. Hari ini mereka akan berkelah, berseronok dan berlatih untuk melupakan kenangan silam.
"Kak leha, apa khabar?" kata Manisah sambil memeluk erat Saleha.
"Alhamdulillah baik, Manisah akak sihat sahaja" Balas Saleha. Manisah yang juga seorang guru kaunselor membantu kehidupan Saleha selepas pemergian anaknya Lili yang juga sahabat kepada anaknya Daniel. Manisah juga seorang ibu yang memliki pengalaman serupa selepas pemergian Daniel. Kedua-dua sahabat itu Lili dan Daniel meninggal dalam keadaan yang tragis sehingga mereka tidak mampu untuk mengungkit kisah lampau itu.
"Akak Sarah dengan yang lain-lain tak sampai lagi?" soal Danish sambil mencari-cari kelibat Sarah.
"Biasalah, Sarah selalu lambat. Kalau tak lambat bukan Sarahlah!" Manisah membebel sambil membentangkan tikar di bawah pokok. Hembusan angin, kicauan burung dan deruan ombak menjadi halwa telinga pada pagi nan indah itu. Saleha mengeluarkan mangkuk tingkatnya yang berisi pelbagai jenis kuih seperti karipap, kuih ketayap, kuih apam dan kuih pulut bakar.
Dari jauh kelihatan seorang gadis membawa sebuah radio yang besar berjalan perlahan-lahan di tepi pantai. Gadis itu mengenakan kemeja biru gelap yang labuh, berseluar palazo dan bertudung gaya santai seakan-akan hana tajima. Dibelakangnya seorang wanita berambut blonde-pink berkacamata hitam memakai baju singlet tanpa lengan bercorak batik berkain panjang . Skirtnya mengembang ditiup angin persis fesyen Marilyn Monroe. Seorang lagi juga berpakaian santai, berjalan sambil membaca buku mengenakan shawl adijuma.
"Sarah, Anis, Jane cepatlah sikit jalan tu!" laung Manisah. Ketiga-tiga gadis itu tersenyum manis.
"Asslamualaikum Acik Leha, Acik Nisah" serentak Anis dan Sarah bersuara. Sebuah lagu berjudul 'Best day of my life' nyanyian American Best Author ke udara mewarnai suasana. Danish, Anis , Sarah dan Jane bermain bola tampar pantai dan melempar boomerang. Adik Danish, Maria sibuk mengambil gambar dan mengutip cengkerang.
Manisah dan Saleha sekadar duduk santai di bawah kerusi berpayung memerhati gelagat 'anak-anak' mereka.
Ada kalanya aksi mereka mencuit hati dan mereka ketawa. Setelah penat bermain, masing-masing duduk di tikar menjamu selera sambil minum sirap cincau selasih buatan Saleha. Air sejuk itu terasa sungguh menyedapkan tekak tatkala matahari meninggi. Seterusnya mereka mengerjakan solat zuhur di surau yang disediakan, bermain catur dan saidina kemudian sembahyang asar. Sambil mengemas, mereka masih berbual-bual antara satu sama lain."Sarah budak bertuah, bertunang senyap-senyap!" Saleha mencubit pipi Sarah sehingga merah.
"Memang dia ni nak kena acik! Saya tahu pun last minute, itu pun mak dia yang telefon! Kelam-kabut saya bersiap!" Tambah Anis mengenangkan insiden hari pertunangan Sarah yang haru biru itu."Masa dia tunang Jane pergi kursus, dia ada cakap dia nak bertunang tapi Jane sangka dia bergurau. Tup..tup dia pakai cincin. Kecoh jugaklah di rumah kami, seminggu pulaukan dia haha" Kata Jane pula. Sarah sekadar ketawa, dia sendiri masih merasakan dia tidak pernah bertunang, dia cuma memenuhi permintaan orang tuanya.
YOU ARE READING
Minda
General FictionApa yang akan kau lakukan sekiranya kau memiliki kuasa psikik?