Masa aku kanak-kanak, berangan nak capai 3 benda utama dalam hidup aku.
1. Telefon Tangan
2. Kereta
3. RumahAku selalu tengok Pak Amid orang kaya kampung aku ada telefon. Dia letak telefon dalam kereta Mercs biru dia. Masa tu dia adalah orang terkaya di kawasan aku.
Bila malam dia akan bawak telefon dia masuk rumah. Aku nampak dia bimbit satu barang ala-ala bakul besarnya dan akhirnya baru aku tahu itu bateri telefon dan charger.
Aku dengar dia bercakap dengan seseorang. Masa tu aku memang dah teruja nak ada telefon sendiri. Berangan siapa orang pertama yang aku akan guna telefon.
Maka bila aku tamat SPM ayah angkat belikan aku telefon. Brand pertama Motorola. Besarnya bila genggam kuku je dapat lihat. Ada arial dan boleh dilipat. Ketebalan 3 ruas jariku.
Sementara tunggu result SPM aku kerja di kedai 24 jam.
Kemudian bila dah ada duit sendiri aku guna Nokia. Pakwe plak belikan telefon Sony.
Nak dijadikan cerita satu hari aku jahit tangan kain felt buat cover telefon. Aku buat satu untukku dan satu lagi untuk pakwe aku. Warna sama tapi dibezakan oleh perkataan Love dan Lovely.
Lepas tamat kerja dia hantar aku balik dengan kereta dia. Masa dalam kereta telefon kami sama2 letak kat tengah dekat handbrake.
Bila dah sampai rumah sebelum keluar kereta aku capai telefon. Aku pun ucap terima kasih sebab hantar aku. Kat pintu pagar baru kenyit mata dan flying 💋 kiss.
Setengah jam lepas tu aku plan nak call dia nak tanya dah sampai rumah ke belum. Lepas tu nak tanya plan keluar malam ni.
Bila aku capai telefon tu dan switch on... eh! Ada password bagai pula. Setahu aku telefon aku tak ada password. Belek punya belek baru aku perasan aku dah terambik telefon pakwe aku. Aku dah gabra semacam.
Dari pukul 7.30 malam hingga ke pukul 8.30 malam ada dekat 10 panggilan dari beberapa nama berbeza. Hati aku dah sentap. Aku nak call pakwe tak boleh. Jadi aku hanya tunggu panggilan dia. Pun tak ada juga...
Lebih kurang pukul 8.45 malam dia dah muncul. Kalau ikutkan sepatutnya dia datang ambik aku pukul 9.30 malam.
Aku pun keluarlah juga dengan dia. Aku abaikan hatiku yang terkujat dengan panggilan di telefonnya. Bila dia mintak tukar telefon aku hulur aje. Cuba berlagak baik dan minta maaf atas tak kesengajaan itu.
Malam tu dia asyik belek telefon masa tengah makan. Aku diamkan aje. Hal itu aku diamkan hingga dia hantar aku balik.
Esoknya di tempat kerja aku cuba juga untuk mengintai password dia. Tapi fail. Akhirnya memang rezeki aku, dapat juga sebelum balik bercuti hujung minggu. Rupanya dia guna nama Meilya.
Masa dia hantar aku ke stesyen bas malam tu aku buat merengek-rengek bermanja-manja konon akan merindui dia sebab aku balik bercuti ke kampung tanpa dia. Jadi dia memang mudah terleka. Bila dah keluar dari kereta aku cepat-cepat ambik telefon dia. Aku selit dalam poket bag. Telefon milik aku, sengaja aku tinggalkan dengan dia. Sebenarnya aku dah tukar sim kad baru letak kat situ. Jadi semua orang yang telefon aku tetap akan aku terima melalui telefon Nokia lama milik aku.
Pak we aku memang tak perasan aku dah ambil telefon dia sebab dia tinggalkan dalam kereta semasa menemani aku tunggu bas. Kami hanya bersembang dan macam-macam cerita termasuk bicara hal orang lain yang ada di situ.
Bila bas dah datang, aku terus naik bas. Dia hantar hingga ke tangga bas.
Bila bas dah bergerak hati aku dah dup dap dup dap... teringat password yang aku dah hafal tu. Aku pun mula mengerjakan telefon tu. Aku selongkar habis-habisan. Memang ianya membuat aku teruja. Puas hati aku sebab apa yang aku nak aku dah dapat.
Rupanya Meilya adalah kekasihnya selain aku. Banyak foto dan mesej serta rekod panggilan di antara dia dan Meilya. Aku rasa sebak dan sangat sedih dipermainkan. Meilya masa tu berada di Sarawak kerana menyambung pelajaran di UNIMAS.
Cuti aku habiskan dengan bersedih semuanya kerana telefon. Kalaulah aku tidak menyelongkar telefonnya aku mungkin masih boleh tersenyum.
Aku juga menunggu dia menelefon ke nombor aku tapi sampai aku balik ke tempat kerja dia tidak menelefonku.
Pagi itu ditempat kerja aku memohon maaf kepada dia sekali lagi sebab aku terambik telefonnya. Aku tidak beritahu bahawa aku telah menyelongkar telefonnya. Kebetulan selepas aku turun dari bas, aku tidak usik lagi telefonnya. Jadi adalah rekod panggilan dan mesej dari Meilya keesokkan harinya. Dia juga penuh yakin aku tidak tahu password telefon.
Aku masih berpura-pura bahawa aku tidak terluka. Bila keputusan SPM keluar aku berhenti kerja dan tekadku, aku tidak akan berhubungan lagi dengan dia.
Panggilan dia aku abaikan. Semua mesej dia aku tidak baca. Malahan nombor telefon kami yang hampir sama telah aku ketepikan dan ganti dengan nombor lain. Bila dapat keputusan SPM sementara menunggu panggilan IPT aku bekerja pula di sebuah kedai 24 jam. Di situ aku berkenalan dengan seorang jejaka lain yang akhirnya menjadi tunang aku. Semasa aku terima panggilan belajar mak aku jatuh sakit. Aku terpaksa lupakan cita-cita untuk sambung belajar. Aku terus bekerja di kedai 24 jam itu dan si dia yang menjadi tunang aku sama ada kala sedih atau ceria.
Cerita telefon Sony aku tutup dan aku simpan dalam kotak di rumah. Aku kembali guna telefon Nokia.