Malam makin larut. Sejak tiba di rumah awal malam tadi, isteri Nabi Nuh dan anaknya Kan'an tidak dapat lelapkan mata. Banyak perkara bersarang dalam minda yang tidak dapat keluar mencari penyelesaian.
Si ibu dan si anak berbaring di tempat tidur masing-masing dengan hanya bergolek-golek ke kiri dan ke kanan. Resah bertingkah dengan cemas dan bimbang. Sering beralih posisi, cuba duduk-duduk di birai katil, namun damai yang diharap tidak kunjung tiba.
Menjelang tengah malam, Nabi Nuh tiba di rumahnya. Setelah baginda meletakkan tongkatnya, selajur baginda duduk.
Menyedari kepulangan suaminya, isteri Nabi Nuh mendekati baginda dan berkata, "Wahai Nuh, ke mana sahaja kamu pergi? Mengapa kamu lambat pulang sehingga larut malam?"
Nabi Nuh menguntum senyum, lalu bercakap dengan nada lemah lembut, "Duhai isteriku Na'amah, aku sampaikan risalah yang diterima dari Allah kepada orang ramai. Kini kamu juga harus mendengarnya."
"Apakah maksud kamu, Nuh? Risalah apa?"
"Aku menerima wahyu dari Allah, dan Tuhan mengarahkan kepada aku agar segera sampaikan kepada kamu dan anak-anak agar tinggalkan sembahan berhala-berhala dan hanya Allah yang berhak disembah."
Na'amah terdiam, dan sedarlah dia yang kata-kata anaknya siang tadi benar belaka. Kemudian dia berkata, "Kamu telah bertahun-tahun hidup bersama kami tanpa masalah besar. Tetapi kini kamu berselisih dengan apa yang disembah oleh kaummu. Aku bimbang kamu akan diperangi oleh mereka.
"Lagipun ketua-ketua kaum kuat dan kaya raya. Bagaimanakah mereka akan percaya kepadamu, yang tiba-tiba mengatakan bahawa Allah telah mengutusmu kepada mereka dengan membawa suatu risalah, dan menyeru mereka untuk meninggalkan sembahan leluhur kita?"
Nabi Nuh tetap bercakap secara berhemah - di pasar, di lokasi pertemuan, mahupun di rumahnya sendiri. Baginda menjawab kerisauan isterinya.
"Wahai isteriku! Allah telah memilihku untuk menjalankan tugas ini sebaik saja Dia kehendaki. Aku sebagai pesuruh-Nya tidak akan mungkir dengan risalah yang dititipkan untuk manusia. Bangunkan dan kumpul anak-anak kita. Aku akan terangkan kepada mereka ajaran agama Allah yang sebenarnya sebagaimana aku serukan kepada kumpulan manusia di pasar."
Isteri Nuh tidak berganjak dari tempatnya, masih cuba untuk memujuk suami agar lupakan hasrat itu.
Kan'an mendatangi mereka dan duduk di samping ibunya. Na'amah cuba berhelah dengan berkata, "Anak-anak kamu sedang lena, Nuh. Kasihan mereka. Tidak bolehkah kamu menunda sehingga hari siang esok pagi?"
Nabi Nuh terdiam. Baginda melihat isterinya, dan puteranya Kan'an dengan penuh kasih sayang. Baginda berkata, "Andai demikian, aku akan sampaikan berita ajaran ini kepada kalian berdua terlebih dahulu."
Na'amah meningkah, "Mengapa kamu tergesa-gesa? Kamu pergi berehat dan tidur dahulu. Kamu sudah keletihan. Esok sahaja kamu bercerita."
"Tidak, wahai Na'amah. Aku mesti laksanakan tanggungjawab besar ini. Ia perintah dari Allah, dan sesungguhnya kamu berdua adalah orang paling hampir denganku dan ahli keluarga aku. Aku sayang dan cintaku kalian."
Khali, kemudian baginda berkata, "Bersaksilah bahawa Allah itu Tuhan Yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Sembahlah hanya kepada-Nya, tiada Tuhan selain Dia. Tinggalkanlah semua yang kamu sembah kecuali Allah. Sembahan patung-patung itu adalah hasutan sang Iblis."
Tiada anggukan atau gelengan sebaik mendengar saranan Nabi Nuh. Kan'an memandang ibunya di sisi. Sang ibu turut memandang mata anaknya seraya memberi anggukan dan berkata, "Kami sudah mendengar berita perihal dirimu berceramah di sekitar pasar siang tadi. Maka ... kami tidak akan tinggalkan sembahan nenek moyang kita sejak ribuan tahun berbuat demikian. Wadd, Suwaa, Yaghuth, Yauuq dan Nasr adalah tuhan-tuhan kami yang memberi rezeki dan turunkan air hujan."
![](https://img.wattpad.com/cover/92050398-288-k811364.jpg)
YOU ARE READING
NAKHODA AGUNG
Historical Fiction"Sesungguhnya Kami utus Nuh kepada kaumnya (dengan berfirman): 'Berikanlah peringatan kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang pedih'." (Surah Nuh ayat 1) Muncul ajaran-ajaran baharu hasil bisikan syaitan yang tidak jemu-jemu menghasut...