Zaman terus berlalu. Masa beredar, tamadun semakin memuncak. Bilangan manusia bertambah. Manusia mati, dan ada generasi hadir menanggung amanah Allah sebagai penganti.
Perseteruan antara Nabi Nuh dan pengikutnya dengan kaum kafir tetap wujud, berlangsung ratusan tahun kini.
Setiap generasi pengganti, pesanan ayah dan ibu mereka terpahat teguh agar jangan beriman kepada ajaran Nabi Nuh, supaya melanggar dan terus berlawan dengan para pengikut baginda.
"Jangan ikut seruan Nuh itu. Dia manusia sesat lagi penipu! Kalau kamu mahu, baling sahaja dia dengan batu!"
"Kamu anak-anakku. Justeru menjadi hak aku menegah kalian agar usah percaya apa kata-kata Nuh itu. Sungguh dia manusia yang berpaling daripada amalan nenek moyang kita. Dia bukan nabi, bahkan hanya membantah-bantah tanpa usul periksa."
"Sekiranya kamu didatangi Nuh atau pengikutnya, tutuplah tangan kamu ke mulut. Namun jika kamu mahu, nyatakan bencinya kamu terhadap Nuh dan ajarannya. Katakan 'aku ingkar dan tidak percaya apa yang kamu suruh. Aku amat ragu dan gelisah terhadap apa yang kamu sampaikan. Aku jauh lebih percaya suruhan orang tuaku'."
Itulah antara pesanan kepada anak-anak dari golongan kafir setelah anak-anak mereka besar.
Justeru Nabi Nuh merayu bantuan Allah, dan bertegas bermunajat. "Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka hidup, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar."
Lalu Allah wahyukan kepada Nabi Nuh melalui malaikat Jibrail, "Sekali-kali tidak akan ada yang beriman antara kaummu kecuali orang yang telah beriman itu. Maka janganlah kamu bersedih hati mengenai apa yang sering mereka lakukan."
Tenanglah hati baginda menerima wahyu Allah itu. Ia berupa nasihat bagaikan air dingin yang tenang mengalir melalui aliran darah di dalam tubuhnya. Baginda terus bersabar, dan dalam masa yang sama semakin memberi perhatian kepada orang-orang yang beriman agar berteguh dan menanti arahan Allah selanjutnya.
Di langit maha tinggi di sisi Allah, bergema firman-Nya memuji hamba-Nya Nuh. "Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian yang teguh."
Dalam masa yang sama, Allah bertegas, "Semua mereka yang ingkar itu tidak lain hanya mendustakan rasul, maka pastilah bagi mereka azab-Ku."
Allah Yang Maha Membalas berkata, "Demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami, maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan."
Tidak lama kemudian, malaikat Jibrail turun menemui Nabi Nuh dan berkata, "Wahai Nuh! Allah sudah makbulkan doa kamu. Aku membawa tujuh biji benih dan tanamlah sehingga ia membesar menjadi pokok-pokok yang menghijau."
Nabi Nuh pun segera berbuat demikian dan menunggu pokok itu membesar secara semulajadi. Baginda menunggu untuk satu tempoh selama mana dalam perancangan Allah dan dengan sabar menanti Jibrail menemuinya bagi memberi arahan Allah selanjutnya.
**********
Monolog sang Buana
Golongan kafir yang membentuk majoriti Bani Rasib sudah memberi ancaman keras untuk merejam Nabi Nuh sekiranya baginda terus-menerus bercakap-cakap dengan anak muda mereka. Justeru, Allah dengan Maha Kuasa-Nya mempateri hati-hati kaum penentang kejap-kejap.
Aku sang Buana menjadi saksi akan perlakuan mereka yang jahat lagi mati hatinya. Ia bukan kerana Allah tidak adil, bahkan Maha Suci Allah daripada sikap itu. Allah mengunci hati-hati mereka lantaran dosa-dosa dan sifat derhaka yang paling tinggi yang mereka perbuat. Nabi Nuh sudah memberi amaran akan azab Allah itu.
Justeru terkunci hati-hati mereka, segala petunjuk sudah tiada sebarang kesan kepada mereka. Ia persis pintu taubat sudah tertutup untuk mereka.
"Ya Allah! Janganlah Dikau berbuat demikian untuk aku dan sahabat-sahabat aku. Aku hamba-Mu, ya Rabb."
Dalam pada itu, beberapa pengikut Nabi Nuh menyedari tindakan baginda menanam pokok itu. Walaupun mereka berasa hairan, namun mereka tidak membantah. Iman mereka teguh dengan nasihat-nasihat oleh baginda sebelumnya. Mereka yakin yang Nabi Nuh menerima wahyu dari Allah, dan setiap apa yang diperbuat adalah atas arahan dari langit.
Aku juga yakin mengenai suruhan menanam pokok itu, walaupun hanya beberapa biji benih. Belum pasti apakah azab Allah itu dan hubung kaitnya. Hanya Dia Maha Mengetahui dan Maha Berilmu. Aku dan kawan-kawan juga menunggu.
** Novel ini sudah diterbitkan oleh Must Read, dengan judul yang sama (seperti cover tertera). Boleh dibeli dari laman web Must Read atau hubungi saya.

YOU ARE READING
NAKHODA AGUNG
Historical Fiction"Sesungguhnya Kami utus Nuh kepada kaumnya (dengan berfirman): 'Berikanlah peringatan kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang pedih'." (Surah Nuh ayat 1) Muncul ajaran-ajaran baharu hasil bisikan syaitan yang tidak jemu-jemu menghasut...