Turas bertanya, "Apa kamu tahu mengenai sembahan patung-patung itu, Rukuys dan Tuwan? Bagaimana ia bermula sehingga nenek moyang kita, dan malah kita sendiri pada suatu masa, tertipu dengan hasutan Iblis?"
Kedua-dua rakannya hanya berdiam diri buat seketika.
Kemudian Rukuys berkata, "Aku pun sebenarnya kurang pasti apa yang terjadi. Tetapi menurut kisah-kisah lagenda kaum kita, orang-orang alim itu mempunyai ramai pengikut. Setelah mereka meninggal dunia, ada antara para pengikutnya berkata, 'Sekiranya kita melakar gambar wajah orang alim yang kita sayangi itu, nescaya kita akan berasa rindu untuk beribadah.'
"Orang lain menyampuk, 'Dengan melihat gambar yang dilukis, kita mudah untuk beribadah kepada Allah.'
"Maka mereka pun membuat gambar orang-orang alim itu."
Tuwan menambah, "Kemudian generasi berikutnya muncul setelah kematian pengikut orang-orang alim itu. Iblis mendatangi mereka lalu berbisik, 'Ibu bapa dan nenek moyang kamu menyembah mereka. Dengan sembahan itu, tuhan turunkan hujan.'
"Justeru nasihat sang Iblis itu, mereka menyembah gambar-gambar yang dilukis berupa orang alim yang sangat dihormati."
"Ya! Ya, aku juga ada mendengar kisah ini dari Nabi Nuh sendiri. Memang benarlah," akui Rukuys.
"Tentang patung paling besar si Wadd itu, apa pula kisahnya?" Tanya Turas lagi.
Rukuys bercerita, "Sewaktu beliau meninggal dunia, para pengikutnya berdiam diri di sekitar makamnya di satu daerah. Mereka menangisdan mengingati jasa-jasa yang telah Wadd perbuat untuk suku kaum mereka.
"Sekali lagi sang Iblis laknat itu mengambil kesempatan. Kesedihan yang memuncak menjadi alat untuk menabur onarnya."
Tuwan mencelah, "Bagaimana Iblis celaka itu datang kepada mereka? Dia orang nampakkah?"
"Iblis ... ada kebolehan anugerah Allah, sahabat. Dia berubah wujud menyerupai manusia, dan kemudian berkata, 'Aku simpati dengan kesedihan yang melanda kalian. Sungguh aku kasihan. Tambahan pula Wadd adalah orang alim. Takkan kamu mahu biarkan kenangan itu berlalu begitu sahaja?'
"Seorang ketua suku kaum bertanya, 'Apa cadangan kamu?'
"Iblis menjawab, 'Apa kata jika kalian lukis gambar Wadd sehingga dirinya seolah-olah masih berada di kalangan kamu, dan pastinya kalian akan terus dapat mengingat orang yang dikasihi kita itu?'
"Ketua itu bersetuju dan berkata, 'Ya.'
"Kemudian dipersetujui oleh orang ramai. Seterusnya mereka pun siap melukis gambar Wadd. Masa berlalu sekian lama, maka Iblis datang sekali lagi. Kali ini sebagai tukang ukir yang mahir.
"Iblis bertanya, 'Apakah kalian bersetuju sekiranya aku buatkan dalam setiap rumah sebuah patung yang serupa dengannya sehingga kalian dapat mengingatinya di rumah pula?'"
Rukuys mengangguk lalu berkata, "Mereka bersetuju dengan saranan Iblis itu. Itulah sahabat, kasih sayang yang keterlaluan boleh menjadi senjata Iblis untuk musnahkan manusia. Kita tidak sedar sama sekali justeru hati tertutup dengan cinta palsu."
Pada mulanya mereka hanya menghormati gambar dan patung yang dibentuk itu. Namun generasi silih berganti, dan akhirnya Wadd disembah sebagai tuhan selain Allah, bahkan mengantikan Allah sama sekali.
Patung-patung pun kian bertambah - bersaiz kecil, sederhana dan besar. Ritual pelik-pelik semakin berkembang biak.
Pesta-pesta liar menjadi idaman anak-anak muda. Kesesatan tersangat parah, manakala hati-hati mereka terkunci rapat, sangat rapat sehingga tiada cahaya iman dapat memasukinya.
YOU ARE READING
NAKHODA AGUNG
Fiksi Sejarah"Sesungguhnya Kami utus Nuh kepada kaumnya (dengan berfirman): 'Berikanlah peringatan kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang pedih'." (Surah Nuh ayat 1) Muncul ajaran-ajaran baharu hasil bisikan syaitan yang tidak jemu-jemu menghasut...