Sebelum manuskrip ini diterbitkan oleh Must Read, beberapa persoalan diajukan kepada saya. Berikut ialah jawapan saya untuk pertanyaan panel syariah penerbit.
1) Jujurnya, semua dialog Nabi Nuh dan firman Allah Taala saya ambil dari al-Quran, tafsir yang saya nyatakan dalam senarai Rujukan dan hadis-hadis Rasulullah. Saya faham, bahkan amat faham, saya dipertanggungjawabkan ke atas dialog-dialog Nabi Nuh. Justeru saya sudah berhati-hati.
2) Saya tidak bersetuju sekiranya dibuat nota kaki. Ini sebuah novel dari kajian dan tafsir ulama, bukan kajian ilmiah. Nota kaki bakal membosankan pembaca.
3) Polemik kajian Nabi Nuh memang banyak. Sekiranya sebuah novel mahu diambil dari sudut pandang semua ulama, maka ia lebih menimbulkan polemik. Saya sudah nyatakan dalam lampiran dan permulaan novel ini. Saya kira dalam menulis novel, kita hanya perlu ambil dari satu sudut pandang ulama yang autentik. Insya-Allah, itu sudah saya buat dan taakul.
Ambil contoh, sekiranya mahu dibincang sosok siapakah Zulqarnain dalam al-Quran, berjilid-jilid kitab dibahas. Namun adakah perlu kita ambil semua dan dimasukkan ke dalam sebuah novel?
4) Novel perlu ada banyak dialog, dan saya sudah amat berhati-hati dalam dialog Nabi Nuh. Nama isteri Nabi Nuh juga banyak mengikut tafsir ulama, Jadi adakah salah saya ambil salah satu namanya? Begitu juga nama-nama isteri anak-anak Nabi Nuh.
5) Mengenai siapakah rasul pertama, ia juga datang dari tafsir. Memang ada ulama berselisih pendapat. Namun adakah saya salah jika berpegang pandangan ulama bahawa Nabi Nuh adalah rasul pertama, bukan Nabi Adam dan Nabi Syith? Kalau mahu diambil pandangan semua ulama dan dilambakkan dalam manuskrip, maka ia bukan lagi novel.
Sebagai perbandingan, bukankah dalam soal ibadah pun, Islam sekarang ada 4 mazhab utama?
6) Mengenai perkara-perkara agak pelik, seperti ustaz highlight, ia memang pelik. Dari sumber hadis lemah/mursal, namun bukan hadis palsu. Saya berpegang kepada fakta bahawa 'hadis lemah/mursal boleh diambil untuk cerita sekiranya ia tidak bersangkut paut dengan akidah'.
7) Insya-Allah, saya sudah meneliti di awal penulisan novel ini akan elemen Israilliyyat. Saya sudah tapis sebaik mungkin. Sebab itu novel ini agak pendek.
8) Lokasi Bukit Judi juga berbeza pandangan. Ahli tafsir al-Quran dan arkealogi berselisih pendapat. Saya ambil salah satunya dari sumber Islam. Buku-buku rujukan seperti dalam bahagian Rujukan.
9) Mengenai banjir besar itu, adakah hanya di suatu lokasi muka bumi atau seluruh dunia, dan adakah umat-umat lain di kala itu? Ia juga banyak tafsir ulama dan ahli arkeologi. Jadi sekali lagi, tak perlu diambil semua polemik dan pandangan ulama. Saya ambil satu pandangan sahaja dalam novel ini. Saya harap ia jelas. Insya-Allah, saya sudah berhati-hati.
Penjelasan lanjut dialog-dialog Nabi Nuh.
1) Untuk dialog baginda, banyak tempat dengan kisah/dialog berbeza, atau dialog untuk perkara sama tapi dengan ayat-ayat berlainan dengan membawa makna yang sama. Ia mengikut siapakah yang sedang bercakap dengan baginda.
2) Dalam al-Quran dalam surah berbeza, banyak kisah Nabi Nuh diceritakan, sama ada secara terperinci atau secara sambil lalu. Secara panjang dalam Surah Nuh dan Surah Hud. Manakala di dalam banyak surah lain, ia merata.
3) Ambil contoh mengenai bulan bintang dan alam buana ini, Nabi Nuh berkata di banyak tempat dalam pelbagai surah dengan ayat-ayat berbeza, tapi masih dalam misi menjelaskan perkara yang sama. Begitu juga dalam perihal kejadian manusia yang berperingkat itu.
4) Dalam beberapa kisah, dialog Nabi Nuh diambil dalam hadis sahih dan mursal.
5) Dalam semua dialog itu, sama ada saya ambil secara terus terjemahan al-Quran (dengan membuang makna tambahan dalam kurungan) atau saya ambil/salin dari ayat-ayat lebih mudah yang ditulis semula oleh para pentafsir/pengarang kitab dalam kitab rujukan di senarai Rujukan.
6) Saya merujuk kepada banyak jenis tafsir - sama ada tafsir berbahasa Melayu atau dalam bahasa Indonesia atau dalam bahasa Inggeris (seperti senarai Rujukan).
7) Selain dialog Nabi Nuh dalam al-Quran dan hadis, dialog lain ialah bayangan sendiri yang masih mengekalkan disiplin penulisan novel sejarah Islam tanpa menyeleweng daripada akidah Islam.
Insya-Allah, seperti saya nyatakan dalam Prakata, Pendahuluan dan Lampiran, saya sudah mengambil langkah sangat berhati-hati.
Moga memberi pencerahan. Wallahua'lam.
YOU ARE READING
NAKHODA AGUNG
Ficción histórica"Sesungguhnya Kami utus Nuh kepada kaumnya (dengan berfirman): 'Berikanlah peringatan kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang pedih'." (Surah Nuh ayat 1) Muncul ajaran-ajaran baharu hasil bisikan syaitan yang tidak jemu-jemu menghasut...