Monolog sang Buana
Nabi Nuh lestarikan revolusi berfikir. Baginda berada di puncak kemuliaan dan kecerdasan, seorang manusia terbesar di zamannya. Baginda bukan seorang raja di tengah-tengah kaumnya, bukan penguasa mereka, dan bukan juga orang yang paling kaya di antara mereka.
Kebesaran tidak selalu terkait dengan wujudnya kerajaan, kekayaan dan kekuasaan. Banyak kisah Allah perikan dalam kitab-kitab bahawa tiga elemen itu biasanya dimiliki oleh jiwa-jiwa yang hina, walaupun tampak gah di persada dunia. Iblis melatar indah yang bohong dan gersang.
Kebesaran sebenar terletak pada kebersihan hati, kesucian nurani dan kemampuan akal untuk mengubah kehidupan di sekitarnya. Nabi Nuh memiliki semua itu, bahkan lebih daripada itu.
Baginda adalah manusia yang mengingat dengan baik perjanjian Allah dengan Nabi Adam dan anak-anaknya, ketika Dia menciptakan mereka di alam berbentuk atom ini.
Aku juga, buana yang bersifat atom, tidak kekal. Hanya membawa amanah Allah yang Maha Berkuasa ke atas semua ciptaan-Nya. Subhanallah!
Sepertimana aku, berdasarkan fitrah, baginda beriman kepada Allah sebelum pengutusannya pada manusia tatkala itu. Kalian, hai makhluk dan manusia, harus mengerti bahawa semua nabi dan rasul beriman kepada Allah sebelum mereka diutus.
Antara mereka ada yang mencari Allah seperti Nabi Ibrahim, ada juga di antara mereka yang beriman kepada-Nya dari lubuk hati yang paling dalam, seperti Nabi Musa. Antara mereka juga ada yang beribadah kepada-Nya, dan menyendiri di gua Hira, seperti Nabi Muhammad (SAW).
Terdapat sebab lain berkenaan dengan kebesaran Nabi Nuh. Ketika baginda bangun, tidur, makan, minum, atau berpakaian, baginda besyukur. Ketika masuk atau keluar rumah, baginda selalu bersyukur kepada Allah dan memuji-Nya, serta mengingat nikmat-Nya.
Oleh kerana itu, Allah berkata tentang Nabi Nuh, "Sesungguhnya dia adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur." (Surah al-Isra' 17: ayat 3)
**********
Orang yang berdosa memikul dosanya dan orang yang lakukan kesalahan maksiat menanggung akibat buruknya. Kejahatan terus bermaharajalela, tatkala penghuni bumi bertambah ramai berkat kasih sayang dan cinta Allah.
Namun, "Janji menyembah Allah hanya omong kosong." Begitulah kata ketua-ketua kaum kafir silih berganti, mengulang-ulang kata-kata dan ajaran arwah ibu bapa mereka.
Salah seorang ketua kaum kafir bernama Kramer berkata, "Mana ada perjanjian kita dengan Allah? Tuhan kita ialah Wadd, Suwaa, Yaghuth, Yauuq dan Nasr."
Nabi Nuh tetap berkata kepada kaumnya, "Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah. Sebenarnya tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepada-Nya?"
Maka ketua-ketua kaum berbincang.
Akhirnya mereka memberi kata putus dengan bertegas, "Orang itu hanyalah seorang manusia seperti kita. Dia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kita. Kalau benar Allah berkehendak mengutuskan seorang Rasul, tentulah Dia menurunkan malaikat menjadi Rasul-Nya. Kita tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kita dahulu."
Kramer menyahut, "Ia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang mengidap penyakit gila. Oleh itu tunggulah akan perubahan keadaannya hingga ke suatu masa. Mungkin tuhan-tuhan kita akan menolongnya. Patutkah kita buat majlis korban di depan tuhan-tuhan?"
Kedengaran bisik-bisik, dan ada juga bantahan.
Seorang ketua wilayah yang kaya raya, Gilgamesh, berkata, "Mana boleh kita tunggu begitu sahaja? Sementara menunggu si Nuh itu sembuh, elok kita sebarkan luas-luas berita ini, bukan setakat di bandar ini sahaja.
YOU ARE READING
NAKHODA AGUNG
Ficción histórica"Sesungguhnya Kami utus Nuh kepada kaumnya (dengan berfirman): 'Berikanlah peringatan kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang pedih'." (Surah Nuh ayat 1) Muncul ajaran-ajaran baharu hasil bisikan syaitan yang tidak jemu-jemu menghasut...