BAB 5 - Nabi Nuh Manusia Biasa yang Diberkahi

55 5 0
                                    

Monolog sang Buana

"Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir dari kaumnya: 'Kami tidak melihat kamu, melainkan sebagai seorang manusia biasa seperti kami'."

Aku menyedari yang penduduk negeri itu menentang dakwahnya, terutama para pembesar dari kaumnya. Seringkali mereka berkata, "Wahai Nuh, engkau adalah manusia biasa."

Memanglah baginda manusia, dan Nabi Nuh bersetuju yang dirinya manusia biasa. Allah mengutus seorang rasul dari manusia ke bumi kerana bumi dihuni oleh manusia. Seandainya bumi dihuni oleh para malaikat nescaya Allah mengutus seorang rasul dari malaikat.

Heh! Itu pun tidak fahamkah?

Berlanjutlah perang adu domba antara orang-orang kafir dan Nabi Nuh. Pada mulanya rejim penguasa menganggap dakwah Nabi Nuh akan mati dengan sendirinya. Namun ketika mereka melihat dakwahnya menarik perhatian orang-orang fakir, orang-orang lemah, dan pekerja-pekerja sederhana, mereka mulai menyerang Nabi Nuh dari sisi ini.

Walaupun demikian, orang-orang beriman yang bersama Nabi Nuh tetap hatinya dengan ajaran agama wahyu. Mereka tidak berganjak meskipun diasak dengan ancaman dipukul dan direjam dengan batu-batu.

Aku teringat tatkala di musim kemarau yang panjang pada suatu tempoh masa, orang-orang beriman itu tetap sabar. Sedangkan dalam masa yang sama, kumpulan banyak orang-orang kafir terus menerus menyembah berhala, kononnya sembahan mereka itu dapat membantu. Naif sungguh mereka itu!

**********

Angin bertiup, agak panas terasa di waktu malam ini. Sudah lebih setahun kemarau melanda. Para penduduk negeri di kawasan tanah datar yang luas dan memanjang di sepanjang dua buah sungai itu berasa tertekan. Kawasan bandar yang empat itu juga turut terasa bahangnya.

Di suatu rumah yang agak terpencil di sebuah kampung yang jauh dari bandar, tiga orang sahabat sedang berbual-bual.

Turas, seorang buruh di ladang gandum berkata, "Aduhai! Aku sudah lama tidak keluar bekerja. Ladang gandum kepunyaan tuan aku tidak menjadi tahun ini, teruk juga dengan hujan yang sudah berbulan tidak turun."

Nelayan bernama Rukuys menyampuk, "Aku juga begitu. Sudah hampir sebulan bekalan ikan di sungai seolah-olah payah mahu ditangkap. Walaupun aku dan kawan-kawan kita pergi sehingga ke hulu sungai, namun hasilnya tidak seperti biasa. Air cetek menyebabkan ikan-ikan tidak ada. Mahu ke lubuk dalam aku risau."

Mereka terdiam. Ada angin keluhan keluar dari rongga hidung.

Pembantu Nabi Nuh dalam urusan menebang pokok-pokok kayu dan menjaga haiwan ternak bernama Tuwas bernasihat, "Itu semua dugaan Allah untuk kita, sahabat. Seperti yang baginda nyatakan, ini semua terjadi kerana kaum kita jauh daripada Allah yang mencipta langit dan bumi. Juga akibat daripada cintakan dunia secara berlebihan, sedangkan dalam masa yang sama mereka berbuar onar jahat."

Turas memberi pandangannnya dengan berkata, "Ya. Memang benar. Dalam situasi lapar dan getir ini, para penguasa dan orang kaya kita masih sombong. Tidak mahu menerima ini sebagai amaran Allah, padahal Nabi Nuh sudah berbuih mulut bercerita.

"Aku yakin sungguh-sungguh yang baginda ialah Nabi Allah yang diutus khas untuk kaum kita. Kita takut, tetapi mencari perlindungan dengan menyembah berhala itu. Apa yang kayu dan batu boleh buat?"

Rakannya Rukuys dan Tuwas mengangguk-angguk.

"Aku masih ingat nasihat Nabi Nuh. Baginda meminta agar kita kembali kepada Allah, pencipta segala benda, dan suasana ini pun terjadi dek onar kaum kita. Patutnya kita memohon ampun kepada-Nya, dan dengan izin-Nya, Tuhan sebenar Yang Maha Esa akan turunkan hujan sehingga mengairi ladang dan suburkan hasil bumi," kata Tuwan.

Kemudian Rukuys bertanya, "Bagaimana keadaan kau, Turas? Tuan kau masih mengancam dengan hukuman berat?"

Turas menjawab, "Ya, kawan. Tuan aku itu kaya raya. Ladangnya luas. Dia pernah mengugut aku agar tinggalkan ajaran Nabi Nuh. Namun ... aku tetap yakin dengan agama murni tinggalan Nabi Adam dan Nabi Idris itu. Syariat baharu yang dibawa oleh Nabi kita itu amat sesuai dengam fitrah kejadian manusia. Walaupun aku mungkin direjam sehingga mati, aku tetap akan beriman.

"Aku mohon agar Allah tetapkan hati supaya tidak berubah sama sekali. Apa guna hidup senang sekiranya mati kelak kita akan disiksa dalam api neraka Allah yang menyala-nyala."

Mereka bersama-sama memohon keampunan dari Allah. Mereka berteguh jiwa, walaupun apa sahaja yang bakal terjadi.

"Kita serahkan sahaja kepada Allah. Yakinlah Dia akan membantu kita." Tuwan memberi kata-kata semangat, sekali gus percaya yang Allah Maha Berkuasa dalam Maha Kasihan Belas.

**********

Monolog sang Buana

Dalam pada itu, untuk tempoh banyak tahun, malah ribuan tahun, aku melihat kiranya mereka bahagia dan makmur dengan bandar-bandar besar Ur, Erech, Kish dan Shuruppak. Rumah-rumah dipahat dari batu dan diukir dengan tanah keras cantik-cantik belaka. Binatang ternak banyak, tanaman subur, bekalan makanan mudah didapati.

Rumah-rumah para penduduk kaya dan para penguasa dilengkapi banyak ukiran indah-indah, peralatan makan dan minum mewah.

Harta banyak. Namun ... ah manusia! Aku menjadi malu. Entahlah ... aku sang Buana masih dan akan tetap bersyukur dengan anugerah Allah. Walhal mereka yang sewajibnya lebih bersyukur lantaran kejadian yang dimuliakan Tuhan Yang Esa.

Mereka turut dianugerah bahasa dengan tulisan kuniform - tulisan berasaskan bentuk baji - yang menyimpan rekod pentadbiran, senarai harta dan tamadun untuk tatapan anak bangsa di masa hadapan. Tempoh ribuan tahun yang berlalu menjadi mercu tanda bahawa mereka maju.

Namun ... manusia mudah lupa!

Rakan-rakanaku – sang Tigris dan sang Euphrates – memotong dataran luas itu menjadi tanah yang subur. Selain daripada itu, anak-anak mereka berupa sumber air lain – tasik, saliran kecil dan besar – menjadi sumber tempat mencari ikan-ikan bagi makanan. Padang rumput yang besar dan landai menjadi tempat mengembala kambing-kambing yang sihat-sihat belaka.

Dataran Mesopotamia adalah anugerah Allah untuk manusia di situ, sebuah negara besar demi cinta-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Kemarau dan bahana itu ... aku biasa-biasa sahaja justeru lumrah kejadian aku begitu. Aku sang hamba-Nya, sentiasa menurut titah perintah Allah Yang Maha Gagah. Kawan-kawan aku seperti awan dan hujan hanya menurut perintah.

Apa daya kami untuk membantu manusia? Kami hamba-Nya yang taat.

Ke mana dicampakkan akal anugerah Allah itu, wahai manusia? Aduhai!    

NAKHODA AGUNGWhere stories live. Discover now