Sebahagian rumah Nabi Nuh menjadi markas berkumpulnya orang-orang beriman, sama ada secara ramai mahupun hanya kumpulan kecil.
Pada suatu ketika tiga orang sahabat baik berkunjung ke rumah Nabi Allah itu; Turas, Rukuys dan Tuwan. Untuk sekali lagi Nabi Nuh bercerita wahyu akan datangnya seorang Pembohong Besar di akhir zaman - Dajjal.
"Wahai sahabat, aku ingin sampaikan sekali lagi kisah Dajjal. Mahukah kalian mendengarnya?"
Ketiga-tiga sahabat aku mengangguk. Sungguh ceria mereka.
"Dia membawa cerita bohong, bahkan teramat bohong. Dengan upaya yang dianugerahkan Allah, sang Pembohong itu menipudaya umat manusia dan jin."
Rukuys bertanya, "Adalah Dajjal itu seorang manusia?"
"Ya, dia manusia yang berumur panjang. Dengan izin-Nya, Dajjal tidak akan muncul di zaman kita. Namun demikian, aku berpesan kepada kalian agar sampaikan kisah ini kepada anak cucu kalian, seandainya aku tiada lagi di dunia ini."
"Dajjal akan menipu agar kita lalai dan terpesona dengan cahaya yang indah-indah. Dia seolah-olah berupaya datangkan syurga dunia iaitu kemewahan, pangkat, harta dan wanita yang sekali gus akan menyebabkan kita lupa diri dan hanyut dengan keduniaan semata-mata. Walhal itu hanyalah sementara, dan bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik kembali nikmat-nikmat yang dikecapi itu.
"Hindarilah bahaya besar itu dari kalian. Dajjal akan mengaku sebagai Tuhan."
"Sehingga begitu sekali, Nuh?" Soal Tuwan.
"Ya. Seakan-akan dia yang menguasai dan menentukan nasib bangsa-bangsa manusia di kala itu. Kononnya dia dapat tentukan hidup dan mati manusia. Ramai manusia tertipu. Bersama-sama Dajjal akan dibangkitkan banyak syaitan yang menyerupai manusia yang telah meninggal dunia. Syaitan dengan arahan Dajjal akan bercakap-cakap dengan manusia dan mengakui mereka ialah ayah, ibu atau saudara mereka yang hidup kembali."
Tuwan menjawab, "Aku akan sentiasa memberi ingat kepada keluarga aku nanti."
Turas pula berkata, "Agama yang benar hanya Islam. Kita adalah muslim yang mengakui ajaran Nuh sebagai Utusan Allah."
**********
Imbas kembali ...
Nabi Adam kekal menghuni muka bumi sehingga jumlah anak cucunya mencapai empat puluh ribu orang di Budza, suatu dataran tinggi Saraat di tanah Arab. Di ketika itu, baginda sangat kecewa kerana ada di kalangan mereka bermaksiat kepada Allah seperti berzina, minum minuman yang diharamkan dan berbuat kerosakan seperti membunuh.
Dalam masa yang sama mereka turut bernikah kahwin secara tidak sah seperti mana perbuatan Qabil dahulu. Pada masa ayahanda Nabi Nuh, Lamak, masih hidup, kemungkaran turut menyebar dengan bernikah secara tidak mengikut aturan ajaran Nabi Adam. Hasilnya lahirlah anak-anak zina yang berperangai buruk.
Perkahwinan yang dilarang itu juga dibuat oleh keturunan lelaki orang-orang beriman dengan menikahi perempuan-perempuan tidak beriman. Justeru lahirlah anak-anak yang memiliki kekuatan syaitan dengan berlaku biadap dan zalim. Badan mereka memang berupa manusia, seperti asalnya Nabi Adam. Namun hati-hati mereka sudah dimasuki syaitan-syaitan.
YOU ARE READING
NAKHODA AGUNG
Historical Fiction"Sesungguhnya Kami utus Nuh kepada kaumnya (dengan berfirman): 'Berikanlah peringatan kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang pedih'." (Surah Nuh ayat 1) Muncul ajaran-ajaran baharu hasil bisikan syaitan yang tidak jemu-jemu menghasut...