BAB 2 - Na'amah dan Kan'an yang Derhaka

155 10 6
                                    

Seperti hari-hari yang berlalu, seorang wanita bangun dari tidurnya. Dia berlekas menuju ke ruang dapur untuk sediakan makanan dan minuman. Dia masih laksanakan tanggungjawab khususnya untuk anak-anak yang masih berdengkur di tempat tidur. Gerak kerjanya pagi ini agak terkocoh-kocoh, mahu cepat. Makanan dan minuman di pagi ini agak banyak.

Tidak berapa lama selepas itu, urusannya di dapur selesai. Dia membungkus seberapa banyak sajian yang boleh dibawa. Bakinya disimpan untuk anak-anaknya. Dia bersegera menuju ke tempat mandi. Usai bersiap, kemudian dia berjalan menuju ke pintu keluar rumah, tanpa memberitahu suaminya, Nabi Nuh. Dia mengenakan baju cantik hari ini untuk tujuan khas.

Sebelum sempat dibuka pintu rumah, alih-alih anaknya yang masih muda, Kan'an, menegurnya, "Selamat sejahtera, ibu ... ." Dia melihat pakaian ibunya yang cantik itu, lalu bertanya, "Ibu mahu ke mana awal pagi ini? Lawa nampak."

Isteri Nabi Nuh membuat isyarat agar anaknya rendahkan suara, lalu berkata, "Kamu sudah lupa, Kan'an? Bukankah hari ini hari besar. Hari raya untuk tuhan-tuhan kita. Ibu mahu pergi ke majlis Sembahan Besar."

"Mengapa ibu cakap perlahan?"

"Kamu tahu di mana ayah kamu? Ibu bimbang dia dapat mendengar perbualan kita ini."

Kan'an hanya menggeleng, tidak tahu ke mana gerangan ayahnya berada tatkala ini.

Ibunya berkata lagi, "Ibu sudah agak lewat, wahai anakku. Kumpulan kaum kita mungkin sudah ramai di sana, dan sedang menunggu ibu sebelum lakukan sembahan kepada tuhan-tuhan kita itu. Bukankah ia wajib justeru tuhan-tuhan kita memberi rezeki dan membantu kita selama ini?"

Kan'an memandang ibunya dengan wajah tersenyum, kemudian berkata, "Ibu bijak, sudah berbuat yang terbaik. Ibu jalan dahulu, nanti saya menyusul. Saya bimbang andai ayah menyedari kita pergi bedua, nanti ayah akan menghalang. Tambahan pula, ayah memang tidak senang kita sering sama pendapat."

Isteri Nabi Nuh membuka pintu perlahan-lahan dan memberi isyarat agar anaknya terus memantau kelibat ayahnya. Dia berjalan kaki menuju ke lokasi tempat semua berhala didirikan.

Sebaik tiba di majlis Sembahan Besar, dia berdiri dan berucap tanpa hiraukan orang lain, "Wahai Wadd, Suwaa, Yaghuth, Yauuq dan Nasr! Ampunkan aku kerana agak terlambat."

Kemudian dia berdoa dan meletakkan makanan serta minuman yang dibawa di hadapan berhala. Selain dirinya, ramai lagi lelaki dan perempuan turut meluahkan kalimat-kalimat tertentu, ada yang dia faham dan banyak juga yang dia tidak mengerti.

Di suatu sudut kawasan sembahan, terdapat sekumpulan orang sedang menyembelih binatang ternak. Kemudian binatang-binatang itu dipersembahkan untuk berhala mereka. Bangkai binatang itu ada juga diangkat tinggi-tinggi sambil membaca mantera khas. Wajah-wajah mereka diangkat dan mata dipejam rapat-rapat.

Iblis, kumpulan syaitan dan jin kafir menjamah sembahan orang-orang itu. Mereka turut berpesta, dalam gelak ketawa galak. Sekumpulan demi sekumpulan orang ramai semakin mendatangi majlis sembahan besar. Makanan, minuman dan haiwan sembelihan semakin bertambah.

Di suatu kawasan yang agak terkebelakang, isteri Nabi Nuh terdengar riuh rendah. Lantas dia berpaling ke arah itu. Dia melihat kelibat anaknya Kan'an berlalu dari ruangan sembahan dan menuju ke majlis tarian para perempuan yang berpakaian menjolok mata. Di situ lelaki dan perempuan bercampur baur menjadi satu, meminum minuman memabukkan. Paling teruk ialah lakukan perkara keji di antara lelaki dan perempuan yang bukan pasangan suami isteri.

Ia sebuah pesta maksiat yang dibisikkan oleh sang Iblis dan para jeneralnya. Bersuka ria melampau batas, sudah hampir sama dengan sang haiwan yang tidak berakal.

Melihat dari jauh, sang ibu mengerti apa yang terjadi. Di dalam hati kecilnya, dia tetap berasa bimbang dan cemas. Mahu disuarakan, takut disergah oleh pemuka-pemuka kaum yang berkuasa. Lalu dia cuba mendekati sang anak dan dipanggil secara perlahan. Namun Kan'an yang sedang asyik dan berada dalam keramaian itu tidak mendengar sama sekali panggilan ibunya.

Kecewa dengan panggilan itu, sang ibu kembali mampir ke lokasi sembahan berhala. Dia berdoa, "Wahai tuhan-tuhan! Tolonglah aku agar anak kesayangan aku itu sedar perbuatan jahat itu. Aku menyembahmu, tetapi aku tidak relakan apa yang terjadi di sana. Kembalikan anakku kepada aku."

Usai luahkan kata-kata harapan, isteri Nabi Nuh mengeluarkan secarik kain yang sudah dilumur wangian dari bungkusan. Dia letakkannya di kaki berhala, dan berdoa, "Terimalah hadiah ini, duhai tuhan."

@@@@@@@

Majlis dan upacara itu berlalu pantas. Isteri Nabi Nuh mula berjalan kembali ke rumah setelah yakin doanya diangkat ke langit oleh kumpulan patung yang tiada nyawa itu. Sambil memandang ke belakang, harapan bergumam, "Moga engkau, ya tuhan, makbulkan harapan aku."

Sementara dalam waktu yang hampir sama, Kan'an juga melangkah longlai, turut menuju laluan ke rumah melalui lorong lain. Orang lain juga berbuat perkara yang sama. Hari menjelang senja.

Dalam perjalanan itu, sang ibu terserempak anaknya di pertemuan sebuah jalan. Ibu melihat raut muka anaknya muram dan masam mencuka. Sebaik memanggil nama anaknya agar menunggunya, dia berjalan cepat-cepat.

Ibunya bertanya, "Wahai anak ibu tersayang, apa yang sedang kamu fikirkan? Mengapa bermuram durja?"

Kan'an mengeluh, hamburkan gejolak di dalam dada, lalu menjawab, "Ibu, tahukah apa yang ayah telah dan sedang lakukan?"

Ibunya menjawab sambil berkerut, "Entahlah. Mengapa soal ini ditanya? Apa yang ayah telah perbuat?"

"Ayah berceramah dan bercerita di pasar. Adakah patut begitu? Orang-orang di pasar marah betul dengan sikap ayah, ibu."

"Apa yang ayah kamu lakukan di sana? Adakah dia menjual kayu-kayan bagi mudahkan penduduk membuat rumah atau menjual hasil tangkapan di laut atau menjual haiwan ternak?"

"Bukan, ibu. Kalau itu yang dibuat ayah, orang takkan marah."

"Habis itu?"

"Ayah menyeru, 'Hai kaumku! Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang nyata bagimu. Sembahlah Allah, bertakwalah dan taatlah kepada-Nya'."

Isteri Nabi Nuh terkejut dan melihat wajah anaknya. Dia berkata, "Andai begitu, sudah nyata ayahmu tidak benarkan kita menyembah tuhan-tuhan yang sekian lama memberi rezeki dan memelihara kita."

"Itu yang saya sedihkan, ibu. Ayah masih menyeru manusia agar tinggalkan sembahan tuhan-tuhan kita. Ayah menghina tuhan dan enggan berbuat korban untuk dipersembahkan kepada tuhan-tuhan yang nenek moyang kita buat selama ini. Benci benar ayah terhadap tuhan yang ... entahlah."

Kan'an terhenti, kemudian menyambung, "Saya terkilan, ibu."

Sang ibu dan anak terus berjalan. Kebisuan menjadi peneman. Tetapi kemudian, Kan'an memecah sunyi dengan berkata, "Ibu, apakah yang akan kita lakukan apabila ayah
menyeru kita seperti yang dia serukan kepada kaum negeri ini?"

Ibunya menjawab, "Ibu takut dengan kutukan tuhan-tuhan kita, anakku. Kamu jangan ikuti seruan ayahmu itu nanti. Nanti binasa kita!"

"Saya takut tinggalkan amalan yang sudah ribuan tahun diamalkan, ibu."

"Itulah maksud ibu. Kita tidak usah tinggalkan agama yang kita percaya ini, Kan'an. Tidakkah pelik dan karut kita tinggalkan agama nenek moyang hanya sekadar mendengar seruan ayahmu?"

Kan'an hanya mengangguk, mengiakan telahan ibunya.

Ibunya berkata tegas, "Tidak sama sekali. Itu takkan terjadi!"

Sang anak tetap mengangguk. Langkah-langkah semakin hampir ke rumah mereka.

Tanpa mereka sedari, banyak makhluk mengiringi kepulangan mereka. Tentera syaitan terus meniup bisikan ke dalam hati kedua-dua ahli keluarga Nabi Nuh ini, mengelus-gelus rerambut Kan'an dan ibunya.

Sang Pembisik berkata, "Jangan kamu ikuti seruan Nuh itu! Dia berbohong sahaja. Jangan tertipu!"

Na'amah menoleh-noleh di sekeliling, mencari. Tetapi tiada siapa.

Kan'an menyedari ulah ibunya, lalu bertanya, "Ibu cari siapa?"

Ibunya hanya menggeleng.

NAKHODA AGUNGWhere stories live. Discover now