BAB 5

799 10 0
                                    


PS:/ VERSI TERBIT



MATA itu tajam memerhati.

"Ceh, kata demam. Ni apahal kau datang kerja ni? Hmm, biar aku teka, mesti si Thaqif tu tengah bengang sangat dengan kau sekarang kan," tutur Ila sebaik melihat kehadiran Imy di kelab malam tersebut.

Tanpa memandang Ila yang berada di ruangan itu Imy memasukkan begnya terlebih dahulu ke dalam loker. Sesudah itu baru dia mengalih pandangnya ke arah Ila yang kini kelihatan betul-betul mahukan jawapan darinya.

"Kau kenalkan dia tu macam mana. Dia tak nak aku datang kerja pun malam ni tapi aku je yang degil," jelas Imy.

"Kau dah sihat ke tak ni? Jangan pula tengah buat kerja kau pengsan kat depan tu. Siapa yang susah. Kau ni pun satu la ngek. Tau tak sihat ada hati lagi nak datang kerja." Sempat lagi si mulut lancang Ila membebel.

"Ni aku malas ni. Kau sama je macam Thaqif, kan. Membebel. Aku dah sihat la. Kalau aku tak sihat tak adanya aku nak datang kerja. Dah, daripada aku dengar kau ni membebel baik aku ke depan buat kerja sebelum bos tengok kita kat sini. Dikatanya mengular pula. Jom," ajak Imy.

Tanpa banyak bunyi Ila mengikut langkah Imy ke ruang depan kelab malam tersebut. Seperti biasa Imy dan Ila melakukan kerja mereka dengan bersungguh. Langsung tidak mengambil kesempatan pada pengunjung yang tidak henti-henti masuk ke tempat itu bagi memuaskan jiwa manusia.

Begitu juga dengan Salsabila. Tetap melakukan kerjanya dengan cermat tetapi mata tajam itu tidak henti-henti dari memandang Imy. Tanda amaran. Tidak habis lagi kisah perempuan itu mahu menuduh Imy merampas Dato' tua kerepot itu dalam diam.

Namun malam ini kelibat orang tua itu tidak pula kelihatan berada di kelab tersebut. Mungkin sedang duduk bersama cucu-cucu di rumah. Maklumlah sebelum dapat meraih undi perbanyakkan aktiviti bersama keluarga agar tidak kelihatan sifat sebenar pada mata rakyat. Kalau ikutkan hati hendak saja Imy curi-curi rakam perbuatan orang tua itu di kelab malam ini kemudian sebar di internet. Biar dia sedar diri sikit.

Malam itu suasana Meoww Club agak bingit dengan teriakan anak-anak remaja yang menari seperti sudah hilang kesedaran diri. Saluran-saluran darah sudah dibaja dengan najis. Otak-otak mereka sudah pun kecut malah terendam dengan air syaitan.

Imy membawa air yang dipesan ke sebuah meja yang sedang diduduki oleh seorang lelaki segak. Wajahnya maskulin. Sedikit berjambang. Melihat dari paras rupa orangnya seperti baru berumur dalam lingkungan 30an. Bersama satu senyuman lebar Imy menghulurkan gelas kepada lelaki itu. Lelaki itu pula membalas senyum dan mengekor kelibat Imy yang berlalu pergi.

Imy perasan mata itu masih lagi melekat ke arahnya. Dan dia paling tidak gemar diperhatikan sebegitu. Seriau.

"Imy."

Belum lama selepas itu Salsabila memanggilnya.

Imy yang mengerling pada lelaki tadi terus membuang pandang ke arah Salsabila si bibir merah pekat. Bau wangiannya pula mengalahkan bau minyak attar. Kembang kempis hidung Imy menahan sakit.

"Ada apa?" soal Imy sedikit dingin.

Sebaik melihat perempuan itu terus kejadian semalam kembali menjengah di benak fikiran Imy. Kesan tamparannya seakan masih terasa hangat menyinggah pipi.

"Kau tolong hantarkan ni kat meja sebelah sana tu," pinta Salsabila.

Sempat Imy menoleh ke meja yang ditunjuk oleh Salsabila sebelum kembali bersuara.

PEREMPUANTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang