AWAL pagi lagi aku dah bangun dengan bantuan 'jam loceng' a.k.a Si Dahlia. Aku bersiap-siap dengan pakaian sukan. T-shirt lengan panjang berkolar dengan seluar trek. Emak cakap tak bagi panjat bukit? Aku memang tak pernah nak dengar. Sekejap lagi, senyap-senyap aku nak keluar ikut jendela. Kasut aku keluarkan dari dalam almari. Perlahan aku turunkan dekat luar dengan bantuan raga yang dianyam oleh Dahlia.
Kakak aku ini, baik sungguh. Walaupun dia sentiasa nasihatkan aku untuk dengar cakap mak, dia tetap tak pernah tolak permintaan sengal aku untuk tolong sediakan barang-barang yang boleh cover line macam ni.
"Wawa... Mak duk mai tu."
Cepat saja aku dengar suara Dahlia.
Fuhhh... Lemah semangat.
Terus aku baringkan badan atas tilam. Tarik selimut sampai ke dagu. Tanpa aku sedari, selimut sudah terselak di bahagian kaki dan mempamerkan sarung kaki. Tak sempat aku nak betulkan, pintu bilik terkuak.
Ini lagi satu masalah, semua pintu bilik anak dara dalam rumah ini, emak biarkan tanpa kunci. Katanya senang nak memantau aktiviti kami dalam bilik terutamanya aku.Mak tak sebut macam tu, aku yang pandai-pandai buat 'nasi tambah' di sini.
"Tak bangun lagi ke Wawa ni?" Emak mula menyoal dengan intonasi perlahan. Aku mula menghela nafas lega. Mungkin emak tak perasan. Tapi, tak lama pun perasaan lega yang menyinggah bila baris ayat emak yang seterusnya mengetuk gegendang telinga.
"Takkan tak bangun lagi, jendela dah terbuka luas?" Emak bersoal sendiri.
"Hantu mana yang pandai-pandai buka jendela bilik Wawa ni?" Ayat emak mulai kedengaran memerli.
Aku panik terus. Peluh terus menitik. Bakul anyaman Dahlia, masih elok tergantung dekat tingkap. Mampus la... Memang cari nahas sungguh.
"Tak payah nak berlakon la, Wawa. Mak dah tau hang dah bangun. Dah, bangun cepat!" Emak terus memberi arahan lagak komander.
Aku tegak terus. Melakarkan sengih nakal di wajah. Konon, mampu mencairkan hati emak yang aku sasarkan akan mengamuk sekejap saja lagi.
"Pergilah, Jamal dah tunggu dekat depan tu..." Emak cakap dengan nada yang begitu menyenangkan jiwa aku. Lega!
Melompat aku bangun dari tilam. Sepantas kilat juga aku lipat selimut dan kemaskan sikit tempat tidur yang berselerak. Sekadar membeli jiwa emak aku. Biasanya Dahlia atau Jasmin yang tolong buatkan.
Ya, aku tau... Aku teruk. Tak payah cakap, aku dah sedar pun!
"Masa nak balik nanti, singgah kat kedai Pak Mail, beli ikan bilis." Emak hulurkan sekeping not RM10. Aku ambil cepat sebelum emak berubah angin tak bagi aku keluar.
Tangan emak aku capai cepat, salam dan cium segera.
"Sayang mak... Wawa pergi dulu." Kalut juga aku bergerak hendak melompat dari tingkap. Dan saat itu... Emak melepaskan jeritan vokal terbaik. Kalah Sheila Majid.
"Ingat rumah kita ni dah tak ada pintu ka, Wawa?"
Dan aku tersengih lagi.
"Sorry, mak. Wawa keluar ikut pintu, ya? Maaf, tak buat lagi lepas ni."
Aku tundukkan kepala sikit dan cepat-cepat buka larian anak bergerak keluar dari rumah. Jamal pun dah tunggu dekat bawah dengan basikal dia. Aku pun cepat-cepat dapatkan kasut yang tergantung elok dalam raga di jendela bilik aku. Laju juga aku capai basikal dan mengajak Jamal untuk bergerak dari situ.
"WAWA... Mak aku bagi tau, kalau result STPM aku tak elok jugak, mak aku nak hantar pergi Kelantan. Suruh belajar pondok." Jamal melontarkan sebiji batu dan bersandar dekat batang pokok sambil melihat aku.
Aku jeling seakan tidak percaya. Si Jamal ini hendak pergi belajar pondok?
"Yang dulu, lari dari sekolah pondok sebab tak mahu menghafal tu, siapa? Kembar hang ka? Jelmaan hang?" perli aku. Bibirku mencebik. Jamal seakan tidak puas hati mendengar soalan aku.
"Wawa... Aku cakap elok-elok, kan? Janganlah nak merosakkan mood aku. Risau ni... Kalau betul tak dapat keputusan elok, aku kena fikir siap-siap apa yang aku boleh buat."
Aku capai sebatang ranting dan conteng tanah. Sudah aku pasang sila siap-siap sambil membuang pandang menikmati panorama dari puncak Gunung Jerai ini. Memang cantik. Kalau kena kurung dalam reban ayam sekalipun selepas ini, aku tak kesahlah.
"Wawa..." Suara Jamal kedengaran mendesak.
"Hang kahwin ajalah, Jamal... Banyak bunyi sangat. Result pun belum keluar, dah risau bagai nak rak. Bawa bertenang... Masa masih ada. Usah gusarkan sangat benda yang tiada di depan mata," nasihat aku.
Dan Jamal terus buat aksi nak muntah. Memang ada juga yang nak makan penyepak aku.
"Apa planning hang?" Dia soal aku pula.
Aku jongketkan bahu. Walaupun aku selalu berlagak macam berwawasan 2020, tapi perkara yang melibatkan pelajaran, aku malas hendak fikir sangat. Lagipun, kami baru aje habis peperiksaan STPM, sebulan yang lalu. Mamat bernama Jamal ni, gelabah sangat!
Kemudian aku kalih pula ke belakang, hendak buat spot check, dua makhluk bernama Rasna dan Junaidi masih duduk di belakang kami, atau sudah menyusup ke mana-mana. Dan ternyata, mereka berdua memang sangat naif walaupun dah masuk lima tahun menyulam cinta. Aku dengan Jamal perintahkan suruh duduk belakang kami diam-diam, dan itu juga yang dibuatnya.
"Hangpa dua ni tak ada mulut ka? Yang sepi macam masuk dewan exam ni dah kenapa?" Aku sound merpati dua sejoli dekat belakang tu.
"Wawa... Tengoklah Jun ni, dia nak pergi jugak tinggal aku dekat sini..." Rasna sudah mula merengek.
Aku jeling ke arah Jamal. Lelaki itu tersengih. Dia tahu sangat yang aku tak berapa suka nak dengar Rasna merengek macam itu. Biarlah Junaidi nak pergi mana pun. Bukannya mereka itu suami isteri. Tetapi nak luahkan dengan jujur, aku sudah menerima isyarat jari telunjuk di bibir oleh Jamal. Tak mahu ayat berbisa aku merosakkan mood Rasna!
"Aku kena pergilah... Kalau tak pergi, macam mana aku nak masuk meminang Ras, sepuluh tahun lagi?" Jujur sangat Si Junaidi memberi jawapan.
Jawapan yang aku rasa telah menyebabkan angin kemarahan Rasna naik mendadak. Tanpa amaran, dia mencapai ranting di sebelah kakinya dan diayunkan ke bahu Junaidi. Kuat juga lelaki itu menjerit. Aku dengan Jamal hanya mampu melihat tanpa bersuara. Takut juga kalau kayu itu menimpa muka kami pula.
"Sepuluh tahun? Awat lama sangat?" Rasna menjegilkan biji mata. Mulutnya sudah herot bila mula bercakap dengan loghat pekat utara. Aku dengan Jamal terpaksa simpan senyum bila dengar loghat utara versi anak kelahiran Sabah ini.
Yang lebih menggelikan hati, Si Rasna secara cover line sedang menyampaikan bahawa dia nak kahwin kurang 10 tahun dari sekarang.
"Okey, kalau Ras nak, aku boleh bincang dengan mama untuk percepatkan tarikh nikah," balas Junaidi dengan seriusnya.
Terus terlepas ketawa yang aku cuba tahan dari tadi. Perghhh.
Keputusan STPM belum keluar lagi. Dua merpati sejoli ini dah sibuk-sibuk bincang berkenaan soal sehidup semati. Memang aku respek betul. Si Jamal ini pula macam terkedu sangat mendengar soalan Junaidi.
"Kalau macam tu, aku pun nak kahwin la, Wawa." Jamal berkata serius.
Mati tawa aku.
"Hang nak kahwin dengan siapa?" soalku dengan hairan.
Terkejut pula bila Si Jamal, merangkap kawan aku di kampung ini pun sebenarnya dah merancang nak berkahwin. Agak terkilan sebab aku tak pernah tahu mana-mana gadis yang dia suka dalam diam.
"Siapa lagi... Farhana la." Jamal berbicara gembira. Tersenyum-senyum sendiri seolah-olah Gunung Jerai ini dia yang punya.
Sampai begitu ke rasa bahagia kalau memikirkan hal kahwin?
Aku juga yang terkapai-kapai. Semua ada matlamat hidup jauh ke hadapan, aku juga yang masih bertatih tanpa wawasan.
YOU ARE READING
BYLINE CINTA WARDAH
General FictionTajuk: Byline Cinta Wardah Penulis: Umi Kalsom Penerbit: Penulisan2u Harga: RM23 (Semenanjung) // RM26 (Sabah & Sarawak) Terbitan: November 2017 ******* AKU, Wardah atau popular dengan nama glamour, Wawa. Aku dan cinta bukanlah satu topik hebat unt...